Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Sebaik-baik pemimpin dan Ulama'

"Sebaik-baik pemerintah adalah yang mendatangi ulama, seburuk-buruk ulama adalah yang mendatangi pemerintah"

(peringatan dari Syaikh 'Ali bin 'Atiyyah al-Hamawi (w:936H)

Perkataan ini sangat popular dan disandarkan kepada Rasulullah SAW dalam banyak kitab-kitab turath yang membincangkan tentang akhlaq ulama. Syaikh 'Ali al-Hamawi menyebut 3 keadaan dalam hubungan antara dua kumpulan elite ini:

1-ulama mendatangi umara: lazimnya inilah seburuk-buruk keadaan.

2-ulama didatangi oleh umara:

3-ulama meng'uzlah diri daripada umara: inilah yang paling selamat.

Ulama adalah pemegang amanah para rasul, Allah mengamanahkan mereka dengan ajaran syara' yang telah dibawa oleh rasul dari segi ilmu dan amalan. Allah telah mentaklifkan atas manusia untuk menuntut ilmu, maka ulama bertanggung-jawab ke atas penyebaran ilmu dan pengamalan terhadap ilmu tersebut, mereka memegang amanah dari segi pegangan aqidah dan ibadat, ke setiap sesuatu yang perlu ditasdiqkanke pada ilmu serta amalan yang muafakat dengan ilmu yang benar pada batin tersembunyi dan pada zahir yang kelihatan Mana-mana yang berjalan di atas sunnah anbiya' , maka dia adalah seorang beramanah, sesiapa yang menyalahi jalan yang tersebut, maka dia adalah pengkhianat. Mendekati pihak penguasa akan memenatkan hatinya, malah sekiranya dia mengira sebagai kebaikan tentang keburukan yang dilakukannya itu , maka ini adalah perbuatan yang mengkhianati Allah dan rasul-Nya. Terdapat perkataan dahulu-kala : sekiranya kamu melihat seorang alim yang cintakan dunia, awasilah dia dari (mempengaruhi) amalan agama kamu. Dan dikatakan orang: Tiada yang lebih menjelekkan daripada seorang alim yang ketika didatangi ke majlis ilmunya, dia tidak berada di situ, lalu ditanya tentangnya, maka dijawab: sesungguhnya dia sedang menjumpai sipenguasa. Ini ditujukan kepada sesiapa yang menjumpai pihak penguasa dan menghadap mereka dengan kata-kata kasar dan menyalahi kehendak mereka, bagaimanakah pula pada sesiapa yang berjumpa pihak penguasa dengan tuturan yang lemah-lembut dan mentaaati kehendak hawa-nafsu mereka?. Imam Sufian ath-Thauri telah berkata: apabila engkau melihat seorang qari (ulama) rapat dengan sultan, ketahuilah dia sebenarnya seorang perompak, sekiranya engkau melihat dia rapat dengan orang kaya-kaya, ketahuilah dia seorang yang bermuka-muka. Disebut oleh Ibnu Saad pada kitab Tabaqat: sesungguhnya seorang lelaki memasukki untuk menemui sultan, dibawa bersama agamanya, dan apabila dia keluar tiada sesuatu daripada agamanya yang tinggal

==================================
Dicatatkan bahawa Imam Ibnu Taimiyyah telah didatangi oleh seorang pedagang yang mengadu yang dia dikhianati oleh seorang penguasa di Damsyik. Lalu Imam itu telah pergi untuk menemui pembesar tersebut, ketika beliau berada di depan rumah pembesar itu, pembesar itu telah menyindir Imam Ibnu Taimiyyah dengan katanya
"terhormatlah seorang pembesar yang berada di depan pintu rumah ulama, dan sebaliknya pada seorang ulama yang berada di depan pintu pembesar". Lalu Imam Ibnu Taimiyyah menjawab : "Diamlah engkau!, adakah hina Nabi Musa yang menadatangi istana Firaun?, Aku datang bukan untuk meminta sesuatu pemberian daripada engkau kecuali untuk menuntut keadilan kepada orang yang telah engkau zalimi"

Tulisan Imam 'Ali bin Atiyyah bertujuan untuk memperingati agar ulama menjaga kemuliaan ketinggian dan kejernihan ilmu yang ada pada mereka. Sehingga mereka melihat tugas mereka memimpin ummah dalam soal ilmu syariat dan bimbingan kerohanian itu lebih tinggi, lebih mulia dan mengatasi kedudukan dan penghormatan yang ada pada pemimpin politik.

Allah memilih orang-orang yang istimewa untuk dijadikan ulama yang sebenar, mereka adalah pewaris anbiya dan pemegang amanah Rasul. Sedangkan Allah membiarkan Firaun, Namrud dan pemerentah yang zalim lain untuk menjadi penguasa dan pemimpin siyasah. Hanya daripada kalangan muslim yang Allah muliakan sebagai ulama, tetapi orang kafir mulhid pun diizinkan Allah untuk menjadi pemimpin.

Imam al-Ghazali RH menyebut tentang pembahagian tugasan siyasah:
-siyasah para anbiya: untuk mentadbir dan memimpin golongan khawas dan orang awam dalam soal aqidah dan ibadat.
-siyasah para ulama: untuk memimpin golongan khawas yang menuntut ilmu agama dan membersihkan jiwa.
-siyasah salatin:untuk memimpin orang awam.

Di zaman sekarang, ulama seperti Syaikh Dr.Abdul Halim Mahmud menyebut terdapat dua bentuk kekhalifan dalam Islam, (1) khilafah dari segi siyasah yang terhenti dengan runtuhnya khalifah Uthmaniyyah (2) khilafah dari segi ilmu dan kefahaman agama yang masih kekal dengan adanya ulama muhaqqiqin, antara yang sepatut menjadi simbolnya adalah Syaikh al-Azhar.

Kalaulah dahulunya peribadi yang terbaik dari segi agama (tidak semestinya yang paling banyak ilmu dan maklumatnya tentang ajaran agama) dan paling layak memimpin telah dilantik menjadi pemimpin ummah, yang kita lihat pada susuk Saiyyidina Abu Bakar, Saiyyidina Umar, Sayyidina Uthman, Saiyyidina 'Ali, kemudian pada susuk Saiyyidina Umar bin Abdul Aziz pada zaman Umayyah, kemudian susuk tubuh pemimpin siyasah (umara) dan ulamanya telah terpisah.

Bagaimanapun secara keseluruhan pemerintah muslim yang terbilang di sepanjang zaman sentiasa menjalani kehidupan secara beragama, memanafaatkan kehadiran ulama dan solihin dalam ajaran dan doa mereka, memimpin tentera ke medan jihad serta terlatih dalam strategi perang, menitikkan beratkan kebajikan rakyat dan mempunyai hemmah yang tinggi terhadap penyebaran ilmu dan penghayatan agama.

Hal yang hampir serupa dibincangkan oleh Syaikh Said Hawwa tentang maksud Jamaah, yang disebut di dalam beberapa hadith yang wajib kita mengabungkan diri, iaitu jamaah ummah di bawah khalifah muslimin ketika ianya masih wujud dan juga jamaah ummah, dalam rupa mazhab ahlu as-sunnah di bawah imam-imam mujtahidin. Syaikh Said Hawwa juga menekankan kepentingan usaha bagi menghidupkan balik institusi pemerentah Islam sebagaimana yang diisyaratkan dalam syariat kita yang luhur itu.

============================================
Imam 'Ali bin 'Atiyyahal-Hamawi juga menyebut maksud perlaksanaan syariat oleh pihak pemerentah adalah:
1-Perkara ad-Daruriyyat: iaitu kesejahteraan agama, jiwa-raga, aqal fikiran, keturunan dan harta. Inilah perkara yang terpenting, di atas maksud inilah berdirinya urusan agama dan urusan dunia. Syara telah menjaga perkara ini dari dua aspek, (1) mewujudkan perkara ini dan melaksanakannya serta (2) melestarikan perlaksanaannya.

2-Perkara al-Ha jiyyat: perkara yang diperlukan oleh manusia untuk memudahkan kehidupan mereka, mengangkat kesulitan dan kepayahan daripada mereka, perkara ini berada di tempat kedua selepas perkara ad-Daruriyyat. Keseluruhan cabang hukum syara telah meringankan kesulitan untuk tidak membebani manusia, serta untuk memudahkan perjalanan kehidupan. Ini meliputi dalam urusan perlaksanaan ibadat, adat kebiasaan , muamalat dan hukuman jinayah.

3-Perkara at-Tahsi nat atau al-Kamaliyyat: iaitu perkara yang berhubung dengan menjaga maruah (harga diri), dan menjaga susila adat kebiasaan. kemuliaan akhlaq, Sekiranya perkara ini hilang, tiadalah ianya merosakkan kehidupan, tetapi kehidupan akan menjadi jelek pada pandangan orang-orang yang beraqal, Ianya menduduki tempat ketiga . Kita akan temuinya dalam perkara ibadat, muamalat, hukuman jinayah dan adab kebiasaan , Allah juga mesyariaatkan selepas perkara-perkara demikian itu adalah mukammalat li ad-Daruriyyat (penyempurnaan bagi tuntutan-tuntutan asas), mukammalat li al-Ha jiyyat (penyempurnaan bagi tuntutan-tuntutan keperluan) dan mukammalat li at-Tahsinat (penyempurnaan bagi tuntutan-tuntutan keelukkan)
==========================

Sangatlah diharapkan kita dapat memahami perkataan Siyasah, kefahamannya dan tauladan perlaksanaannya berdasarkan susur-galur kefahaman yang dibawa oleh ulama ummah ini zaman berzaman. Pendekatan asas kefahaman kita sepatutnya adalah secara textual, kemudian melihat waqi' semasa dan setempat untuk memahami keadaan dan mencari peluang bagi melaksanakan kefahaman yang dibina di atas dasar textual itu setakat yang termampu. Pendekatan kita sepatutnya bukannya pendekatan kontekstual, iaitu pendekatan yang asasnya mengambil kira konteks semasa dan setempat lalu dicari nas-nas (jika ada keperluan) untuk menjadi justifikasi kepada pendekatan yang akan diambil.

Kadang-kadang kita juga tertanya-tertanya kenapa golongan yang menerima pendidikan formal secara agama sangat menuntut agar mereka dinobat dan ditabalkan menjadi pemimpin siyasah. Dari manakah mereka bina kefahaman ini? Bukankah syarat menjadi pemerentah yang disepakati di kalangan ulama itu adalah seorang yang mempunyai sikap adil?, Sementara syarat penguasaan ilmu itu pula menjadi perkara khilaf di kalangan ulama. Bahkan tahap ilmu pun terdapat perbezaan, adakah perlu seorang pemimpin itu mujtahid yang mampu mengistinbatkan hukum dari nas secara langsung atau seorang alim yang muqallid?.

Tetapi sekiranya kita berpegang kepada perlunya sikap adil, maka seorang yang berbohong secara terang-terangan, mentohmahkan orang lain tanpa sebarang baiyyinah, berjanji palsu dan mengkhianati amanah adalah dikira sebagai seorang yang tidak mempunyai sikap adil, walaupun dia mempunyai latar belakang pengajian agama atau memegang jawatan keagamaan sekalipun, maka dari segi feqahnya dia tidak layak diangkat sebagai pemimpin. Kecuali apabila keseluruhan masyarakat telah fasiq, maka yang kurang fasiq itulah yang mempunyai kelebihan.

Diharap pihak berpendidikan agama akan mencerahkan kita dengan ajaran suci agama tanpa kompromi walaupun seakan meminggirkan kepentingan golongan mereka sendiri di dunia ini, dan bukannya menjual-beli ajaran-ajaran agama (apa lagi mengikut tafsiran sendiri dan mempunyai kepentingan tertentu) dengan harga dan nilai dunia yang murah serta akan binasa ini.

0 comments:

Post a Comment



 

different paths

college campus lawn

wires in front of sky

aerial perspective

clouds

clouds over the highway

The Poultney Inn

apartment for rent