Melayu hilang bangsanya, kerana banyak wawasan cacamarba!
Malaysia, bukan Tanah Melayu yang sudah hilang, mempunyai banyak keistimewaan. Selain kaya dengan hasil bumi pelbagai macam, kita juga kaya dengan manusia pelbagai kaum. Orang Melayu, yang dianggap bumiputera dengan hak istimewa tertentu, tidak lagi boleh dipanggil “bangsa Melayu” kerana kedudukannya telah diturunkan sebagai salah satu kaum “pendatang” yang sama tarafnya dengan semua kaum pendatang selain Melayu.
Perkataan kaum itu sendiri tidak lagi kerap dipakai, kerana dalam suasana politik yang ada telah ditentukan perkataan yang tepat adalah “etnik”. Jadi jika anda orang Melayu, anda adalah salah satu jenis etnik yang ada di Malaysia. Jika anda masih mahu menggelarkan diri anda bangsa Melayu, anda adalah rasis (kini tidak lagi dipanggil perkauman kerana menurut pandangan yang dipopularkan oleh kaum Yahudi, rasis itu lebih tepat). Mengikut kehendak politik sekarang, anda adalah salah satu suku kecil bergelar etnik yang setaraf dengan orang asli, bumiputera asli, pendatang asli dari China, India, Arab dan lain-lain.
Anda tidak mempunyai apa-apa keistimewaan, dengan itu menurut pandangan ini adalah karut jika anda masih mahu mempertahankan “ketuanan Melayu” kerana menurut politik sekarang “ketuanan Melayu” adalah gerakan rasis yang mesti ditentang dan dihapuskan. Kedudukan anda sebagai etnik Melayu dalam Perlembagaan tidak boleh dipinda pada waktu ini, tetapi boleh digugat dan digoncang untuk membuat anda berasa ragu dan takut.
Dalam konteks inilah munculnya Wawasan Satu Malaysia, untuk menterjemahkan ketakutan anda sebagai etnik Melayu supaya mengerti keadaan politik di Malaysia sudah berubah, oleh itu anda sebagai etnik Melayu mestilah bersedia untuk menerima perubahan itu dan mesti berani menghadapi tentangan dari segenap penjuru setelah ketua-ketua anda yang anda anggap sebagai penyelamat anda terbukti bukan penyelamat anda, tetapi penyelamat diri mereka sendiri. Adakah anda faham situasi kelam-kabut ini?
Cubalah anda fikirkan dan faham supaya anda sedar betapa jauhnya anda telah dibawa oleh ketua-ketua anda yang sebenarnya anda tidak perlukan. Itulah makna politik baru, jika anda belum faham. Dalam konteks itulah Wawasan Satu Malaysia itu berada. Masalahnya anda tidak dibenarkan berbincang tentang “wawasan” ini. Berbagai-bagai amaran telah dibuat untuk menakutkan anda supaya menerima saja Wawasan Satu Malaysia, tanpa sebarang perbincangan kritis dan sengit.
Sekarang anda tidak boleh berkata Satu Malaysia itu penjelmaan daripada Malaysian Malaysia yang mula-mula sekali disuarakan oleh Lee Kuan Yew dari Singapura, diangkat menjadi slogan yang menggerunkan orang Melayu oleh parti DAP (Malaysia), dan kini “seolah-olah” diteruskan oleh UMNO/BN melalui Perdana Menteri baru. Jika kita dibenarkan berbincang, mungkin kita akan sampai kepada program Dato’ Onn yang menolak UMNO dengan menubuhkan parti baru, malah kita akan sampai kepada projek penjajah Inggeris melalui Malayan Union.
Jika kita dibenarkan berbincang secara terbuka, kita akan melihat, seperti yang tertulis dalam sejarah, bahawa Malayan Union dipindahkan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu yang diterima baik oleh orang Melayu (ketika itu masih boleh dipanggil orang Melayu) kerana menurut mereka raja-raja mereka telah diberi kedudukan baru, menurut pilihan Inggeris. Raja-raja Melayu yang sedia berkuasa ditukar oleh Inggeris jika didapati menentang Inggeris.
Penyesuaian menurut cita rasa Inggeris dilakukan dengan persetujuan orang Melayu sendiri, oleh itu ahli sejarah mendapati agak sukar hendak menulis sejarah “kerajaan Melayu” kerana adanya pertukaran itu. Sejarah yang kita baca dan terima sekarang adalah versi Inggeris, yang dilembagakan dalam Perlembagaan Persekutuan, oleh itu tidak boleh diubah. Bolehkah kita berkata dengan wujudnya Wawasan Satu Malaysia ini sejarah itu telah dipaku mati, tidak boleh dibuka lagi dan tidak boleh diberi tafsiran kritis?
Anda juga tidak boleh berkata Wawasan Satu Malaysia adalah lanjutan daripada Wawasan 2020, kerana kesimpulan itu bermakna kedua-dua wawasan yang kelihatan berbeza itu pada hakikatnya adalah sama, dengan matlamat yang sama, iaitu untuk melanjutkan PPSMI dalam sistem pendidikan negara ini, dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai teras pembinaan tamadun moden di Malaysia.
Dari perspektif itulah maka kedua-dua wawasan ini sebenarnya lanjutan daripada projek Malayan Union yang kononnya ditolak oleh UMNO, padahal pada hakikatnya UMNO wujud sebagai projek Inggeris untuk melaksanakan Malayan Union mengikut cita rasa pemimpin Melayu yang pro-Inggeris menjadi alat Inggeris untuk “merundingkan” kemerdekaan dengan etnik China, India dan lain-lain yang menyebelahi Inggeris dalam Perang Dunia II.
Tentulah sangat ironis apabila hanya selepas 50 tahun baru orang Melayu sedar, jika ada yang sedar, bahawa yang disebut “kemerdekaan” itu ialah perkongsian sama rata antara tiga etnik utama Tanah Melayu (yang sudah hilang) dimulai dengan penerimaan pemimpin UMNO terhadap kerakyatan jus soli. Nah, itulah sejarahnya, seperti yang terjadi, bukan seperti yang tertulis. Dari perspektif itulah kita harus membaca makna dan maksud Wawasan 2020 dan lanjutannya Wawasan Satu Malaysia yang mendaulatkan PPSMI. – Azlan Zainal
0 comments:
Post a Comment