Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

UMNO-BN jadi 'bapuk' dan bacul!

BN, will not contest in N14 Penanti!- Ntv7
Bye, election!- The Star

Sekarang UMNO/BN tiba-tiba jadi marah bila pilihan raya kecil diadakan. Demokrasi jangan dipermainkan, kata mereka. Siapa yang mempermainkan demokrasi? Jangan membazir dengan kerap mengadakan pilihan raya kecil. Dari mana dan bagaimana boleh timbul pendapat sebodoh ini sukar difahami. Perhatikan fakta-fakta ini (jika dapat dinamakan fakta). Kata YAB Dato' Seri Najib Perdana Menteri dari Pahang, rakyat mesti diutamakan dalam slogan (bukan konsep, bukan gagasan, apa lagi wawasan; hanya slogan) Satu Malaysia.

Kalau terdapat mana-mana ketua parti korup, tangkap dan bicarakan. TKM 1 Pulau Pinang disiasat dengan cepat ligas oleh Badan Pencegah Rasuah (nama ini masih tepat dan perlu digunakan walaupun sudah ada nama baru) untuk dibawa ke pengadilan. Ini tak dapat dilengah-lengahkan demi kepentingan rakyat. Tetapi apabila orang berkenaan meletakkan kepentingan rakyat dengan melepaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat, dengan membawa kes itu kepada rakyat, seluruh ahli UMNO/BN jadi sangat marah.

Tak perlu berhenti, teruskan. Anda korup kami lebih lagi korup, kami tak susahkan rakyat dengan berhenti jadi wakil mereka. Jangan libatkan rakyat dalam pilihan raya lagi, kami akan malu lagi. Kami akan kalah. Kalau kami percaya kami akan menang, seratus pilihan raya kecil pun kami sambut. Demi kepentingan rakyat, jangan permainkan demokrasi. Anda semua marah bila kami permainkan demokrasi, sekarang jangan buat kerja jahat yang kami buat. Kalau difikir-fikir dengan tenang, siapakah sebenarnya yang menipu dengan menggunakan (kononnya) demokrasi? Fakta kedua. Betapa baculnya UMNO/BN sudah jadi budaya dalam politik Kelantan.

Bagi UMNO, Malaysia bukan negara untuk rakyat Kelantan, oleh itu jika mereka keluar Kelantan mencari kerja, maka hal itu terjadi kerana mereka dizalimi oleh kerajaan PAS. Pada waktu yang sama UMNO berperi-peri bercakap tentang Satu Malaysia dan entah apa-apa lagi yang karut. Bikin orang jadi sasau kerana melontarkan slogan yang tidak difikirkan masak-masak. Semua orang jadi keliru. Kalau betullah slogan Satu Malaysia dan keutamaan kepada rakyat itu menjadi projek politik UMNO/BN di bawah YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, PM dari Pahang, maka kumpulan bangsat yang paling utama mendapat keutamaan ialah rakyat Kelantan.

Menghina rakyat Kelantan

Sudah penuh seratus jilid buku, jika ditulis, kata-kata menghina rakyat Kelantan sebagai bangsat mencari kerja di luar Kelantan, dapat faedah dari kemakmuran yang diberikan oleh UMNO/BN di tempat lain, tak mengenang budi balik undi PAS, menghina demokrasi kerana tak mengenang budi UMNO/BN memberi mereka kerja dan kemewahan. Sekarang sudah ada Satu Malaysia, rakyat diutamakan, kerja dibereskan. Tunggu apa lagi? Curahkan kemakmuran kepada rakyat yang telah kamu tindas sekian lama.

Tapi kamu tidak mahu kerana kamu sering berkata rakyat Kelantan telah mempermainkan demokrasi dengan memilih PAS walaupun makan duit UMNO/BN dan dapat jalan kerana UMNO/BN buat, dapat jambatan (ingat: ada ketua parti jadi jutawan maha jutawan kerana projek-projek untuk rakyat itu) yang selalu sesak kerana rakyat Kelantan yang papa kedana itu banyak kereta harga murah yang menyusahkan orang lain. Kalau betullah Satu Malaysia itu bukan sekadar slogan, yang paling berhak mendapat faedah ialah orang Kelantan. Tapi sialnya mereka telah menyalahgunakan demokrasi dengan tidak memilih UMNO/BN. Fakta ketiga (cukup setakat ini saja) yang baru berlaku.

Kalau mengadakan pilihan raya membazir, bagaimana pula belanja untuk 70,000 rakyat (itu kata Utusan Melayu; di tempat lain orang bilang tak sampai pun 20,000; tapi tak mengapa, memang UMNO/BN sukakan nombor-nombor besar, kerana itu terkilan betul jika dapat angka kecil saja bila diberikan agihan selepas perhimpunan agung parti) yang dikerah (kerah dalam bahasa Melayu bererti dipaksa buat sesuatu, seperti raja mengerah rakyat berperang untuk menjaga takhtanya dalam hikayat-hikayat Melayu) menyambut YAB Datuk Seri Najib bin Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang pulang ke kampung?

Perayaan itu untuk siapa, untuk rakyat atau untuk pemimpin, untuk ketua parti? Tanya rakyat Kelantan dan dengar jawapan mereka. Insya Allah orang Kelantan tidak kata membazir kerana mereka sangat hormatkan pemimpin. Mereka datang menyambut ketua mereka yang jujur ikhlas secara sukarela, tak perlu dikerah. Itulah kehebatan orang berjiwa merdeka. Adapun orang yang memang berjiwa hamba, dia suka dipuja-puja dan sangat gemar memperhambakan orang yang dia fikir terhutang budi kepadanya. Itulah kerendahan peribadi dan akhlak yang paling keji. Rakyat yang sudah ditarbiahkan akan menolak ketua seperti itu.-Azlan Zainal

Pilihan raya kecil lagi!



Pilihan raya kecil N.14 Penanti di Pulau Pinang akan disiytiharkan, berikutan peletakan jawatan ADUN di situ Muhamad Fairus Khairuddin berkuat kuasa hari ini (16 April 2009). Muhamad Fairus yang meletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 baru-baru ini, di samping didakwa terbabit dalam isu rasuah oleh SPRM, mengambil keputusan meletakkan jawatan ADUN. Dalam satu kenyataannya hari ini, Muhamad Fairus mengakui langkah tersebut bagi memelihara nama baik PKR menghadapi tekanan politik yang berterusan daripada BN.

Peletakan jawatan Muhamad Fairus bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan raya Diraja (SPR) mengadakan satu lagi pilihanraya kecil, apabila kerusi N.14 Penanti dikosongkan. Kalangan penganalisis politik berpendapat, apabila BN enggan mengadakan pilihan raya DUN Perak sekalipun kemelut dan krisis perlembagaan semakin rumit, pilihanraya kecil satu demi satu mungkin diatur oleh Pakatan Rakyat (PR). Justeru bagi mengelakkan pilihan raya kecil berlaku berterusan, DUN Perak perlu dibubarkan segera, menurut penganalisis politik.-Azlan Zainal

Dahulu kala...

Dahulu kala....
Ada seorang raja yang mempunyai 4 isteri. Raja ini sangat mencintai isteri keempatnya dan selalu menghadiahkannya pakaian-pakaian yang mahal dan memberinya makanan yang paling enak. Hanya yang terbaik yang akan diberikan kepada sang isteri.

Dia juga sangat memuja isteri ketiganya dan selalu membawanya ke pejabat-pejabat kerajaan tetangga. Itu kerana dia takut suatu saat nanti, isteri ketiganya ini akan meninggalkannya. Sang raja juga menyayangi isteri keduanya. Kerana isterinya yang satu ini merupakan tempat curahan hatinya, yang akan selalu ramah, peduli dan sabar terhadapnya. Pada saat sang raja menghadapi suatu masalah, dia akan mengungkapkan isi hatinya hanya pada isteri kedua kerana dia bisa membantunya melalui masa-masa sulit itu.

Isteri pertama raja adalah pasangan yang sangat setia dan telah memberikan sumbangan dan kontribusi yang besar dalam pemeliharaan kekayaannya mahupun untuk kerajaannya. Akan tetapi, si raja tidak peduli terhadap isteri pertamanya ini meskipun sang isteri begitu mencintainya, tetap saja sulit bagi sang raja untuk memperhatikan isterinya itu. Hingga suatu hari, sang raja jatuh sakit dan dia sedar bahawa kematiannya sudah dekat.

Sambil merenungi kehidupannya yang sangat mewah itu, sang raja lalu berfikir, "Saat ini aku memiliki 4 isteri disampingku, tapi ketika aku pergi, mungkin aku akan sendiri".

Lalu, bertanyalah ia pada isteri keempatnya, "Sampai saat ini, aku paling mencintaimu, aku sudah menghadiahkanmu pakaian-pakaian yang paling indah dan memberi perhatian yang sangat besar hanya untukmu. Sekarang aku sakit, apakah kau akan mengikuti dan tetap menemaniku?"

"Tidak akan!" balas si isteri keempat itu, ia pun pergi tanpa mengatakan apapun lagi.

Jawapan isterinya itu bagaikan pisau yang begitu tepat menusuk jantungnya.

Raja yang sedih itu kemudian berkata pada isteri ketiganya, "Aku sangat memujamu dengan seluruh jiwaku. Sekarang aku sakit, apakah kau tetap mengikuti dan selalu bersamaku?"

"Tidak!" sahut sang isteri. "Hidup ini begitu indah! Saat kau meninggal, akupun akan menikah kembali!"

Perasaan sang raja pun hampa dan membeku.

Beberapa saat kemudian, sang raja bertanya pada isteri keduanya, " Selama ini, bila aku memerlukanmu, kau selalu ada untukku. Jika nanti aku meninggal, apakah kau akan mengikuti dan terus disampingku?"

"Maafkan aku, untuk kali ini aku tidak bisa memenuhi permintaanmu!" jawab isteri keduanya. "Yang bisa aku lakukan, hanyalah ikut menemanimu menuju pemakamanmu."

Lagi-lagi, jawapan si isteri bagaikan petir yang menyambar dan menghancurkan hatinya.

Tiba-tiba, sebuah suara berkata:

"Aku akan bersamamu dan menemanimu kemana pun kau pergi." Sang raja menolehkan kepalanya mencari-cari siapa yang berbicara dan terlihatlah olehnya isteri pertamanya. Dia kelihatan begitu kurus, seperti menderita kekurangan gizi.

Dengan penyesalan yang sangat mendalam kesedihan yang amat sangat, sang raja berkata sendu, "Seharusnya aku lebih memperhatikanmu saat aku masih punya banyak kesempatan!"

Dalam realitinya, sesungguhnya kita semua mempunyai '4 isteri' dalam hidup kita....
'Isteri keempat' kita adalah tubuh kita. Tidak peduli berapa banyak waktu dan usaha yang kita habiskan untuk membuatnya terlihat bagus, tetap saja dia akan meninggalkan kita saat kita meninggal.

Kemudian 'Isteri ketiga' kita adalah cita-cita, kedudukan dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semua itu pasti akan jatuh ke tangan orang lain. Sedangkan 'isteri kedua' kita adalah keluarga dan teman-teman kita. Tak peduli berapa lama waktu yang sudah dihabiskan bersama kita, tetap saja mereka hanya bisa menemani dan mengiringi kita hingga ke pemakaman. Dan akhirnya 'isteri pertama' kita adalah jiwa, ruh, iman kita, (Pedoman) yang sering terabaikan kerana sibuk memburu kekayaan, kekuasaan, dan kepuasan nafsu. Padahal, jiwa, ruh, atau iman inilah yang akan mengikuti kita kemanapun kita pergi.

Jadi perhatikan, tanamkan dan simpan baik-baik dalam hatimu sekarang! Hanya inilah hal terbaik yang bisa kau tunjukkan pada dunia.-Azlan Zainal

Kepimpinan Najib: Era Baru atau 'Barua'?

Utusan Melayu melalui sebuah rencana oleh seorang wartawan kanannya dalam Utusan Malaysia mengisytiharkan kemunculan Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri membawa era baru dalam pemerintahan Malaysia. Era baru? Apakah yang baru itu? Pembebasan 13 orang “ashabul ISA” (penghuni tahanan ISA) yang lama dikurung dalam tahanan tanpa sebarang tuduhan pasti kesalahan mereka, oleh itu mereka dikurung tanpa melakukan apa-apa kesalahan.

Sekali dengar mungkin pelik, tetapi itulah hakikat ISA yang boleh digunakan bila-bila masa terhadap sesiapa saja tanpa sebarang tuduhan, cukup hanya dengan syak wasangka semata-mata. Satu lagi yang baru ialah kebenaran menerbitkan Harakah dan Suara Keadilan diberikan balik walaupun belum sampai masa setelah diharamkan selama tiga bulan. Apa sebab diharamkan? Sebabnya supaya pengundi tiga pilihan raya kecil pada 7 April 2009 lalu tidak membaca dua buah akhbar kecil parti PAS dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang dijangka akan memenangi ketiga-tiga pilihan raya kecil itu. Di sekat bagaimana sekalipun gelombang kebangkitan tetap tidak bisa dibendung.

Apa lagi yang baru? Kabinet baru yang dibentuk kononnya kabinet rakyat tetapi rupanya kabinet Mahathir yang membonekakan mereka agar Najib kekal dipuncak kuasa. Lagi apa yang barunya? Memang terdapat pemisahan besar dari agenda UMNO apabila PM baru anak Tun Razak ini menerima bulat-bulat agenda politik Parti DAP yang dengan lantang mahu mewujudkan “Malaysian Malaysia”, satu projek Parti Tindakan Rakyat Singapura ketika berada dalam Malaysia dulu. Inilah juga asas Malayan Union yang dikatakan ditentang hebat oleh UMNO. Adalah ironik dan mengagumkan apabila UMNO tunduk meluku kepada kehendak Malayan Union melalui “konsep” satu Malaysia yang dilaungkan oleh anak Tun Razak ini.

Barangkali inilah maksud era baru itu, yakni penyelewengan UMNO daripada perjuangan asal menentang Malayan Union kepada menyokong seluruhnya konsep Malayan Union dan “Malaysian Malaysia” Parti DAP. Orang Melayu, seperti biasa, tidak ada masalah untuk menyokong, malah menyokong dengan bangga, gerakan baru yang dibawa oleh anak Tun Razak ini. UMNO dan suku sakatnya akan berkata slogan “satu Malaysia” tidak sama dengan Malayan Union, apa lagi dengan “Malaysian Malaysia” tajaan DAP. Ciri utama “satu Malaysia” ialah tertegaknya institusi beraja yang diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Yang menjadi masalah ialah hingga sekarang UMNO tidak terkenal sebagai parti Melayu yang bermati-matian mempertahankan “kuasa” raja Melayu. UMNO telah banyak kali melalui Parlimen menghakis dan mengikis saki baki kuasa raja-raja Melayu, malah jika anda ingin bercerita tentang penderhakaan Melayu terhadap rajanya, yang jauh lebih hebat dan seru daripada penderhakaan Hang Jebat, anda akan dapat cerita itu dalam tindak tanduk (perhatikan: tindak dan tanduk, seperti kerbau liar yang marah) UMNO selama menguasai Malaysia yang dulunya dipanggil Tanah Melayu (tetapi Tanah Melayu itu hilang di bawah kekuasaan UMNO).

Sungguh malang bagi orang Melayu yang diajar oleh pemerintahnya menjadi leka dalam mimpi siang hari tentang kemakmuran yang akan mereka kecapi di bawah pemerintahan UMNO, masih terus lalai dan leka dengan mimpi baru yang dinamakan Satu Malaysia. Orang Melayu tidak sedar, ketika mereka memerlukan pertolongan, mereka tidak mendapatnya daripada raja-raja mereka; ketika mereka terdesak memerlukan bantuan, mereka harus menunggu bertahun-tahun untuk diacah-acah dengan bantuan; ketika mereka kehilangan maruah dan identiti, mereka disogok dengan naratif keagungan mereka zaman dulu (yang memang sangat kejam di bawah tangan raja-raja Melaka) yang diberi wajah baru, kononnya, dengan nama baru Satu Malaysia.

Dengan mimpi baru itu, orang Melayu akan terus berada dalam perhambaan ketara yang tidak diketarakan melalui sistem pendidikan yang memuja zaman penjajahan dalam projek PPSMI dan projek Islam Hadhari. Dengan itu orang Melayu telah menyerahkan lehernya untuk disembelih oleh sejarah dengan terus menyokong UMNO yang akhirnya mereka kekal sebagai 'barua'. Padahal mereka ada pilihan untuk mengubahnya. Dan adakah masa depan akan menjelmakan ia sebagai satu kenyataan?-Azlan Zainal

Masih banyak lagi?

Masib banyak lagi?

Masih terlalu banyak untuk kita buat perubahan. Buat perubahan bukan dengan pindaan perlembagaan, tapi buat perubahan dengan anjakan hati supaya takut kepada Allah. Buat apa pinda perlembagaan kalau hati masih saja dengan bergelumang dengan aktiviti-aktiviti yang korap seperti dulu-dulunya. Daya kerja masih lemah, fikiran masih tumpul, perasaan sering dangkal, asyik gelisah dan keluh kesah dan masih liar terhadap kebenaran hakiki. Buat apa ubah perlembagaan kalau penyakit sebegini masih banyak daki dan karatnya. Masih berprasangka buruk terhadap orang lain.

Masih suka menghasut. Selalu merongrong ketenangan (tak tenang), merosakkan jasmani dan rohani sendiri dengan berbagai kaedah yang bertentangan dengan tuntutan Islam, asyik menimbulkan psiko-neurosis dan saikosis. Tak habis-habis bermunafiq. Tak habis-habis hasad dengki dan iri hati. Khauf (takut), cemas phobia, malas, kikir, sombong dan takabur, kejam dan ganas. Seribu kali pinda perlembagaan pun tak akan teranjak penyakit yang semakin tebal karatan dan tumpukannya.

Yang penting adalah pindaan perlembagaan hati. Dan salah satu kaedahnya yang mudah ialah mendekati diri dengan ciri-ciri sufistik yang utama sebagai landasan perjuangan untuk perubahan. Sufisme sebagai dasar boleh bertaqarrub (mendekati) Allah.

Perubahan pada hati akan mengubah segala-galanya. Berhijrah dari yang buruk kepada yang baik dari yang baik kepada yang lebih baik adalah kaedah yang satu-satunya yang terbaik.

Begitulah hendak-Nya. Kalau kita ikhlas, Dia akan menolong kita mencapai kebahagiaan. Dengan pindaan perlembagaan hati, dengan sendirinya kita kembali kepada fitrah. Rasuah akan terhakis seluruhnya, kepimpinan kembali kepada kepimpinan yang mulia yang tahu harga malu. Jenayah, sepak terajang, zina dan pelacuran yang bercambah setiap malam akan terhapus.

Mat Rempit tak ada berdetik lagi. Pembunuhan, rompakan, penculikan dan segala dadah dan narkotika dengan sendirinya terbenam kerana bukan saja kita berusaha menghapuskan segala-gala maksiat dan kemungkaran itu tapi Allah bersama kita menolong kita menghapuskan segala maksiat dan kemungkaran itu. Mana ada penolong lain selain Allah yang sanggup menolong kita. Allahlah penolong kita dan ini adalah janji-Nya dengan syarat kita bertaqwa pada-Nya dan hanya kepada-Nya Yang Maha Esa. Ingatlah suatu tika pasti akan sampai masanya melelapkan mata, untuk bertemu Yang Maha Kuasa! –Azlan Zainal

Antara sentimen dan argumen : Untuk Mahathir-Najib punya Organisasi (UMNO)

Lama saya tidak berkesempatan untuk menulis, kesibukan pilihan raya Bukit Gantang dan Selambau serta menyiapkan hasil kajian syarikat Ilham dan proposal MA (sarjana) sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi untuk terus mem’blogging’ hingga tiada ruang sesuai untuk menumpahkan idea dan meluah rasa sebagai anak muda. Hari demi hari isu semakin banyak lalu terlambak, cerita nampak semakin panas, massa seakan tampak bergolak namun para pelakonnya masih tenang mengatur strategi dan bunga tari agar semuanya bisa mengerti apa yang terjadi. Najib Tun Razak baru sahaja menjadi nakhoda Perdana Menteri. Kabinet rakyat versi beliau seakan jelas memakai topeng Mahathir sebagai ‘playmaker’ dibelakangnya. Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda yang baru dinafikan haknya dalam kabinet Najib, jelas ada sesuatu yang tidak kena. Namun begitu, orang Melayu nampaknya masih terpesona dengan borak Tun Dr. Mahathir Mohamed, masih mahu mendengar celoteh politikus ‘samseng’ dengan agenda ‘machievelli’ yang pandai menjerat lawannya sehingga hampir semua pemimpin UMNO yang baik-baik dan pandai-pandai dihumban ke telaga buruk politik UMNO. Semua yang dihumban ke telaga buruk itu tidak muncul-muncul lagi, kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tampil dengan gerakan politik yang memukau rakyat Malaysia, sehingga tiga parti pembangkang terbesar iaitu PKR, PAS dan DAP dapat disatukan untuk menjadi Pakatan Rakyat.

Inilah yang menakutkan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO, walaupun mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan diri mereka dan rakyat bahawa tokoh-tokoh dalam Pakatan Rakyat hanya pandai bermain dengan retorik, tetapi tidak mampu menjadi pemerintah yang baik, dengan memberi bukti Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dapat dirampas dengan mudah, dan yang lain-lain di empat negeri sedang digoncang untuk dicabut akarnya.

Maka tertubuhlah Kabinet Rakyat, sebuah kabinet kitar semula yang di dalamnya berkeliaran ketua-ketua parti yang telah ditolak rakyat, atau dipilih dalam perhimpunan parti yang bergolak dengan rasuah politik. Dengan memberi definisi rasuah politik itu sebagai pertukaran wang dalam perundingan pencalonan untuk memilih ahli Majlis Tertinggi UMNO, maka konsep rasuah disempitkan begitu rupa sehingga terbatas kepada pertukaran wang dalam beli-membeli undi di kalangan perwakilan UMNO. Padahal erti rasuah itu jauh lebih luas, yang seharusnya diketahui oleh anggota UMNO yang dididik dalam Islam Hadhari selama lebih dari lima tahun.

Dalam Islam, konsep rasuah itu diungkapkan dengan menyeluruh dalam konsep fasad, atau kerosakan besar dan terancang oleh manusia yang menentang hukum Allah. Siapakah yang menentang hukum Allah itu dalam politik Malaysia? Maksud pertanyaan ini dikhususkan kepada orang Melayu yang beragama Islam, terutama sekali kepada UMNO yang bersumpah untuk membela bangsa, negara, dan agama (Islam). Oleh sebab mereka telah mengaku dengan sesungguhnya bahawa mereka telus, jujur, ikhlas, dan beradab, maka mereka seharusnya, sewajarnya, menggunakan konsep rasuah dalam konteks fasad yang disebut oleh Al-Quran.

Konsep fasad seharusnya menjadi teras dalam membasmi rasuah dalam Islam Hadhari, kerana itulah ajaran Islam yang jelas tentang perbuatan rasuah. Dalam konteks inilah seharusnya pembangunan ekonomi, pembangunan politik, dan pembangunan masyarakat ditakrifkan dan dilaksanakan. Penjelasan tentang perkara ini boleh diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang yang disebutkan, oleh itu tidak perlu dijelaskan di sini.

Yang lebih penting ialah pertanyaan-pertanyaan yang menjurus kepada penjelasan yang membolehkan kita mengerti mengapa kita menghadapi masalah sosial yang teruk, masalah ekonomi yang menekan rakyat, masalah politik yang memberi keutamaan kepada kuasa dan penggunaan kezaliman dalam mendapatkan kuasa itu melalui undang-undang yang diwujudkan untuk menyekat kebebasan bersuara dan bertindak dalam lingkungan nilai-nilai peradaban yang memihak kepada kebenaran dan kesejahteraan manusia, bukan kelangsungan kezaliman yang mencengkam rakyat.

Apakah pertanyaan-pertanyaan itu? Antaranya ialah: Mengapa kita perlu sebuah Putrajaya, yang di dalamnya termasuk litar lumba kereta yang membawa segala budaya lucah yang jelas bertentangan dengan Islam? Sejauh mana kita telah terjebak dalam tindakan berpaksikan fasad dalam membina bandar baru itu? Adakah Putrajaya contoh pembangunan berteraskan Islam? Seorang pakar seni bina dari sebuah universiti di Lembah Kelang berkata, kurang daripada 5% ciri Islam dan Melayu di Putrajaya.

Jadi ciri siapa yang menjadi kebanggaan kerajaan itu? Kita jangan lupa, pada mulanya Putrajaya dicadangkan diberi nama Taman Firdausi. Apakah tujuan sebenar nama itu dipilih pada mulanya, kemudian ditukar kepada Putrajaya? Jawapan kepada pertanyaan ini akan memberikan kita penjelasan yang tepat erti dan makna pembangunan yang dipakai dalam pembangunan ekonomi Malaysia yang dirancang oleh UMNO/BN. Inilah satu kajian kes yang perlu dibuat, kerana ini akan menyerlahkan hakikat sebenar projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di Malaysia.

Kerajaan Malaysia menyewa Putrajaya, bukan memilikinya. Berapa sewanya setiap bulan? Siapa pemiliknya? Putrajaya Holdings Berhad. Siapakah tokoh-tokoh anggota pengurusannya? Siapa yang mendapat faedah daripada penyewaan harta itu? Sepatutnya tidak ada perkara yang perlu dirahsiakan tentang Putrajaya. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah nanti, bolehkah kerajaan Pakatan Rakyat menyewa Putrajaya? Kalau sudah ada “Kabinet Rakyat”, sudah patut benar rakyat tahu rahsia Putrajaya ini. Sepandai-pandai Si Luncai (Dr. M) pun, rahsia khianatnya terbuka juga.

Pertanyaan lain yang tidak dapat dielakkan ialah: Mengapa kita perlu menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar matematik dan sains? Dr. Mahathir Mohamed telah memberikan 26 dalil, yang sebenarnya bukan dalil, untuk mempertahankan kewujudan PPSMI dalam sistem pendidikan negara Malaysia. Yang dianggap dalil oleh Dr. Mahathir Mohamed bukanlah dalil, tetapi hanyalah sentimen beliau terhadap bahasa Inggeris, berasaskan andaian yang salah dan keliru tentang peranan bahasa dalam pembinaan tamadun manusia.

Jika anda mempelajari sejarah pemikiran manusia dan melihat bagaimana tamadun manusia dibina, maka anda akan dapat melihat dengan jelas dan terang, bahawa asas utamanya ialah bahasa dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang tepat dan fasih. Sebelum ilmu perubatan dan fizik berkembang dalam tamadun Islam, telah lahir terlebih dahulu para genius dalam bidang-bidang sejarah, ilmu-ilmu bahasa dan sastera, filsafat (yang memerlukan penggunaan bahasa yang tepat dan jelas), undang-undang, politik dan semua jenis ilmu yang kini dipanggil ilmu-ilmu kemanusiaan.

Hanya selepas itulah baru lahir ahli sains dan ahli matematik, termasuk fizik, kimia dan lain-lain. Asasnya tetap bahasa. Tetapi di Malaysia terbalik, bahasa diabaikan. Yang terjadi ialah ramainya pakar-pakar sains dan teknologi yang bisu, yang tidak berupaya berbicara dengan teratur, tersusun dan fasih dalam ilmu yang mereka kuasai. Jika ada orang berkata, dengan kesedaran itulah maka Malaysia mengutamakan sains dan teknologi dengan menggunakan bahasa Inggeris kerana bahasa itulah yang senang dikuasai oleh rakyat Malaysia sebab mereka sudah biasa menggunakannya, dan itulah tujuan dan matlamat PPSMI.

Jika kita bertemu dengan orang itu, kita harus melemparkan tahi lembu ke mukanya, kerana cara berfikirnya bercorak dan bersifat kelembuan. Rasulullah SAW telah mengingatkan umat Islam dalam sebuah hadis sahih, yang dikutip oleh Sheikh Abdul Samad al-Palembangi dalam kitabnya, bahawa jika seseorang memuji seseorang lain, maka simbahlah debu ke mukanya. Pemikiran bercorak kelembuan ini tidak diasaskan kepada pengertian yang mendalam tentang prinsip-prinsip pembinaan tamadun manusia. Pemikiran bercorak kelembuan ini bukanlah pemikiran dalam pengertiannya yang hakiki, tetapi hanyalah peluahan sentimen berasaskan kejahilan tentang bagaimana ilmu-ilmu baru dibangunkan oleh ahli fikir dan pakar-pakar bidang tertentu.

Penjelasan tentang aspek ini amat diperlukan, kerana hampir semua ahli politik yang berada dalam UMNO dan Barisan Nasional tidak saja jahil tetapi menentang dengan gigih sebarang gerakan intelektualisme untuk mencerdikkan bangsanya. Adalah tepat dan jitu sekali jika orang membuat kesimpulan bahawa UMNO dan rakan-rakannya telah berjaya membodohkan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, sehingga sampai ke kemuncaknya dalam projek PPSMI tajaan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO ini. Apa juga “hujah” palsu yang bercorak sentimen oleh Dr. Mahathir Mohamed dan rakan-rakannya adalah tidak lebih daripada sejenis bullshit semata-mata.

Seorang profesor filsafat dari Amerika Syarikat telah menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah bullshit ini dalam budaya Amerika sendiri, dibahas dan dijelaskan dengan lebih mendalam oleh ahli-ahli falsafah dari Amerika dan England. Sila rujuk buku dan tulisan mengenainya oleh Prof. Harry G. Frankfurt berjudul “On Bullshit” (mula terbit seawal 1980-an, diterbitkan semula oleh Princeton University Press, 2005).

Corak pemikiran (??) bullshit seperti yang diutarakan oleh Dr. Mahathir Mohamed dan rakan-rakannya dalam UMNO telah dikritik dengan tajam oleh Prof. Syed Naquib al-Attas sejak tahun 1970-an lagi di Malaysia, dalam buku-bukunya yang tertulis dalam bahasa Inggeris (terutamanya Islam and Secularism, 1978) dan dalam rencana serta syarahannya. Apa yang disebut oleh Prof. Frankfurt sebagai bullshit itu dihuraikan oleh Prof. Naquib sebagai masalah kekeliruan dalam konsep ilmu. Orang-orang yang keliru konsep ilmunya itu menjadi biadab, lantas muncullah kehilangan adab secara meluas dalam masyarakat.

Akibatnya yang paling parah ialah munculnya para pemimpin palsu, yang memperoleh kuasa politik dan lain-lain dengan cara tidak beradab. Buku Prof. Syed Naquib al-Attas berjudul “Islam and Secularism” wajib dibaca oleh sesiapa saja yang ingin berbicara tentang adab dan ilmu. Orang-orang tidak beradab dan keliru ini tidak malu sedikit pun melontarkan bullshit mereka dalam akhbar, di TV, dalam syarahan mereka, dan dalam percakapan mereka. Dokumen palsu tentang 26 dalil mengapa PPSMI perlu dikekalkan adalah contoh klasik tentang aspek bullshit di kalangan ahli politik kita.

Hujah bercorak sentimen yang mengatakan bahasa Inggeris menjadi asas sains dan teknologi tidak saja karut dan bohong, tetapi juga satu penghinaan terhadap ahli-ahli ilmu Islam yang meletakkan asas tamadun moden Barat. Jika anda membuat kajian paling dasar sekali pun, anda akan dapat lihat berapa banyak istilah Arab digunakan dalam Ilmu Kimia, tak kurang dari 400 istilah. Jika anda teliti pula matematik moden, anda akan melihat di mana-mana anda berpaling wajah tersenyum dan warak seorang al-Khawarizmi, yang memperkenalkan aljabar dan mempopularkan angka sifar yang berasal dari India.

Malah angka yang kita pakai sekarang masih dipanggil Arabic Numerals oleh orang Barat sendiri. Angka itu kemudiannya ditinggalkan oleh ahli ilmu Islam kerana mereka mempunyai angka mereka sendiri yang serasi dengan tulisan Arab. Yang penting bukan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik, tetapi menggunakan kaedah yang membolehkan murid-murid mengenal keagungan sains dan matematik dalam Islam, yang menjadi asas tamadun Barat. Itu yang kita perlukan.

Itulah yang akan memberi ilham dan dorongan kepada anak-anak kita untuk mencapai taraf seorang Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd (ulama besar dan ahli falsafah yang menghuraikan pemikiran Aristotle yang menjadi rujukan dan model kepada Barat), dan beratus lagi ahli sains dan matematik yang dilahirkan oleh tamadun Islam melalui bahasa Arab. Dengan berpaksikan Islam, orang Melayu pun akan mencapai ketinggian Ilmu dengan menggunakan bahasa Melayu. Hanya pemikiran kelembuan yang jahil saja yang tidak dapat melihat hakikat ini. Adalah tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa hanya orang yang berfikiran bullshit saja yang sanggup mengemukakan PPSMI untuk rakyat Malaysia dan bermati-matian pula mempertahankannya.

Jika anda melihat PPSMI dalam konteks yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt tentang bullshit dan Prof. Syed Naquib al-Attas tentang adab dan kekeliruan dalam konsep ilmu, anda akan faham mengapa PPSMI hanya sejenis bullshit sahaja, yang tidak perlu diwujudkan sama sekali. Membersihkan bullshit dalam pemikiran dan mengusahakan wujudnya konsep ilmu yang benar dalam masyarakat adalah tugas penting rakyat Malaysia, terutama di kalangan orang berilmu dan ahli akademik. Kerja begini tidak boleh dan tidak mungkin dilakukan oleh Si Luncai yang secara tabi’i jenis manusia penipu. – Azlan Zainal

Melayu hilang bangsanya, kerana banyak wawasan cacamarba!

Malaysia, bukan Tanah Melayu yang sudah hilang, mempunyai banyak keistimewaan. Selain kaya dengan hasil bumi pelbagai macam, kita juga kaya dengan manusia pelbagai kaum. Orang Melayu, yang dianggap bumiputera dengan hak istimewa tertentu, tidak lagi boleh dipanggil “bangsa Melayu” kerana kedudukannya telah diturunkan sebagai salah satu kaum “pendatang” yang sama tarafnya dengan semua kaum pendatang selain Melayu.

Perkataan kaum itu sendiri tidak lagi kerap dipakai, kerana dalam suasana politik yang ada telah ditentukan perkataan yang tepat adalah “etnik”. Jadi jika anda orang Melayu, anda adalah salah satu jenis etnik yang ada di Malaysia. Jika anda masih mahu menggelarkan diri anda bangsa Melayu, anda adalah rasis (kini tidak lagi dipanggil perkauman kerana menurut pandangan yang dipopularkan oleh kaum Yahudi, rasis itu lebih tepat). Mengikut kehendak politik sekarang, anda adalah salah satu suku kecil bergelar etnik yang setaraf dengan orang asli, bumiputera asli, pendatang asli dari China, India, Arab dan lain-lain.

Anda tidak mempunyai apa-apa keistimewaan, dengan itu menurut pandangan ini adalah karut jika anda masih mahu mempertahankan “ketuanan Melayu” kerana menurut politik sekarang “ketuanan Melayu” adalah gerakan rasis yang mesti ditentang dan dihapuskan. Kedudukan anda sebagai etnik Melayu dalam Perlembagaan tidak boleh dipinda pada waktu ini, tetapi boleh digugat dan digoncang untuk membuat anda berasa ragu dan takut.

Dalam konteks inilah munculnya Wawasan Satu Malaysia, untuk menterjemahkan ketakutan anda sebagai etnik Melayu supaya mengerti keadaan politik di Malaysia sudah berubah, oleh itu anda sebagai etnik Melayu mestilah bersedia untuk menerima perubahan itu dan mesti berani menghadapi tentangan dari segenap penjuru setelah ketua-ketua anda yang anda anggap sebagai penyelamat anda terbukti bukan penyelamat anda, tetapi penyelamat diri mereka sendiri. Adakah anda faham situasi kelam-kabut ini?

Cubalah anda fikirkan dan faham supaya anda sedar betapa jauhnya anda telah dibawa oleh ketua-ketua anda yang sebenarnya anda tidak perlukan. Itulah makna politik baru, jika anda belum faham. Dalam konteks itulah Wawasan Satu Malaysia itu berada. Masalahnya anda tidak dibenarkan berbincang tentang “wawasan” ini. Berbagai-bagai amaran telah dibuat untuk menakutkan anda supaya menerima saja Wawasan Satu Malaysia, tanpa sebarang perbincangan kritis dan sengit.

Sekarang anda tidak boleh berkata Satu Malaysia itu penjelmaan daripada Malaysian Malaysia yang mula-mula sekali disuarakan oleh Lee Kuan Yew dari Singapura, diangkat menjadi slogan yang menggerunkan orang Melayu oleh parti DAP (Malaysia), dan kini “seolah-olah” diteruskan oleh UMNO/BN melalui Perdana Menteri baru. Jika kita dibenarkan berbincang, mungkin kita akan sampai kepada program Dato’ Onn yang menolak UMNO dengan menubuhkan parti baru, malah kita akan sampai kepada projek penjajah Inggeris melalui Malayan Union.

Jika kita dibenarkan berbincang secara terbuka, kita akan melihat, seperti yang tertulis dalam sejarah, bahawa Malayan Union dipindahkan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu yang diterima baik oleh orang Melayu (ketika itu masih boleh dipanggil orang Melayu) kerana menurut mereka raja-raja mereka telah diberi kedudukan baru, menurut pilihan Inggeris. Raja-raja Melayu yang sedia berkuasa ditukar oleh Inggeris jika didapati menentang Inggeris.

Penyesuaian menurut cita rasa Inggeris dilakukan dengan persetujuan orang Melayu sendiri, oleh itu ahli sejarah mendapati agak sukar hendak menulis sejarah “kerajaan Melayu” kerana adanya pertukaran itu. Sejarah yang kita baca dan terima sekarang adalah versi Inggeris, yang dilembagakan dalam Perlembagaan Persekutuan, oleh itu tidak boleh diubah. Bolehkah kita berkata dengan wujudnya Wawasan Satu Malaysia ini sejarah itu telah dipaku mati, tidak boleh dibuka lagi dan tidak boleh diberi tafsiran kritis?

Anda juga tidak boleh berkata Wawasan Satu Malaysia adalah lanjutan daripada Wawasan 2020, kerana kesimpulan itu bermakna kedua-dua wawasan yang kelihatan berbeza itu pada hakikatnya adalah sama, dengan matlamat yang sama, iaitu untuk melanjutkan PPSMI dalam sistem pendidikan negara ini, dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai teras pembinaan tamadun moden di Malaysia.

Dari perspektif itulah maka kedua-dua wawasan ini sebenarnya lanjutan daripada projek Malayan Union yang kononnya ditolak oleh UMNO, padahal pada hakikatnya UMNO wujud sebagai projek Inggeris untuk melaksanakan Malayan Union mengikut cita rasa pemimpin Melayu yang pro-Inggeris menjadi alat Inggeris untuk “merundingkan” kemerdekaan dengan etnik China, India dan lain-lain yang menyebelahi Inggeris dalam Perang Dunia II.

Tentulah sangat ironis apabila hanya selepas 50 tahun baru orang Melayu sedar, jika ada yang sedar, bahawa yang disebut “kemerdekaan” itu ialah perkongsian sama rata antara tiga etnik utama Tanah Melayu (yang sudah hilang) dimulai dengan penerimaan pemimpin UMNO terhadap kerakyatan jus soli. Nah, itulah sejarahnya, seperti yang terjadi, bukan seperti yang tertulis. Dari perspektif itulah kita harus membaca makna dan maksud Wawasan 2020 dan lanjutannya Wawasan Satu Malaysia yang mendaulatkan PPSMI. – Azlan Zainal