AUKU & Mahasiswa Politik
Debat: Saifuddin Abdullah & Ibrahim Abu Shah dalam Soal Jawab TV3
Secara peribadi, saya menyambut baik hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah YB Dato’ Khaleed Noordin; yang pernah satu ketika dahulu untuk menilai semula AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1971 / Pindaan 1974). YB Khaleed Nordin mahu menilai semula AUKU ini demi memberi kebebasan berpersatuan dan autonomi kampus kepada warga Universiti. Namun, dalam pengetahuan saya, perkara ini juga telah pun dinyatakan oleh dua (2) Menteri KPT sebelum beliau; Datuk Mustapha Muhammad dan Dato’ Shafie Salleh. Kita telah maklumi bahawa masih belum ada apa-apa inisiatif dalam hasrat ini. TV3 ada melancarkan kutipan responden. Alhamdulillah, lebih 80 peratus setuju AUKU ini dikaji semula.
Bagi saya, AUKU ini patut dimansuhkan bukan kerana pandangan umum rakyat Malaysia, tetapi kerana substance AUKU itu sendiri jelas zalim dan langsung tidak menjunjung tradisi keintelektualan mahasiswa dan Universiti. Satu-satu perkara yang zalim ini wajib disanggah, biarpun hanya didokong oleh satu jiwa yang adil sahaja.
KPT telah menerima kertas putih dari Jawatankuasa Mengkaji dan Mereputasi kedudukan IPTA tempatan sebelum ini. Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pasca kejatuhan ranking IPTA (merujuk pada Universiti Malaya) dari tangga ke-89 ke tangga 169 ; sebagaimana yang dikeluarkan oleh Times Higher Education Supplement (THES).
Jawatankuasa tersebut telah menyatakan beberapa cadangan. Salah satunya adalah memansuhkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti). Namun, sehingga kini KPT seolah-olah memandang enteng cadangan-cadangan yang telah disampaikan oleh ahli akademik dan cendekiawan tempatan. Perkara seumpama ini sepatutnya dikesali bersama.
Saya ingin memetik pendapat Junaidi Abu Bakar dalam buku Mahasiswa dan Undang-Undang dengan izin. Menurut beliau, setiap undang-undang yang digubal mesti mempunyai niat pengubalannya. Begitu juga dengan AUKU, digubal selepas berlakunya beberapa aksi mahasiswa – (1)penyebaran Manifesto Mahasiswa oleh PMUM (Pertubuhan Mahasiswa Universiti Malaya) menjelang PRU4 sehingga menggugat status quo parti-parti memerintah; (2)Demontrasi anti-Tunku (29/8/69); (3)Demontasi ‘Papan Tanda’ demi mempertahankan bahasa Melayu di UM; dan sebagainya.
Selepas berlakunya beberapa peristiwa tersebut, kerajaan telah menubuhkan ‘Jawatankuasa Mengkaji Kampus’ dan AUKU ini diperkenalkan dan digazet di Parlimen yang mulia ini. Sila rujuk Laporan Muhammad Abu Bakar dalam Mahasiswa Menggugat. Persoalan yang ingin saya timbulkan, adakah mahasiswa pada ketika itu melakukan suatu jenayah di sisi undang-undang Malaysia atau Kerajaan sendiri sebenarnya cuba untuk menutup pekungnya sendiri dengan melumpuhkan aktivitisme mahasiswa secara berperundangan?
Saya secara peribadi yakin, niat pengubalan AUKU ini demi menutup pekung kerajaan semata-mata daripada diketahui umum melalui suara mahasiswa. Sudah lebih 37 tahun, AUKU ini dikuatkuasa ke atas anak-anak kita di kampus. Dan selama itu juga kita telah lihat sejauhmana perkembangan generasi muda dan IPT di Malaysia. Saya telah meneliti beberapa perkara dalam AUKU ini dan saya dapati banyak perkara dalam AUKU ini jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sebagai yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, 1948 dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Islam Sejagat, 1981.
Saya ingin menyebut beberapa seksyen dalam AUKU ini yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia, Seksyen-seksyen tersebut adalah Sekyen 7(1), Sekyen 7(3), Sekyen 8, Sekyen 9, Sekyen 11, Sekyen 12, Sekyen 15(1), Sekyen 15(2), Sekyen 15(3), Sekyen 15(4), Sekyen 15A(1), Sekyen 15A(2), Sekyen 15B(1), Sekyen 15D(1), Sekyen 16 dan banyak lagi. Pendek kata, AUKU hampir kesemua seksyen adalah bertentangan dengan Hak Asasi Manusia. Saya ingin membawa contoh, merujuk pada Seksyen 15(3) dan 15(4), AUKU: Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain pertubuhan.
Bagi saya, akta di atas ini bertentangan dengan Hak Asasi Manusia; kebebasan bersuara dan berpertubuhan sebagaimana yang dijamin oleh Hak Asasi Manusia. Kadang-kadang, saya melihat tukang sapu sampah atau pemandu teksi atau peniaga yang usianya sebaya dengan usia mahasiswa jauh lebih bertuah di Malaysia ini kerana mereka bebas bersuara dan berpertubuhan serta berorganisasi. Justeru, pada hemat saya AUKU ini dimansuhkan. AUKU juga sebenarnya jelas berdiskriminasi hak-hak kemahasiswaan dan tidak berperikemanusian.
Saya ingin membawa contoh, dengan izin. Sila rujuk Seksyen 15D(1):
“Jika seseorang pelajar Universiti dipertuduhkan di bawah kesalahan jenayah maka ianya hendaklah dengan serta-merta digantung daripada menjadi seorang pelajar dan ia tidak boleh, dalam masa menunggu keputusan perbicaraan jenayah itu, tinggal atau masuk dalam kampus atau kampus mana-mana universiti lain.
Dalam disiplin ilmu undang-undang, terdapat suatu maksim yang menegaskan bahawa seseorang individu tidak akan bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah (a man is not guilty until he is proven guilty). Berdasarkan pada nature of law dan contoh seksyen AUKU di atas, jelasnya berlaku pra-penghakiman (pre judgement conviction).
Kes ini lebih ketara dalam isu penangkapan ISA7 yang belum selesai sehingga kini, namun hak belajar dan menerima keadilan di Universiti telah dinafikan oleh mereka. Selain itu juga boleh merujuk dalam isu Norlia bte Syukri vs Universiti of Malaya, 1978 dalam laporan Tribunal Tatatertib Universiti, UM dan laporan tindakan ke atas 1 orang mahasiswa yang ditahan beberapa bulan lepas dan diberikan amaran keras oleh tatatertib Universiti kerana kesalahan mendatangkan kesan buruk secara langsung atau tidak langsung kepada universiti kerana menubuhkan Parti Mahasiswa Negara. Hasil penghujahan yang dilaporkan media dan tribunal perbicaraan walaupun sabit kesalahan tetapi AUKU terbatal sama sekali untuk menjatuhkan hukuman kepada beliau kerana ia bercanggah dengan undang-undang persekutuan dan perlembagaan yang memberikan ruang dan hak yang luas kepada warganegaranya untuk bersuara dan menyatakan pendapat. Jadi hingga kini saya masih keliru di manakah relevannya akta ala rimba ini dan ‘validity’ nya dalam perlaksanaan di kampus bagi mengekang keterlibatan serta mematikan idealisma mahasiswa.
Status Umur 21 tahun, mahasiswa layak berpolitik
Berhubung dengan status umur 21 tahun, sewajarnya bila bergelar student/mahasiswa ; mahasiswa semestinya diberikan ruang dan peluang agar dapat bertindak dan berperanan dengan lebih proaktif, sebagai agen/entiti yang boleh menjadi sebahagian elementasi "check & balance" iaitu semak dan imbang, bersuara memberikan pandangan, menyumbang idea dan sumbangsaran yang lebih baik kepada pihak kerajaan agar lunas demokrasi, pembangunan dan proses pentadbiran yang diamalkan dapat dilaksanakan secara seimbang dan saksama bukan hanya mahasiswa sekadar pergi mengundi pada pilihanraya. Rasionalnya, kewujudan AUKU telah menyekat peranan ini. Bagi saya, mahasiswa mempunyai kapasiti, dan lebih berautoriti untuk berbicara dan mengutarakan pendapat kerana mereka lahir dan hadir daripada kelompok cerdik pandai dan berilmu pengetahuan. Adakah kerajaan takut dan bimbang dengan keberhadiran kelompok mahasiswa yang mempunyai kesedaran ini? Apa bezanya mahasiswa dengan belia muda yang berusia 21 tahun yang diberikan ruang tanpa sekatan, cuma mahasiswa diberikan peluang melanjutkan pelajaran. Natijahnya, apabila bergelar mahasiswa, aku janji dan AUKU dijadikan taruhan/ cagaran, diusung ke sana ke mari hanya dengan tujuan untuk mengekang segala kelibat dan menyekat idealisma mereka sebagai mahasiswa, adakah ini demokrasi? Sewajarnya pihak kerajaan menyokong tindakan ini kerana modal insan yang sebeginilah yang sepatutnya kita lahirkan demi generasi yang lebih cemerlang pada masa akan datang. "Generasi Baru Untuk Malaysia Yang Baru"
Insan yang baik semestinya warganegara yang baik, namun apa yang terjadi kita mampu melahirkan warganegara yang hanya menjadi pengikut yang setia yang kadangkala tidak mengerti apa tanggungjawab dan tuntutan yang perlu ditunaikan sebagai warganegara. Bagi warga pelajar dan mahasiswa, segalanya bermula dengan pendidikan yang akhirnya membuahkan kefahaman dan mencetuskan kesedaran. Apa yang berlaku sistem pendidikan kita gagal melahirkan insan yang baik kerana ia masih bersifat konservatif dan tidak efektif. Para pelajar masih kekal dengan sistem pelajaran kuno (disuap) tanpa di didik agar berfikir dan bertindak, seolah-olah semuanya telah dicaturkan. Senario ini berlaku di semua peringkat/tahap pengajian sama ada rendah, menengah atau tinggi. Kegagalan memikirkan formulasi yang terbaik dalam menyelesaikan masalah ini akhirnya pada persepsi saya akan menyebabkan kita masih dan terus gagal membina masyarakat dan melahirkan generasi warganegara yang baik. Bagaimana boleh melahirkan insan dan warganegara yang baik sekiranya pendedahan tentang peranan itupun tidak cuba diterapkan dengan komprehensif dan konsisten dilapangan ilmu yang sebenar. Ini terbukti kelemahan sistem pendidikan kita tidak berupaya melahirkan warganegara yang prihatin, peka, proaktif kerana kesedaran komponen pendidikan politik pun tidak dapat disalurkan dengan sistematik di segenap lapisan masyarakat. Adakah ia menjadi ketakutan, kegusaran, dan kebimbangan kepada pihak kerajaan sekiranya gelombang kesedaran itu muncul ditengah masyarakat atas dasar kefahaman, keprihatinan dan kepekaan..
Lantaran itu, buat pihak kerajaan dan parti pemerintah, saya amat kesal dan kecewa dengan pihak kerajaan kerana gagal memulangkan segala mandat dan kepercayaan yang diberikan pada pilihanraya yang lepas (PRU 12, Mac 2008) kemenangan pada pilihanraya yang lalu hanya dari kacamata kemenangan kerusi (parlimen & DUN) semata, namun tampak jelas hampir 3 tahun memegang amanah ini, pentadbiran dan kepimpinan ini hanya seolah-olah melepaskan batuk ditangga, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib dan kabinetnya pada amatan saya adalah terlalu lemah walaupun gagasan 1 Malaysia seolah-olah suatu omongan kosong yang cantik pada luaran dan bersifat retorik semata-mata, semakin banyak isu (keselamatan negara, kehakiman, pendidikan, sosial, bencana ekonomi dll) dan gejala salah laku para pegawai kerajaan dan bapak menteri (rasuah, skandal seks, korupsi, pembunuhan dll) semakin hangat didedahkan di dada akhbar dan media massa. Semuanya gagal ditangani dengan baik dan hanya sekadar respon tetapi tidak serius dalam segala tindakan yang diambil. Terlalu banyak kelompangan yang berlaku, namun rakyat tidak diberikan kesedaran dan penerangan, mereka semakin ditindas dan dipergunakan. Sudah masanya rakyat memikirkan sesuatu yang lebih baik untuk memilih kepimpinan negara yang lebih baik pada masa hadapan. Sewajarnya, kita bersedia dan berani membuat perubahan dan bertukar kerajaan jika diberi peluang pada masa akan datang.
Di tambah pula, baru-baru ini isu 4 orang pelajar UKM ditangkap atas pertuduhan berkempen pada pilihan raya Hulu Selangor dan Kes Rosmah Puaka adalah sesuatu yang naif. Adakah layak dan sewajarnya mereka dihukum tanpa meminta penjelasan dan pengadilan serta pihak Universiti menggunakan AUKU sewenang-wenangnya, arahan yang agak tergopoh gapah dan tindakan melulu yang dikeluarkan oleh KPT kepada para Naib Canselor agar mengenalpasti dan mengenakan tindakan kepada mahasiswa yang terlibat dengan politik dan unsur negatif yang mungkin suatu konspirasi ini adalah satu perkara yang pada pandangan saya adalah bukan sebagai penguatkuasaan undang-undang (AUKU) kerana mahasiswa bukanlah "penjenayah" yang dikehendaki, tetapi apa yang kami lakukan ini adalah untuk membuktikan bahawa terlalu banyak kelemahan dan kepincangan yang terjadi dalam negara. Pada amatan kami arahan yang dikeluarkan itu adalah sebagai usaha untuk mempertahankan kekebalan parti pemerintah/ kerajaan dan melindungi segala kepentingan mereka kerana mereka amat bimbang ketika mana mahasiswa terlibat secara langsung dalam mematangkan politik negara dan bersuara.
Terbaru, kerajaan melalui jemaah menteri sebulat suara melarang mahasiswa terlibat aktif dalam politik? Ketakutan semakin memuncak, segalanya nampak terdesak. Forum ‘student power’ pula telah diharamkan di UiTM. Adakah semua ini mampu menghalang kebangkitan mahasiswa? Ataupun mahasiswa yang ada masih tidak sedar tentang apa yang sedang berlaku. Jika dipandang secara sinikalnya, apakah tiada beza antara mahasiswa dan belia muda diluar sana yang bebas menentukan warna politik dan anutan idealisme mereka yang tersendiri. Justeru, hari ini, seluruh elemen gerakan mahasiswa perlu duduk semeja. Bermuhasabahlah. AUKU telah berjaya dipinda. Slogan “Mansuhkan AUKU” entah hilang ke mana. Tekad perlu dibulatkan. Semangat perlu disemarakkan. Benar, AUKU bukan segala-galanya. Aktivisme mahasiswa tidak akan sama-sekali terkesan dengan AUKU. Namun, perlu kita ingat bahawa AUKUlah yang selama ini telah menjadi demon dan dogma jahat yang ditakuti oleh rakan-rakan mahasiswa kita yang lain sehingga mereka terperosok jauh ke dalam kehidupan kampus mereka yang sia-sia.
"Most of the important things in the world have been accomplished by people who have kept on trying when there seemed to be no hope at all." - Dale Carnegie
"Teguh Bersatu Demi Kebenaran, Hidup Mahasiswa"- Azlan Zainal