Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Meluruskan kembali sejarah perjuangan kemerdekaan

Pada tahun-tahun terakhir sebelum bersara, ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO, Tun Mahathir berulang-ulang menyatakan bahawa perjuangan kemerdekaan negara ini bermula dengan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946, dan kemudian UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 dalam konteks penentangan terhadap Malayan Union itulah yang menuntut kemerdekaan daripada British bersama-sama dengan MCA dan MIC.

Inilah versi sejarah perjuangan kemerdekaan "arus perdana" yang agaknya sudah menjadi "versi rasmi", yang termuat dalam buku-buku teks sekolah dan selalu diulang-ulang oleh media cetak dan media elektronik milik pemerintah atau yang dikuasi oleh parti pemerintah.

Versi sejarah perjuangan kemerdekaan arus perdana ini jelas tidak tepat dan mengelirukan, kerana dari perspektif masa, ia melihatnya dari perspektif jangka pendek. Dengan menyatakaan perjuangan kemerdekaan itu bermula pada tahun 1946, maka yang akan tertonjol ialah peranan UMNO saja dalam perjuangan itu, dan perjuangan kemerdekaan itu seolah-olah merupakan "monopoli UMNO".

Dengan perspektif jangka pendek yang demikian, peranan dan jasa tokoh dan golongan lain yang mempelopori perjuangan kemerdekaan sebelum itu seolah-olah ingin dilupakan dan diketepikan. Ini merupakan satu penyelewangan sejarah, kalau pun bukan pembohongan sejarah, dan mesti dibetulkan (atau "diluruskan" kata orang Indonesia).

Untuk meluruskan kembali sejarah perjuangan kemerdekaan ini, kita sepatutnya menggunakan perspektif masa yang lebih panjang atau lebih awal dari tahun 1946, yang mungkin boleh kita istilahkan sebagai perspektif jangka panjang dan perspektif jangka sederhana.

Dengan perspektif jangka panjang, kita boleh melihat perjuangan kemerdekaan itu sudah pun bermula selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis, atau terkemudian sedikit selepas negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor , Pahang dll jatuh ke tangan Inggeris.

Dengan itu, kita boleh melihat dan menghargai peranan pembesar tradisional Melayu, seperti Datuk Maharajalela dan Datuk Sagur di Perak, Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Pahang dan Tok Janggut di Kelantan dalam perjuangan menentang Inggeris. Mereka bukan pemberontak atau penderhaka sebagaimana yang didakwa oleh Inggeris, tapi perjuang kemerdekaan yang tidak mahu tanah air mereka dijajah dan diperintah oleh kuasa asing.

Dengan perspektif jangka sederhana pula, kita boleh melihat bahawa perjuangan kemerdekaan secara berorganisasi dan dalam bentuknya yang moden sudah bermula pada tahun 1930 dengan penubuhan PKM. Kemudian perjuangan itu diteruskan oleh KMM yang ditubuhkan pada tahun 1937 dan oleh PKMM (bersama badan gabungannya API dan AWAS ) yang ditubuhkan pada tahun 1945.

Jadi kita boleh melihat bahawa perjuangan kemerdekaan dalam bentuknya yang moden itu sudah dipelopori oleh PKM, KMM dan PKMM sebelum UMNO ditubuhkan pada tahun 1946. Dengan itu, pelopor perjuangan kemerdekaan bukan UMNO, tapi ialah pelbagai organisasi yang wujud sebelum UMNO.

Dengan perspektif jangka sederhana ini juga kita boleh melihat dan menghargai peranan pelbagai tokoh yang turut memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan, seperti Ibrahim Yaakob dan Mustapha Hussein (KMM), Dr.Burhanuddin dan Ishak Haji Mohamad (PKMM), Ahmad Boestamam (API) dan Shamsiah Fakeh (AWAS).

Begitu juga mungkin bukan satu kesalahan jika kita mengikiraf peranan PKM dengan tokoh-tokoh Melayunya seperti Abdullah C.D., Rashid Maidin dan Musa Ahmad dalam perjuangan kemerdekaan. Dan adakah satu kesalahan jika kita masukkan juga Chin Peng, tokoh utama PKM, sebagai salah seorang pejuang penting kemerdekaan?

Dengan menggunakan perspektif jangka panjang dan jangka sederhana ini jelaslah pada kita, perjuangan untuk mencapai kemerdekaan negara kita bukan bermula pada tahun 1946, dan Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman, pemimpin UMNO bukanlah pelopor perjuangan kemerdekaan. UMNO dan kedua tokohnya itu sebenarnya hanya menyambung perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh banyak tokoh lain sebelum mereka.

Dengan menggunakan perspektif jangka panjang dan jangka sederhana ini juga saya harap kita dapat "meluruskan" sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita yang telah diselewengkan oleh versi sejarah arus perdana.

Dan dengan itu, adalah satu keharusan kita turut memberi pengiktirafan terhadap peranan dan jasa pelbagai tokoh pejuang kemerdekaan sebelum Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman, yang tentunya tidak wajar dilupakan begitu saja. Bagi saya mereka semua menyumbang jua demi memerdekakan negara, cuma cara dan laranya perjuangannya sahaja yang berbeza.

Tokoh-tokoh yang ingin dilupakan ini tentu wajar dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang tulin, kerana sebahagian besar daripada mereka pernah menjadi penghuni kem tahan dan penjara rejim kolonial, dan sebahagian lagi terpaksa bergadai nyawa apabila keadaan memaksa mereka mengangkat senjata.-Azlan Zainal

0 comments:

Post a Comment



 

different paths

college campus lawn

wires in front of sky

aerial perspective

clouds

clouds over the highway

The Poultney Inn

apartment for rent