Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Ummah Talk Siri ke-2


25 Februari ini, GAMIS akan menjemput Penganalis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah - yang baru-baru ini terkenal dengan kajian terbarunya yang mendapati 97 peratus rakyat Perak mahukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan - sebagai panel rujukan diskusi terbuka politik oleh mahasiswa.

Berikut adalah butiran lengkap program :

Tajuk : "Gelombang Bangsa Malaysia : Cabaran dan Peranan Anak Muda Islam"

Masa : 25 Februari 2009 (Rabu)

Tempat : Masjid UIA Petaling Jaya

Masa : 8 malam

Antara ADAB dan ILMU.

KES 1

Ada seorang pelajar baru memasuki kuliah ilmu, lalu belajarlah ia dua, tiga hadith dari gurunya. Kemudian dia sudah menghafaz sedikit sebanyak ayat al Quran. Gurunya itulah satu-satunya yang dijadikan sumber rujukan. Segala-galanya yang betul datangnya dari gurunya. Pasti tiada salah. Lalu ia mula bermain dengan persoalan hukum. Sebab dirasanya diri sudah cukup ilmu untuk berfatwa. Mana-mana yang tidak berkenan atau bercanggah dengan pendapatnya dia mengatakan itu adalah sesat barat.

Sehinggakan habis dihukum ulama' yang muktabar, mujtahid adalah tersilap pandangan mereka. Dengan memberi alasan yang dirasanya paling kukuh - ulama' tidak maksum, berhujjah mestilah mengikut dalil yang paling sahih dan terkuat.

Malangnya - yang betul baginya adalah ulamak yang ia ikut, tetapi ulama' yang lain pasti salah. Pasti salah hadithnya, dan berkemungkinan aqidah ulama' itu terkeluar dari ahlu sunnah wal jama'ah. Manakala dalil yang terkuat baginya - juga sebenarnya adalah dari apa yang ia dapat sendiri dari kitab yang ia baca. Tentunya dalil itu juga dari ulama' yang ia taksubkan.

Bermulalah era baru yang dizikirkan di bibirnya adalah-itu haram, ini bid'ah, engkau sesat!

Kes 2:

Seorang murid, sudah diajar adab dan akhlaq oleh gurunya. Tentang adab percakapan, adab menuntut ilmu. Adab berhadapan dengan guru. Entah di mana silapnya, tetap sahaja murid itu lancang mulutnya bila berbual dengan gurunya. Tidak ada perasaan hormat. Bengkeng, bidas, dan sebagainya untuk menunjukkan dirinya yang jahil itu adalah benar.


Tahu dan Faham

Zaman ini ada golongan pelajar yang bersemangat belajar ilmu hanya untuk tahu. Tetapi ia lupa - pengetahuan yang ia ada hanya sedikit. Akhirnya tahunya itu menjadikan ia merasa hebat. Menjadikan dirinya terasa betul. Ia tenggelam dalam TAHU tapi JAHIL akhlaq dan meninggalkan ADAB.

TAHU sahaja tidak cukup tanpa kefahaman. Orang yang hanya tahu gula itu manis, tidak sama dengan orang yang sudah merasai kemanisan gula apatah lagi dimana ia perlu digunakan kemanisan gula tersebut. Allah dan RasulNya mengajar kita agar mempunyai akhlak yang baik sesama manusia, samada dari segi pertuturan, perbuatan, bahkan dalam hati sendiri. Apatah lagi dengan sesama saudara Islam. Bukankah Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq, bahkan akhlaq RasuluLLah itu sendiri adalah al Quran?

Kita diajar untuk beradab kepada guru-guru, ustaz-ustazah, alim ulama kerana keutamaan mereka.

Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah az Zumar : 9)

Bahkan di dalam urusan solat jemaah sekalipun, diutamakan adalah orang yang lebih yang mahir bacaannya di dalam al Quran. Sebagai contoh lain, capainya khusyu' di dalam solat bukan semata bermula dari takbiratul ihram yang pertama tapi bermula dengan adab kita dari sebelum permulaan solat (jaga kebersihan, pakaian, wangi-wangian dll) dan dari wudhu' yang sempurna. Telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW di dalam peperangan Uhud, sahabat yang lebih banyak mengambil al Quran didahulukan untuk dimasukkan ke dalam liang kubur.

Dari Jabir r.a :

Sesungguhnya Nabi SallaLLahu 'alaihi wasallam telah menghimpunkan antara dua orang lelaki dari mereka-mereka yang terbunuh di dalam peperangan Uhud iaitu di kubur, kemudian baginda bersabda: "Yang manakah dari keduanya yang lebih banyak mengambil al Quran?". Apabila ditunjukkan kepada salah seorang dari keduanya, baginda mendahulukan (orang yang tersebut) ke dalam liang lahad. (Riwayat Bukhari)

Hakikat Ilmu Yang Kita Ada

Adab sebagai pelajar, jika ilmu masih sedikit (hakikatnya ilmu manusia tiada yang banyak melainkan Allah yang Empunya Ilmu), masih bertatih tahulah berakhlaq. Sedangkan para ulamak yang faqih, berkelana di bumi Allah untuk mencari ribuan guru, bahkan menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan hingga kini amat menjaga akhlaq sesama guru dan ulama yang lain. Sehinggakan sifat yang tercerna dari diri mereka menjadi ikutan bagi ulama yang takutkan Allah.

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." (Surah al Fatir : 28)

Oleh itu wahai pelajar, jika para ulama yang hebat ilmunya itu sendiri amat menjaga tutur katanya, tidak bermudah-mudah berhukum dengan apa yang tidak mereka ketahui. Mengapa kita sendiri yang amat sedikit ilmu tidak belajar untuk merendahkan diri? Adakah akhlaq itu tidak termasuk di dalam halal dan haram di dalam perhubungan sesama manusia? Sudah bolehkah kita berlaku sombong dengan ilmu yang sedikit sedangkan kita lupa ilmu yang kita ada juga boleh ditarik pada bila-bila masa?

Ilmu tanpa adab & akhlaq menunjukkan kita sendiri menghina ilmu yang diberi oleh ALlah.-Azlan Zainal

Satu kisah...

Sudah hampir 5 hari tiada kesempatan untuk meng'update' blog. Hujung minggu agak sibuk dengan rutinan biasa, program, pengisian dan sebagainya. Hari ini saya menulis semula, hanya satu kisah ringkas, mungkin boleh dijadikan renungan bersama. Di suatu bandar besar terdapat 10 orang lelaki yang mahir membuat jarum. Mereka masing-masing bekerja sebagai tukang pembuat jarum. Setiap orang pada setiap hari, dapat menyiapkan hanya 3 bilah jarum. Mereka tidak dapat menyiapkan lebih dari 3 bilah jarum sahaja.

Akhirnya mereka bersepakat untuk bekerjasama dan membahagikan tugas untuk meningkatkan pengeluaran jarum.

Jadi, mereka dapat membuat pengkhususan kerja. Seorang tukang jarum ditugaskan mencari logam atau besi untuk dijadikan jarum. Seorang lagi bertugas menguruskan dan menyediakan bahan api. Seorang tukang lagi bertugas membentuk lubang jarum, seorang yang lain bertugas memasukkan jarum ke dalam api yang disediakan dan tukang yang lain bertugas mengasah jarum menjadi tajam. Dan begitulah seterusnya tukang jarum yang lain berperanan dalam menghasilkan jarum.

Masa setiap orang tidak berlalu sia-sia kerana masing-masing ada bahagian yang dipertanggungjawabkan. Mereka dapat menyelesaikan dengan cepat dan kemas kerana kerja mereka terfokus serta mereka mahir setelah berulang kali dilakukan.

Setelah dihitung pengeluaran jarum mereka, setiap tukang jarum itu telah berjaya menghasilkan 300 bilah jarum satu hari jika dibandingkan hanya 3 bilah sebelum ini. Inilah hasil dari kesatuan dan pembahagian tugas.


Daripada kisah di atas yang cuba saya adaptasi dari Risalah Ikhlas, Risale-i Nur oleh Ustaz Badieuzzaman Said Nursi, nyata di sini keikhlasan dan persaudaraan sangat penting. Keuntungan di dunia seperti kisah jarum di atas terbukti dengan kerjasama dan keikhlasan, sifat mempercayai dan tidak berhasad dengki sesama tukang jarum.

Keuntungan di dunia dapat kita lihat seperti kisah berkenaan. Menurut Said Nursi, begitu juga amalan untuk akhirat. Kalau kerja baik, amar makruf nahi mungkar dan apa sahaja urusan yang diniatkan untuk akhirat keuntungannya lebih berganda. Setiap kebaikan diganda sepuluh. Dalam keadaan tertentu dan waktu tertentu ia meningkat dan berganda lagi.

Sudahlah wahai pejuang Islam, wahai yang mendakwa diri berjuang untuk Islam, jangan hanya melihat kekurangan orang lain. Mainlah peranan di bidang kepakaran masing-masing. Bersatulah memperjuangkan Islam tercinta dengan keupayaan dan kemahiran masing-masing yang telah Allah kurniakan. Semua keuntungan akhirat akan yang berganda itu tidak akan dapat kita kecapi dengan saling berhasad dan tiada keikhlasan.

Subhanaka la 'ilma lana illa ma 'allamtana, innaka Antal 'Alimul Hakim

Pandangan 2 tokoh, bezanya?





Dato Haron Din, Timbalan Mursyidul 'Am Pas
Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri


Mengulas sekitar isu di Perak, Timbalan Mursyidul Am PAS itu berpendapat, perselisihan tafsiran undang-undang di antara Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan Menteri Besar Perak Dato’ Seri Nizar Jamaluddin merupakan proses biasa dalam amalan demokrasi, dan bukan kali pertama berlaku di Malaysia dan mana-mana negara di dunia.

“Nizar tidak meletakkan jawatan kerana dia memegang amanah rakyat, dia hendak kembalikan semula kepada rakyat. Itu tafsirannnya. Saya tidak nafikan Tuanku Sultan ada tafsirannya. Jadi jika ada perselisihan tafsiran undang-undang, maka saya tidak fikir itu boleh dinamakan sebagai derhaka. Ini sepatutnya diselesaikan dengan cara paling baik iaitu, kembalikan kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan. Atau kita berlapang dada dan bersabar sedikit, biar Mahkamah Tinggi memutuskan kesahihan pelantikan menteri besar kedua,” katanya dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan Raja-raja Malaysia perlu dikekalkan pada takhta yang sedia ada dan rakyat diseru supaya bersatu dan mengekalkan kedudukan mereka. Beliau antara ulama yang dekat dan rapat hubungannya dengan istana menjelaskan istilah ’sembah derhaka’ yang dimanipulasi oleh plebagai pihak khusunya media sedangkan ianya bukan satu bentuk tindakan derhaka yang sebenarnya.

'Sembah derhaka’ bermaksud apa yang diminta oleh seorang Raja atau Sultan tidak dapat dipenuhi atau ditunaikan oleh seorang hamba rakyat. Sama ada kecil atau yang besar. Seorang rakyat akan menuturkan bahawa ‘patik sembah derhaka’. Biasalah, ini hanya bahasa istana, kalau ikut kita ia adalah satu cara untuk tunjuk rasa tidak bersetuju dan tidak menyokong sahaja. Bukan yang kita fahami itu derhaka adalah melawan atau menyakiti Raja,” katanya yang cuba membandingkan pelbagai perbuatan menderhaka yang dilakukan oleh pemimpin sebelum ini.

Katanya, yang tidak mahu mendedahkan secara terperinci, memang berlaku perbuatan menderhaka yang tidak diketahui umum.

“Ada pemimpin disuruh Raja untuk ‘briefing’ pada hari tertentu tentang perkembangan negeri, langsung tak datang. Ada yang Raja suruh buat projek untuk rakyat, tetapi pemimpin tak buat. Ada Sultan yang suruh hentikan projek tertentu kerana membazir, mereka terus buat.

“Ada raja suruh bantu ekonomi orang Melayu, dengan bantu projek tertentu tetapi beri pada kroni mereka pula malah ada Raja beritahu saya, ada pemimpin yang terajang pintu istana kerana tidak puas hati.

“Ini semua saya dapat tahu dan ada antara Raja-raja yang beritahu sendiri kepada saya. Inilah perangai mereka… ini jauh lebih derhaka lagi,” katanya.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri.

Pak Lah berkata tindakan Sivakumar itu tidak disenangi oleh rakyat Perak.

“Mereka (rakyat) tentu sekali tidak senang hati dengan apa yang berlaku sehingga ke peringkat ini. Dulu bila mereka (pembangkang) menang, kita beri jalan kepada mereka untuk memerintah. Apabila situasi telah berubah dan sokongan kepada BN telah melebihi, maka BN pula yang akan memerintah”.

Sekali lagi kenyataan Pak Lah ini bagai orang mamai baru bangun tidur. Entah statistik apa yang dipakainya yang menyatakan tindakan Sivakumar itu tidak disenangi oleh ‘rakyat Perak’, entahlah. Ini kerana mengikut kajian Merdeka Centre 74% daripada rakyat Perak inginkan DUN dibubarkan. Ini bermakna majoriti rakyat Perak bukannya tidak senang dengan tindakan Sivakumar, tetapi sebenarnya mereka tidak senang dengan tindakan merampas kuasa itu.

Mungkin juga Pak Lah tidak percaya dengan kajian Mereka Centre itu. Cara hendak membuktikan sama ada kajian itu betul atau tidak senang saja - bubarkan DUN dan adakan pilihanraya baru. Tapi beranikah Pak Lah dan Najib berhadapan dengan suara rakyat? Jawapan muktamad setakat ini ialah kedua-duanya tidak berani berhadapan dengan suara rakyat! Buktinya?

Buktinya ialah apabila di akhir ucapannya Pak Lah berkata kerajaan BN di Perak tidak bercadang untuk mengadakan pilihanraya baru sebagai cara untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu, tetapi akan terus memerintah demi ‘rakyat’ di negeri berkenaan.

“Dalam situasi yang ada sekarang ini, saya fikir lebih baik sekiranya kerajaan BN terus dengan pemerintahannya. Buatlah apa yang boleh untuk ‘rakyat’ negeri Perak,” kata Pak Lah. Cuma sekali lagi kita tidak faham maksud ‘rakyat’ yang dikatakan Pak Lah itu. Adakah maksud ‘rakyat’ yang dimaksudkan Pak Lah itu ialah 74% rakyat yang tidak setuju dengan tindakan BN yang merampas kuasa itu?

Lalu saya teringat perihal seorang adik saya ketika kami kecil yang selalu mamai dan bercakap merapu lepas bangun tidur. Kami pasti ketawa mendengar dia bercakap yang entah apa-apa itu. Dan hari ini saya ketawa lagi. Tetapi yang saya ketawakan bukan adik saya. Dia Perdana Menteri saya.-Azlan Zainal

Lagi, Mufti Wilayah pula buat hadith palsu.



MUFTI WILAYAH BUAT HADIS PALSU?

Menurut akhbar mStar;

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata perbuatan menderhaka kepada pemerintah adalah satu dosa besar berdasarkan dalil daripada Al Quran dan Sunnah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata sebarang perbuatan tunjuk perasaan bertujuan mencabar pemerintah adalah haram seperti dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud : "Mana-mana kumpulan manusia berarak ke arah Sultan dengan tujuan merendahkannya, maka mereka akan dihina oleh Allah sebelum hari Kiamat."

Wahai Datuk Mufti!

Saya amat menghormati Ulama’ dan golongan yang berilmu. Tapi dalam hal ini, izinkan saya bertanya. Ayat Al-Quran dan Hadis mana yang mengatakan menderhaka kepada pemerintah adalah dosa besar? Jika wujud Ayat Al-Quran dan Sunnah, apakah tepat tafsiran nas-nas itu dengan keadaan di Perak? Kalau hadis itu wujud, tolong datangkan perawi hadis, dan dari sumber mana? Tahukah kamu tentang dosa memalsukan hadis nabi SAW? Di sini di nukilkan Sabda Nabi SAW, Maksudnya;

“Barangsiapa yang melakukan dusta terhadap aku, maka dia telah menempah satu tempat dalam neraka Allah” (Sahih Al-Bukhari : 107)

Ingatlah, meriwayatkan hadis Dhoif tanpa menyatakan tentang kedhoifan hadis pun sudah dikira sebagai dosa, inikan pula memalsukan hadis nabi. Yang pastinya, memalsukan hadis Nabi SAW adalah dosa besar. Kalau benar hadis yang kamu katakan itu adalah hadis, apakah kamu perhatikan matan hadis yang kamu nukilkan itu.


Bukankah ia menyebut, berarak ke arah sultan dengan tujuan merendahkannya?Bermakna, Kalau rakyat berarak ke arah sultan dengan tujuan membetulkan kesilapan Sultan, apakah itu bermaksud merendahkan Sultan jugaMungkin Datuk Mufti ingin menyebut hadis ini barangkali, Maksudnya;

"Sultan adalah bayang-bayang Allah di bumi, barangsiapa yang memuliakannya, nescaya Allah muliakannya. Barangsiapa yang menghinanya, nescaya Allah menghinanya”- Sahih Wa Doif Al-Jami’ As-Soghir : 7093

Cuba kita banding dengan hadis Datuk Mufti nyatakan pula;

"Mana-mana kumpulan manusia berarak ke arah Sultan dengan tujuan merendahkannya, maka mereka akan dihina oleh Allah sebelum hari Kiamat."

Rasanya, tak sama antara kedua-dua hadis ini. kerana, hadis yang sebenarnya tidak disebut satu pun kalimah "berarak ke arah sultan”, juga tidak disebut "mereka akan dihina oleh Allah sebelum hari kiamat”. Kalau Datuk Mufti ingin mengatakan ada kalimah "hari akhirat”, mungkin Datuk Mufti merujuk kepada hadis berikut, Maksudnya;

"Barangsiapa yang memuliakan SULTAN ALLAH di dunia, pasti Allah muliakannya pada hari kiamat. Barangsiapa yang hina SULTAN ALLAH di dunia, pasti Allah akan menghinanya pada hari Kiamat”- Majma’ Az-Zawaid : 5/215

Persoalannya, hadis ini menyebut "Pada hari kiamat”, bukannya "sebelum hari kiamat”. Datuk Mufti boleh beza tak, antara sebelum kiamat dan semasa kiamat. Rasanya, dua keadaan dan masa yang berbeza.

Mungkin Datuk Mufti maksudnya hadis ini pula;

Maksudnya;
"Barangsiapa yang menghina SULTAN ALLAH di dunia, pasti Allah akan hinanya di bumi”

Yang pastinya, hadis ini memaksudkan menghina sultan, bukan menyebut tentang berarak ke arah sultan. Kalau menghina dijadikan hujjah, tidak semestinya dengan berarak sudah dikira sebagai menghina, bahkan kadangkala berarak ke arah sultan itu dikira sebagai kemuliaan bagi sultan.

Misalnya, jika semasa rakyat berarak membantah tindakan Sultan perak menabalkan Menteri Besar Haram di Perak, lalu sultan perak terus mengakui kesilapannya sendiri, pasti pada masa itu, Sultan perak akan dipuji oleh rakyat, dan pasti jasanya akan dikenang sampai bila-bila. Bukankah ini sudah dikira sebagai kemuliaan bagi sultan?

Diminta Datuk Mufti jawab soalan-soalan ini. Kalau ini tidak boleh dijawab oleh Datuk Mufti, dicadangkan Datuk Mufti letak jawatan. Sebab yang utama, kehadiran kamu dengan jawatan mufti sebenarnya menyesatkan orang ramai.

Ulama' jadi hina bila kebenaran tidak berani diungkapkan!





Sudah berapa kali Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menunjukkan kepada umum bahawa beliau adalah seperti penyokong tegar Umno Barisan Nasional. Harussani kesal dan dukacita dengan tindakan penyokong parti pembangkang yang sanggup mencerca dan memaki beliau ekoran kenyataannya, sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah tetap dianggap menderhaka. Beliau mendakwa, tindakan berkenaan langsung tidak menggambarkan akhlak seorang Islam sejati kerana golongan mukmin mestilah takut kepada Allah, Rasul-Nya dan juga pemerintah.

Saya harap akhbar tersalah petik kenyataan mufti itu. Tetapi kalau benar itu kenyataan dia, saya tak terkejut dia dicerca dan dimaki. Itu pun kira dah nasib baik dah itu. Pemerintah yang Allah s.w.t. perintahkan kita taati ialah pemerintah yang taat kepada Allah dan Rasul sahaja. Tolong jangan tuduh Allah buat kerja bodoh menyuruh kita mentaati pemerintah yang tidak taat kepada Allah dan Rasul. Perkara itu bertentangan dengan keadilan Allah. Tidak mungkin dan Maha Suci Allah dari melakukan ketidakadilan. Maha Suci Allah yang sangat-sangat kita kasihi dari sangkaan manusia yang selalu menuduh Allah buat kerja bodoh.

Saya harap akhbar tersalah petik bahawa “Golongan mukmin mestilah takut kepada Allah, Rasul-Nya dan juga pemerintah". Takut kepada Allah memang betul. Tapi saya tak pernah dengar mana-mana tok guru yang membacakan nas yang menyuruh kita takut kepada pemerintah. Mungkin ada, tapi saya mungkin tak pernah dengar. Yang pernah saya dengar ialah “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, dan taatilah rasul, dan ulil amri di antara kamu. Jika kamu berselisih tentang suatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhir; yang demikian itu lebih utama dan lebih baik kesudahannya” -[Al-Quran 4:59]. Ulama berbahas tentang kalimah 'ulil amri' kenapa dalam al Quran ini tidak menyuruh ketaatan itu bukan bersifat qat'i (kekal tetap) sebagaimana ketaatan pada Allah dan Rasul yang sememangnya tiada keraguaan malahan ia suatu perintah. Ini kerana para pemimpin ini terbahagi kepada 2, ada yang sangat adil, memerintah atas perlaksanaan syariat Allah dan sebaliknya ada yang zalim, tidak adil, mengingkari perintah Allah.


Saya ambil hadith dalam mazhab Sunnah wal Jamaah:

Dengar dan taat adalah menjadi wajib kepada setiap Muslim dalam perkara yang ia suka atau tidak, selagi ia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat (Bukhari dan Muslim)

Tiada ketaatan dalam bermaksiat kepada Allah; sesungguhnya ketaatan itu dalam kebaikan (Muttafaq ‘alaihi - disepakati)

Apa pun pendirian Harussani, saya tidak terkejut. Pada pandangan peribadi saya ia memang penyokong tegar Umno dan kadang-kadang menjadi jurucakap Umno. Anggapan kita itu orang ‘alim. Dia tentu dah sediakan jawapan di dalam kubur dan di Padang Mahsyar atas pendiriannya itu. ISLAM adalah agama yang kekal sehingga kiamat. Ia tidak akan mengalami perubahan atau tamat seperti agama yang dibawa oleh Nabi sebelum Rasulullah.

Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah yang bermaksud:

Telah aku tinggalkan kepadaMu dua perkara yang mana selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu lah kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Yang perlu dilakukan ialah mempelajari dan mendalami Islam untuk mengamalkannya dalam seluruh kehidupan. Islam itu adalah cara hidup maka ia wajar dipraktikkan bukan sahaja dalam beribadat tetapi dalam bermuamalat, bersosial, berpolitik dan sebagainya.

Kita kena ingat dalam keadaan apa sekalipun, kita diikat oleh soal halal haram agama. Bukan hanya di Mekah kita perlu patuh kepada Allah, malah di mana-mana pun kita perlu patuh sebab Allah yang kita sembah itu sama walau di mana kita berada.

Rasulullah ada bersabda, “Ulama itu pewaris nabi”. Ulama bagaimanakah yang dimaksudkan pewaris nabi ini? Saya ingin memetik kata-kata Imam al-Ghazali dalam hal ini. Beliau membahagikan ulama kepada dua iaitu ulama akhirat dan ulama dunia.

Ulama akhirat ialah mereka yang mendalami agama, alim dan beramal dengan apa yang dipelajarinya serta menyampaikan ilmu itu dengan amanah. Mereka tidak bimbang dicela atau dikutuk dalam menyampaikan kebenaran. Ini bertepatan dengan firman Allah, ...Mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela... (al-Maaidah; 54)

Ulama dunia pula ialah golongan berilmu tetapi tidak jujur dalam menyampaikan ilmu Islam. Mereka tidak amanah dalam menyampaikan kebenaran atau kebatilan. Kalau kepentingan mereka tidak terjejas, maka dia akan sampaikan ilmu itu. Sebaliknya jika kepentingan atau periuk nasinya terjejas, maka dia akan mendiamkan diri.

Hari ini bilangan ulama akhirat ini tidak begitu ramai. Sebagai contoh ulama akhirat ialah Imam Abu Hanifah yang rela dipenjara dan disebat semata-mata kerana tidak mahu mengikut telunjuk pemerintah mengatakan al-Quran itu adalah makhluk. Bukan semua orang boleh diperbodohkan seperti mereka yang telah berjaya diperbodohkan. Jadi, mufti suruh takut dan taat perintah yang mana? Kalau di zaman Revolusi Islam Iran dahulu, Imam Khomeini quddisa sirruh mengarahkan para pendukung Revolusi Islam mencampakkan serban ulama jahat ke dalam longkang!-Azlan Zainal

Gempar, Perak kembali bergolak!

MB dan semua exco Perak digantung hadiri sidang DUN, Feb 18, 09 6:50pm

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala kesemua enam exconya digantung selama 12 bulan.

Keputusan itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak V Sivakumar selepas selesai bersidang hari ini. Perkembangan terbaru ini akan melontarkan Perak ke dalam satu lagi krisis, selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri awal bulan ini. sumber : Malaysiakini

Sekali lagi Negeri Perak bergolak. Speaker DUN Perak V.Sivakumar telah menggantung mereka. Jika BN mahu memecat Speaker DUN Perak tersebut hanya dengan satu cara. BUBARKAN DUN PERAK! HANYA ITU SAHAJA CARANYA UNTUK MELANTIK SPEAKER BARU.

Mampukah BN menghadapi pilihanraya sekali lagi? Dengan pungutan suara sebanyak 74 % rakyat negeri Perak yang mahukan sekali lagi pilihanraya mampukah BN menahan gelombang kebangkitan rakyat negeri Perak.-Azlan Zainal

 

different paths

college campus lawn

wires in front of sky

aerial perspective

clouds

clouds over the highway

The Poultney Inn

apartment for rent