Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Meluruskan kembali sejarah perjuangan kemerdekaan

Pada tahun-tahun terakhir sebelum bersara, ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO, Tun Mahathir berulang-ulang menyatakan bahawa perjuangan kemerdekaan negara ini bermula dengan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946, dan kemudian UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 dalam konteks penentangan terhadap Malayan Union itulah yang menuntut kemerdekaan daripada British bersama-sama dengan MCA dan MIC.

Inilah versi sejarah perjuangan kemerdekaan "arus perdana" yang agaknya sudah menjadi "versi rasmi", yang termuat dalam buku-buku teks sekolah dan selalu diulang-ulang oleh media cetak dan media elektronik milik pemerintah atau yang dikuasi oleh parti pemerintah.

Versi sejarah perjuangan kemerdekaan arus perdana ini jelas tidak tepat dan mengelirukan, kerana dari perspektif masa, ia melihatnya dari perspektif jangka pendek. Dengan menyatakaan perjuangan kemerdekaan itu bermula pada tahun 1946, maka yang akan tertonjol ialah peranan UMNO saja dalam perjuangan itu, dan perjuangan kemerdekaan itu seolah-olah merupakan "monopoli UMNO".

Dengan perspektif jangka pendek yang demikian, peranan dan jasa tokoh dan golongan lain yang mempelopori perjuangan kemerdekaan sebelum itu seolah-olah ingin dilupakan dan diketepikan. Ini merupakan satu penyelewangan sejarah, kalau pun bukan pembohongan sejarah, dan mesti dibetulkan (atau "diluruskan" kata orang Indonesia).

Untuk meluruskan kembali sejarah perjuangan kemerdekaan ini, kita sepatutnya menggunakan perspektif masa yang lebih panjang atau lebih awal dari tahun 1946, yang mungkin boleh kita istilahkan sebagai perspektif jangka panjang dan perspektif jangka sederhana.

Dengan perspektif jangka panjang, kita boleh melihat perjuangan kemerdekaan itu sudah pun bermula selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis, atau terkemudian sedikit selepas negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor , Pahang dll jatuh ke tangan Inggeris.

Dengan itu, kita boleh melihat dan menghargai peranan pembesar tradisional Melayu, seperti Datuk Maharajalela dan Datuk Sagur di Perak, Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Pahang dan Tok Janggut di Kelantan dalam perjuangan menentang Inggeris. Mereka bukan pemberontak atau penderhaka sebagaimana yang didakwa oleh Inggeris, tapi perjuang kemerdekaan yang tidak mahu tanah air mereka dijajah dan diperintah oleh kuasa asing.

Dengan perspektif jangka sederhana pula, kita boleh melihat bahawa perjuangan kemerdekaan secara berorganisasi dan dalam bentuknya yang moden sudah bermula pada tahun 1930 dengan penubuhan PKM. Kemudian perjuangan itu diteruskan oleh KMM yang ditubuhkan pada tahun 1937 dan oleh PKMM (bersama badan gabungannya API dan AWAS ) yang ditubuhkan pada tahun 1945.

Jadi kita boleh melihat bahawa perjuangan kemerdekaan dalam bentuknya yang moden itu sudah dipelopori oleh PKM, KMM dan PKMM sebelum UMNO ditubuhkan pada tahun 1946. Dengan itu, pelopor perjuangan kemerdekaan bukan UMNO, tapi ialah pelbagai organisasi yang wujud sebelum UMNO.

Dengan perspektif jangka sederhana ini juga kita boleh melihat dan menghargai peranan pelbagai tokoh yang turut memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan, seperti Ibrahim Yaakob dan Mustapha Hussein (KMM), Dr.Burhanuddin dan Ishak Haji Mohamad (PKMM), Ahmad Boestamam (API) dan Shamsiah Fakeh (AWAS).

Begitu juga mungkin bukan satu kesalahan jika kita mengikiraf peranan PKM dengan tokoh-tokoh Melayunya seperti Abdullah C.D., Rashid Maidin dan Musa Ahmad dalam perjuangan kemerdekaan. Dan adakah satu kesalahan jika kita masukkan juga Chin Peng, tokoh utama PKM, sebagai salah seorang pejuang penting kemerdekaan?

Dengan menggunakan perspektif jangka panjang dan jangka sederhana ini jelaslah pada kita, perjuangan untuk mencapai kemerdekaan negara kita bukan bermula pada tahun 1946, dan Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman, pemimpin UMNO bukanlah pelopor perjuangan kemerdekaan. UMNO dan kedua tokohnya itu sebenarnya hanya menyambung perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh banyak tokoh lain sebelum mereka.

Dengan menggunakan perspektif jangka panjang dan jangka sederhana ini juga saya harap kita dapat "meluruskan" sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita yang telah diselewengkan oleh versi sejarah arus perdana.

Dan dengan itu, adalah satu keharusan kita turut memberi pengiktirafan terhadap peranan dan jasa pelbagai tokoh pejuang kemerdekaan sebelum Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman, yang tentunya tidak wajar dilupakan begitu saja. Bagi saya mereka semua menyumbang jua demi memerdekakan negara, cuma cara dan laranya perjuangannya sahaja yang berbeza.

Tokoh-tokoh yang ingin dilupakan ini tentu wajar dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang tulin, kerana sebahagian besar daripada mereka pernah menjadi penghuni kem tahan dan penjara rejim kolonial, dan sebahagian lagi terpaksa bergadai nyawa apabila keadaan memaksa mereka mengangkat senjata.-Azlan Zainal

Malaysia telah tubuh sejak 1937, ini buktinya!


Fakta khas dan menarik, pembongkaran sempena Penubuhan Malaysia pada 16 September ini. Malaysia adalah projek kolonial. Benar, seperti buku di atas ini yang diterbitkan pada September 1937. Projek penjajahan bentuk baru, empayar baru dolar dan tentera Amerika Syarikat (A.S). Projek yang kononnya bertitik tolak dari hasrat murni A.S untuk membebaskan tanah jajahan Inggeris, tetapi dengan niat jahat, menjajahnya dalam bentuk baru atau lebih sinonim jika dikaitkan dengan neo-imperalism.

Kemudiannya, projek kolonial A.S mendapat akal jahat, angan-angan paling bodoh bergelar teori domino, iaitu setelah Vietnam menjadi negara komunis, maka satu demi satu Negara-negara di Asia Tenggara akan menjadi negara komunis. Hal ini ditulis Pak Said Zahari, yang dipenjara ISA oleh Lee Kuan Yew di Singapura, selama 17 tahun tanpa bicara, dalam buku memoirnya "Meniti lautan gelora."

Antara sasaran projek kolonial A.S ini adalah menubuhkan negara Malaysia; melucutkan gagasan Nusantara Melayu Raya; menggulingkan presiden Sukarno; menghapuskan kekuatan rakyat Indonesia yang anti penjajahan - bentuk baru dan lama - dari kuasa kolonial barat. hari ini kita dapat melihat fakta-fakta ini secara terperinci dengan terbitnya dokumen-dokumen rahsia CIA seperti ini (sila klik Foreign Relations, 1964-1968, Indonesia; Malaysia-Singapore; Philippines.Editor: Edward C. Keefer General Editor: David S. Patterson, United States Government Printing Office, Washington, 2001.)

Mujur A.S punya akta kebebasan maklumat sekarang, jadi kita semua boleh menyelidik dokumen-dokumen yang dianggap sulit dan rahsia dulunya hanya pada capaian internet. Bermula dengan cadangan penubuhan Malaysia, kemudian konfrontasi Malaysia-Indonesia, perjuangan rakyat Kalimantan Utara, serangan Indonesia ke Malaysia-yang dipercayai disabotaj Jeneral Suharto, apabila tempat mendarat payung terjun tentera Indonesia telah dikenalpasti bocor rahsianya atau kecekapan risikan tentera Malaysia? Seiring dengan kegagalan operasi ketenteraan Sukarno ke atas Malaysia, rentetan satu demi satu peristiwa yang akhirnya membawa kepada peristiwa rampasan kuasa oleh Jeneral Suharto, yang didukung CIA, diikuti dengan pembunuhan hampir satu juta rakyat Indonesia pada tahun 1965-1966 atas alasan memerangi komunisme. Sebaliknya rejim Suharto terbukti tidak lebih sebagai rejim boneka A.S.

Hakikatnya nama Malaysia telah ada dalam gagasan kuasa penjajahan Barat sejak dicatat dalam peta Sepanyol kurun ke 16. lebih kukuh lagi, Malaysia sebagai gagasan asing kuasa imperialis A.S, dicatat pada judul buku Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rules, tulisan profesor Universiti Havard merangkap penasihat luar A.S, Rupert Emerson yang jelas mengkritik pentadbiran kolonial Inggeris dalam suatu gagasan geografi yang bernama Malaysia, peta dan sempada kekuasaan negara. Buku itu diterbitkan Macmillan New York pada tahun 1937, menceritakan cerita tentang kronologi tahun-tahun orang-orang di sini sedang marak semangatnya dengan cita-cita dan hasrat Melayu Raya Nusantara, mengisahkan tahun-tahun orang-orang di sini belum lagi mengerti atau peduli pada makna dari kata Malaysia. Tahun kesetiaan rakyat Tanah Melayu pada negeri dan raja-rajanya, tahun-tahun inggeris masih lagi penjajah ke atas wilayah dengan nama - Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu tidak bersekutu, Negeri-negeri Selat, Borneo-Sabah, Sarawak dan Brunei.

Gagasan A.S tentang Malaysia sepertimana yg dihasratkan Rupert Emerson menjadi kenyataan pada tahun 16 September 1963 bilamana Singapura, Tanah Melayu (atau suka dikenal sebagai Malaya), Sabah dan Sarawak bersama-sama menubuhkan Malaysia. Brunei di saat akhir, menarik diri daripada menyertai Malaysia, dan kekal dibawah naungan jajahan Inggeris hingga ke tahun 1984. Manakala Singapura pula menyertai Malaysia setakat tahun 1965.

Pendokong gagasan Nusantara Melayu Raya seperti Lim Chin Siong dan Said Zahari yang menentang penubuhan Malaysia sebagai projek kolonial A.S, juga beranggapan Singapura sememangnya sudah menjadi bahagian Tanah Melayu, tidak timbul persoalan tentang Singapura masuk Malaysia. Kita tidak akan semudahnya melupakan derita suatu pengorbanan cita-cita masa lalu yg gagal. Perlembagaan rakyat dan gabungan Putera AMCJA, perang anti British darurat, dan kemerdekaan, Barisan Sosialis dan penangkapan ISA terhadap hampir kesemua wakil rakyat Parti Rakyat dan Parti Buruh-Adun, Ahli Parlimen, Ahli Pihak Berkuasa Tempatan, juga pemimpin bahagian dan cawangan, pengharaman pilihanraya majlis tempatan atas kemenangan hampir seluruh kerusi kepada Barisan Sosialis. Presiden Pas, Dr Burhanudin Al-Helmy juga turut merengkok di dalam ISA atas tuduhan kononnya menentang penubuhan Malaysia.

Sekarang kita mesti belajar menjadi Malaysia yang baru, dari semua kegagalannya. Apakah akan dtg kita akan terus mengadap pengajaran dari kegagalan masakini, atau kejayaannya, untuk aku, usah dipedulikan. Kita hanya perlu mencuba, kalau tak cuba, kita tak tahu.-Azlan Zainal

Kediktatoran pada pengertian 'Ketuanan Melayu'

Menaksirkan Ketuanan Melayu sebagai 'Malay superiority’ (keunggulan Melayu) sebaliknya agak tidak bermakna, tidak tepat secara asal usul ilmu bahasa dan secara falsafahnya dilihat angkuh. Saya kira kata 'kediktatoran' lebih dekat pada pengertiannya.

'Wahai Manusia! Tuhan kamu itu esa dan dan kamu semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada orang Arab yang lebih mulia dari orang bukan Arab atau orang bukan Arab lebih mulia dari orang Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih), selain daripada belas kasihannya. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.'- Sabda Nabi Muhammad s.a.w (Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi.

'Malaysia – dipunyai oleh siapa? Kepada warga Malaysia. Tapi siapakah warga Malaysia itu? Tuan Pengerusi Majlis, harapannya sayalah warga itu. Namun kadangkalanya, duduk di kamar ini, saya meragui kalau-kalau saya dibenarkan menjadi warga Malaysia. Ia keraguan yang membuai tergantung dalam pemikiran ramai orang,.... [sekali] emosi digerakkan dalam tindakan, manusia berlaga sesama manusia sepanjang kata-kata yang tidak terucap, kamu akan berdepan dengan perang yang akan memecahkan negara dari atas ke bawah dan meleraikan Malaysia.'– Lee Kuan Yew, Menteri Kanan, Republik Singapura.

Menaksirkan Ketuanan Melayu sebagai 'Malay superiority’ (keunggulan Melayu) sebaliknya agak tidak bermakna, tidak tepat secara asal usul ilmu bahasa dan secara falsafahnya dilihat angkuh. Saya kira kata 'kediktatoran' lebih dekat pada pengertiannya. Seterusnya membaca tulisan ini, tolonglah jauhi daripada membuat penghakiman tentang nilai dan janganlah terperangkap dalam penjara bahasa yang berhubungan dengan kata 'kediktatoran'.

Mendikte ['dikte' kata akar 'diktator'] membawa erti tersirat memberitahu, yang juga bermaksud menceritakan. Menceritakan bermaksud menjalin kisah berasaskan satu ideologi. Mengideologikan bererti mengurung. Mengurung bermaksud akan diperangkap. Kediktatoran di sini bermaksud pemerangkapan. Seseorang itu bukan menyedari kebebasan untuk memerintah tetapi sebaliknya sedar dirinya dalam perangkap – dan cuba keluar dari keadaan yang menjeratnya itu. Inilah bentuk kesedaran palsu.

Kata-kata, seperti yang diungkapkan ahli teori sastera Raymond Williams, perlu dipancangkan pada konteks/diletakkan dalam keadaan ekonomi yang muncul di dalamnya. Pernyataan terkenal Marx bahawa kewujudan manusia itu berdasarkan takrif keadaan ekonomi mereka dan keadaan ekonomi tersebut telah ditentukan sebelum mereka lagi. Ini merupakan pandangan 'ketentuan' (deterministic) dalam sejarah manusia.

Saya pertama kali mendengar ungkapan Ketuanan Melayu yang telah lama diwarwarkan dalam pertengahan 1980-an dari buku karangan Malik Munip. Saya membaca karyanya, dalam masa yang sama menelaah tulisan Lim Kit Siang, ‘Malaysia in the dangerous 80s’ (Malaysia dalam tahun-tahun 80an yang berbahaya) untuk mendapatkan kesan penghujahan.

Saya juga mendengar, para pelajar Melayu tidak digalakkan membaca karya Kit Siang dan digalakkan membaca 'Ketuanan Melayu'. Saya sukakan buku-buku yang diharamkan dan buku yang disebut orang supaya jangan dibaca. Terdapat rasa cabaran intelektual atas keupayaan membaca buku-buku terlarang. Saya membaca buku Mahathir Mohamad, 'Dilema Melayu' dan buku Syed Husin Ali, 'Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya' serta buku, 'Mitos Pribumi Malas' karya Syed Hussein Alattas serentak pada waktu yang sama. Sekali lagi, untuk mendapatkan rasa keseimbangan.

Saya membaca penerbitan rasmi tentang keadaan ekonomi, disamping iringan bacaan rapi analisa ekonomi-politik negara kapitalis Malaysia. Saya membaca karya Sigmud Freud dan Marx bagi melihat sejauhmanakah penghujahan tentang totalitarianisme dari para pengarang besar arus pemikiran Sekolah Kajian Kemasyarakatan Frankfurt (Frankfurt School of Social Research). Saya membaca Al-Quran dan Bhagavad Gita, Ramayana dan Mahabharata untuk melihat dimanakah berdirinya hujah berkenaan keunggulan kaum dan apakah takdir masa hadapan manusia.

Jika kita membaca sejarah perkembangan ideologi ketuanan ini, kita dapat melihat ide tentang penguasaan sosial dan keunggulan kaum kemungkinan segalanya hanyalah berpunca daripada ekonomi. Tetapi soalan saya – siapa yang berhak mendakwa bahawa tanah ini dan itu dipunyai oleh kumpulan orang ini dan itu. Di titik manakah budaya dan kewarganegaraan bertemu dan merundingkan isu berkenaan kesetaraan [fahaman egalitarianisme]? Di mana 'kebenaran satu-satu budaya' itu sampai ke batas hadnya dan datang persoalan menguasai tentang 'kebenaran kewarganegaraan'?

Ia perihal persoalan yang cukup rumit. Warga Malaysia perlu menjawabnya setelah 52 tahun kemerdekaan. Kita mesti membuka ruang perbincangan berkenaan isu ini.

Lirik yang indah penuh propaganda

Mari kita melihat bagaimana gagasan ketuanan Melayu disebar luaskan ke dalam jiwa anak-anak muda. Salah satu caranya, melalui kem-kem pemaksaan kepercayaan (indoctrination) dengan menggunakan nyanyian lagu-lagu. Lebih berdekad lamanya, barangkali jutaan pelajar Melayu diajarkan lagu propaganda berbahaya, ‘WARISAN/Anak Kecil Main Api’. Salah satu rangkapnya mengungkapkan kuasa orang-orang Melayu:

… kini kita cuma tinggal kuasa
yang akan menentukan bangsa
hasil mengalir, ke tangan yang lain
pribumi merintih sendiri…
(senikata lagu Biro Tata Negara)

Saya tidak fikir kita memiliki kejernihan kefahaman terhadap maksud lirik ini. Saya juga meragui penulis lagu ini benar-benar mengerti maksud 'sejarah rakyat Malaya'. Ianya lagu yang berasaskan hasrat perkauman; liriknya ditulis seorang yang tidak memiliki kefahaman ekonomi-politik sejarah warga Malaysia, apatah lagi kemajuan terkini di bidang ilmu kejiwaan (psikologi) tentang kesedaran.

Program-program latihan yang memerangkap jerat dengan tema lagu ini bertujuan menumbuhkan perasaan takut orang Melayu, bukan terhadap orang lain tetapi diri mereka sendiri, serta mengacukan kebencian terhadap kumpulan etnik lainnya tanpa menyedari siapakah musuh sebenar orang Melayu.

Ia menggunakan kaedah merehatkan tubuh bagi membawa gelombang otak dalam isyarat alpha dan keadaan yang bersesuaian untuk penyampaian pesan-pesan tidak senonoh di bawah sedar. Dalam keadaan ini para pelatih dipukau ke dalam keadaan 'separuh tidur' bagi menyerap pesan ketuanan Melayu yang menjajah kesedaran mereka. Teknik ini dipelopori ahli sains Rusia, Barzakov dan Lozanoz di awal tahun 1970-an, dinamakan ’suggestopedia’ yang digunakan untuk menanam rasa takut yang mencengkam dalam diri seseorang dan kebencian mendalam terhadap orang lain.

Sejarah adalah himpunan corak rumit tata cara aturan susunan kata-kata yang saling mempengaruhi di antara teknologi, ideologi, budaya, taksiran dan proses yang melembagakannya. Sejarah tidaklah semudahnya dapat dikurangkan setakat lirik-lirik dangkal yang pernah dinyanyikan suatu waktu dahulu sebelum perang [Dunia Kedua] di Jerman dalam alunan gubahan semangat kebangsaan yang melampau.

Sejarah juga tentang kerumitan perkembangan beransur-ansur (evolusi) kelas pemerintah yang memiliki teknologi-teknologi pengawalan. Seperti kata Marx, pada setiap zaman hanya sejarah penguasa yang mengawal perkakas-perkakas pengeluaran yang akan ditulis dan ditulis kembali. Pemenang menulis sejarah, mereka yang kalah menulis puisi atau mengkaji sains kajian budaya (antropologi), keluh sebahagian orang lagi.

Kembali ke lirik tadi. Setelah 52 tahun kemerdekaan, siapakah yang menderita di Malaysia? Siapa yang menjadi kaya-raya? Siapa yang membesar dan berkembang menjadi raja perompak? Apa yang terjadi ke atas sistem kehakiman kita, universiti kita, jalan-jalan di kota kita, jaminan keselamatan awam kita, sekolah kita, anak muda kita dan keseluruhan penyusunan sosio-ekonomi masyarakat menjelang pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Bagaimana ide ketuanan Melayu menyumbang terhadap keadaan-keadaan yang wujud hari ini?

Bahasa kuasa dan ideologi di alunkan dalam lirik tersebut. Penakrifan 'bumiputera' dimainkan. Ia menjadi kata yang bermasalah dalam era dekonstruksionisme [fahaman tentang kemusnahan makna dan pembinaannya kembali dalam bermacam ragam taksiran atas dobrakan pada makna tersebut]; menurut penyair WB Yeats suatu era dimana tiada lagi pemusatan, “pusat bukan lagi penumpuan segalanya.”

Pemuzik rock akan mengingati lagu terkenal kumpulan Scorpion, 'Winds of Change' bagi mengenang runtuhnya Tembok Berlin dan permulaan pecahnya Empayar Soviet. Kita perlu berdepan dengan 'kemarahan' kata-kata.

Tamatkan Ketuanan Melayu

Bagi umat penganut Islam di Malaysia, sabda Nabi Muhammad S.A.W ini memang biasa didengar:

'Asal usul turunanmu tidak perlu dibanggakan. Tidak juga ia membawa kepadamu keagungan. Wahai Manusia! Tuhan kamu itu esa dan dan kamu semua manusia berasal dari Adam dan Hawa. Kamu semua sama ibarat bijirin gandum di dalam cupak ... tiada yang lebih mulia dari lainnya, kecuali dalam amal saleh dan ketaqwaanmu. Untuk melihat seseorang itu dalam kekejian, mencukupi jika dia menghina orang lain dengan wang, amarah dan pembaziran....'

Saya menyatakan ketuanan Melayu merupakan gagasan berbahaya yang mengancam hubungan kaum. Ia merupakan taksiran sombong terhadap sejarah terpilih; sejarah yang memberi keuntungan besar terhadap sekumpulan orang hasil daripada penerapan ideologi ini.

Siapapun yang mempromosikan gagasan ini adalah dangkal dalam perihal perkara falsafah sejarah. Saya tidak fikir Melayu hari ini membeli ide 'ketuanan Melayu dan kediktatorannya'. Jika ada ketuanan satu-satu kaum itu, maksudnya kaum lain hanyalah 'hamba' dan 'abdi' atau 'warga kelas kedua'. Itupun kalau kita ingin menganalisa dari sudut pandang hikayat 'Tuan dan Hamba'?

Selaku orang Melayu yang ingin melihat berakhirnya gagasan layu Ketuanan Melayu dan lahirnya kesedaran baru yang menghormati martabat semua kaum dan maruah kesemua kumpulan etnik, saya menyeru warga Malaysia untuk terus bersikap kritis terhadap apa jua usaha oleh kaum manapun untuk mencanakkan gagasan ketuanan palsu mereka. Ini kerana ianya akan mencambahkan etnocentrisme [fahaman kecintaan kaum yang melampau] yang berjiran pula dengan xenofobia [fahaman kebencian terhadap orang asing].

Kita perlu bekerja sama untuk mendobrak [dekonstruk] segala bentuk susun aturan politik berasaskan kaum. Seiring dengan itu bekerja ke arah menzahirkan tata cara baru yang berasaskan kepada reka bentuk ekonomi yang lebih setara yang mengambil kira keperluaan asasi dan martabat kesemua kaum. Kita mesti mengajar murid-murid sekolah bagaimana untuk mendobrak rasa keunggulan ketuanan kaum itu, bukan saja dengan mengajar tolak ansur tetapi kesetaraan masyarakat – melalui strategi pendidikan kedamaian. Kita akan menuai hasilnya buat generasi akan datang.-Azlan Zainal

Islam dan Demokrasi, adakah kesamaan padanya?

Selepas forum 'Free Public Forum' atau lebih dikenali dengan FPF 2 bulan yang lalu saya cuba untuk menulis makalah ringkas ini. Isu yang agak panas dan mencabar, antara Demokrat Islam & Demokrat liberal, di manakah letaknya nilai Demokrasi dalam sisi pandang Islam itu sendiri. Menurut Crick, demokrasi telah menjadi perkataan yang paling kacau dalam arena hal ehwal awam. Namun, ia telah menjadi isu penting kehidupan masyarakat moden saat ini. Hampir tidak ada satupun negara di dunia yang tidak endah idea – idea sebegini, sehingga muncul istilah-istilah seperti “Demokrasi Liberal”, “Demokrasi Terpimpin”, “Demokrasi Pancasila”, “Demokrasi Sosial”, dan sebagainya. Kenyataan tersebut tidak terkecuali pada masyarakat Islam. Lalu mula terkait mungkin sedikit dengan konsep seperti bai`ah, musyawarah (syura), dan konsensus (ijma). Ramai yang menerima nilai – nilai Islam itu identik dengan nilai demokrasi namun tidak kurang juganya menganggap Islam itu syumul tanpa perlu dikotori nilai Barat (baca: demokrasi) yang tradisinya amat beza. Tapi adakah tepat sekiranya gagasan Islamisasi ilmu itu berlaku pada tradisi barat seluruhnya sedangkan madrasah dan metodologinya sungguh banyak jauh bezanya.

Demokrasi mempunyai dua aspek, Pertama – tama, sebagai sebuah sistem dan bentuk negara, keduanya, sebagai nilai-nilai universal yang diperjuangkan demi kemanusiaan. Pada aspek yang pertama, sebagai sebuah sistem dan bentuk negara, Islam lebih merupakan sebuah agama dan aturan hidup bermasyarakat, tidak berbicara tentang sistem, apalagi bentuk sebuah negara. Bagi Barat pula, Idea demokrasi moden tidak lagi didasarkan atas pemikiran demokrasi Yunani tetapi dikembangkan sejak renaissance pada abad ke – 16. Idea yang dimaksudkan ialah sekularisme Niccolo Macheavelli (1469-1527), Negara Kontrak Thomas Hobbes (1588-1679), separation of powers oleh John Locke (1632-1704) yang kemudiannya disempurnakan Baron de Montesquieu (1689-1755), serta idea kedaulatan rakyat dan social contract yang diperkenalkan Jean-Jacques Rousseau (1712-1878). (David A. Apter. 1977)

Islam dan demokrasi hasil tulisan Muhammad Uthman el – Muhammady berkisar tentang penerimaan maupun keselarian antara nilai Islam dengan asas demokrasi. Beliau menyatakan tentang beberapa pendapat; Abul – A’la al – Mawdudi dan Syed Qutb. Yang masing – masing menolak langsung konsep kedaulatan popular — kedaulatan rakyat. Kerana Islam meletakkan kekuasaan mutlak pada Tuhan. Namun, yang dimaksudkan dengan kedaulatan rakyat itu selalunya menjunjung nilai – nilai kebebasan, keadilan, dan seumpamanya. Nilai manusiawi, yang juga merupakan nilai ketuhanan. Kedaulatan rakyat hendaklah diifahami sebagai manifestasi pencaran kuasa Tuhan dalam melaksanakan nilai – nilai ini tadi. Makanya, tiada yang tidak koheren di situ. Turut menyertakan tentang beberapa pandangan Ghannouchi yang terpengaruh dengan Malik Bennabi melalui esei “Islam and Democracy”, yang kemudiannya dijelaskan oleh Azzam Tamimi bahawa Islam bukan sahaja tidak bercanggah dengan demokrasi, tetapi ia berkongsi dengannya. Robin Wright kelihatannya sepakat dengan hal itu; Islam mengutamakan persamaan, keadilan, dan kehormatan darjat manusia. Dan ini sekali lagi, tidak dapat tidak punya persamaan dengan penghargaan terhadap keberadaan manusia itu sendiri melalui pemeliharaan hak asasi yang didukung faham demokrasi.

Konsep – konsep tertentu juga dibicarakan dalam pemikiran Islam klasik, antaranya ijmak, al – Sawad al – A’am, Jumhur, al – tarjih bil – kathrah, al – qawaid al – fiqhiyyah yang mempunyai kaitan dengan prinsip majority dalam syura. Mungkin permasalahan yang dihadapi khalayak apabila menganggap apa – apa yang datang daripada Barat ditafsirkan sebagai bukan Islam sebelum menilai gagasan – gagasan yang dibawa sebenarnya miliki nilai Islam yang manusiawi. Tidak kurang juga terdapat para ilmuwan yang membahaskan tentang asas demokrasi itu yang liberal. Yang bagi mereka terpisah daripada agama. Serasa, tidak salah untuk menyatakan bahawa Barat yang mengalami zaman kegelapan dahulu tidak bermusuh dengan agama tetapi dengan gereja pada waktu itu. Liberal – liber yang bermakna bebas, mungkin sahaja punya konotasi bebas daripada kongkongan gereja. Tidak agama.

Islam dan demokrasi bukanlah merupakan item yang berasingan dan berbeza. Kerana sejarah membuktikan syura boleh mengambil bentuk Islamik sehingga kini, dan ia tidak mustahil bagi demokrasi. Syura yang dianggap merupakan Islamik berbanding demokrasi, bukannya wujud selepas kedatangan Islam tetapi kaedah syura ini digunakan semasa pemerintahan Ratu Saba’. Tetapi kaedah terus digunakan semasa zaman Rasul dan para sahabat. Mengapa demikian? Kerana itu adalah kaedah yang terbaik sesuai dengan konteks zamannya, malah tiada sebarang kenyataan dalam al – Quran yang mengarah kepada pemerintahan bentuk yang bagaimana sekalipun, tetapi yang dibangkitkan tentang sistem (jika boleh dipanggil demikian) yang dapat menjamin kebajikan rakyat. Terpulang sama ada ia bentuk demokrasi atau tidak. Sesungguhnya, tidak ada aturan yang jelas dalam al-Qur’an mahupun hadis yang menyebutkan bentuk dan sistem negara yang harus ditegakkan masyarakat khususnya muslim.

Menurut al-Jabiri, persoalan politik dalam Islam baru dimulai saat ada pertemuan antara kaum Anshar dengan Muhajirin di Saqifah Bani Saidah, setelah wafat Rasul, untuk menentukan khalifah. Lalu, membangunlah sistem khalifah dan perilaku politik muslim. Namun, dalam pertemuan yang menghasilkan keputusan yang mengangkat Abu Bakar sebagai khalifah pengganti Rasul, tidak memberikan gambaran yang jelas tentang sistem dan bentuk negara. Kerana persoalan politik pada masa itu ialah tentang penguasa dan bukannya negara sebagai institusi atau sistem. Abu Bakar diangkat berdasarkan bai`ah, mengikuti aturan al-Qur`an dan Hadis. Setelah sumpah setia (bai`ah), khalifah sepenuhnya bertanggung jawab kepada Tuhan dan bukan kepada rakyat. Dikatakan sebegitu tetapi bukankah dengan terlaksananya tanggungjawab pemimpin kepada rakyat, hal itu merupakan manifestasi ketaatannya pada Tuhan.

Soal pemisahan antara negara dan agama juga ditimbulkan. Jika pada zaman khalifah al – Rasyidin, seorang khalifah sekaligus sebagai pemegang autoriti keagamaan menggantikan Rasul s.a.w., tetapi khalifah sejak Umaiyah mulai merenggangkan diri daripada agama. Jadi, di mana letaknya sistem pemerintahan Islam itu mestinya khalifah, tidak demokrasi? Dalam demokrasi sendiri terkandung nilai-nilai universal. Nilai – nilai persamaan (al – musawah), kebebasan (al – huriyah) dan pluralisme (al – musyarakat).

Prinsip persamaan muncul untuk menentang sistem dominasi kekuasaan yang dilakukan aristokrasi atau oligarki serta tuntutan sebagai akibat daripada hierarki dan diskriminasi sosial. Equality of opportunity, iaitu persamaan yang menghapuskan hambatan yang menghalang individu dalam potensinya. (Norman. 1981)

Kebebasan adalah salah satu syarat untuk mewujudkan demokrasi tetapi tidak semua bentuk kebebasan menunjukkan makna demokrasi. Kebebasan yang dimaksud, menurut Norman, hanya menunjuk pada kebebasan politik yang berkaitan dengan demokrasi, iaitu yang mencakup kebebasan bersuara, berpartisipasi dalam politik dan mempengaruhi pemerintahan. Dalam Islam, kebebasan ini meliputi kebebasan beragama dan kebebasan berfikir. Kebebasan beragama adalah kebebasan paling fundamental dalam urusan sosio-politik kehidupan manusia. Ajaran agama yang merupakan ajaran paling benar ternyata tidak dipaksakan. Rasul saw sendiri selalu diingatkan bahwa tugasnya hanya menyampaikan pesan Tuhan tidak berhak memaksa seseorang untuk beriman dan mengikutinya. Kebebasan beragama dalam Islam disebut berulang kali dalam al-Qur`an. Antara lain, pada al-Baqarah, 256, “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama Islam”; al-Kahfi, 29, “Kebenaran itu dari Tuhanmu. Siapa yang ingin silahkan beriman, siapa yang ingin silahkan kafir…”. al-Ghasyiyah, 21-2. Kaedah usul al-fiqh, “al-Hukmu yaduru ma`a illatihi” iaitu hukum berubah sesuai dengan keadaannya. Kaedah usul fiqh menyatakan, Hurriyat al-mar`i mahdudah bi hurriyat siwah iaitu kebebasan individu dibatasi oleh kebebasan orang lain. Prinsip ini juga berlaku dalam soal berpendapat dan bertindak.

Dalam Islam, pluralisme merupakan hukum alam (sunnatullah) yang tidak akan berubah dan ditolak. Al – Quran menyatakan bahawa manusia memang diciptakan dalam pelbagai bangsa dan suku; al-Hujurat, 13. Oleh itu, pluralisme harus diterima dan dihormati majoriti atau minoriti. Bahkan, al – Quran menyatakan bahwa perbezaan pandangan itu hikmah menuju kebaikan; al-Maidah, 48. Untuk menegakkan dan melindungi prinsip pluralisme ini diperlukan adanya nilai-nilai toleransi; al-Baqarah, 62.

Islam dan demokrasi nyata miliki keserupaan malah lebih jauh dari itu, masing – masing membawa nilai universal yang tidak berlawanan tetapi saling memperkuat. Hal ini bukan bermakna Islam itu tempang tanpa demokrasi tetapi ia lebih merupakan apabila saat seseorang itu berbicara soal Islam, ia juga menyentuh nilai demokrasi yang bersamaan.

Senarai rujukan

Norman P. Barry. 1981. An Introduction to Modern Political Theory. Martins Press. New York.

Muhammad Syahrur. 2003. Tirani Islam: Genealogi Masyarakat dan Negara (terj). LKiS Yogyakarta.

David A. Apter. 1977. Introductions to Political Analysis. Winthrop Publisher. Cambridge.
 

different paths

college campus lawn

wires in front of sky

aerial perspective

clouds

clouds over the highway

The Poultney Inn

apartment for rent