Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Antara sentimen dan argumen : Untuk Mahathir-Najib punya Organisasi (UMNO)

Lama saya tidak berkesempatan untuk menulis, kesibukan pilihan raya Bukit Gantang dan Selambau serta menyiapkan hasil kajian syarikat Ilham dan proposal MA (sarjana) sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi untuk terus mem’blogging’ hingga tiada ruang sesuai untuk menumpahkan idea dan meluah rasa sebagai anak muda. Hari demi hari isu semakin banyak lalu terlambak, cerita nampak semakin panas, massa seakan tampak bergolak namun para pelakonnya masih tenang mengatur strategi dan bunga tari agar semuanya bisa mengerti apa yang terjadi. Najib Tun Razak baru sahaja menjadi nakhoda Perdana Menteri. Kabinet rakyat versi beliau seakan jelas memakai topeng Mahathir sebagai ‘playmaker’ dibelakangnya. Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda yang baru dinafikan haknya dalam kabinet Najib, jelas ada sesuatu yang tidak kena. Namun begitu, orang Melayu nampaknya masih terpesona dengan borak Tun Dr. Mahathir Mohamed, masih mahu mendengar celoteh politikus ‘samseng’ dengan agenda ‘machievelli’ yang pandai menjerat lawannya sehingga hampir semua pemimpin UMNO yang baik-baik dan pandai-pandai dihumban ke telaga buruk politik UMNO. Semua yang dihumban ke telaga buruk itu tidak muncul-muncul lagi, kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tampil dengan gerakan politik yang memukau rakyat Malaysia, sehingga tiga parti pembangkang terbesar iaitu PKR, PAS dan DAP dapat disatukan untuk menjadi Pakatan Rakyat.

Inilah yang menakutkan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO, walaupun mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan diri mereka dan rakyat bahawa tokoh-tokoh dalam Pakatan Rakyat hanya pandai bermain dengan retorik, tetapi tidak mampu menjadi pemerintah yang baik, dengan memberi bukti Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dapat dirampas dengan mudah, dan yang lain-lain di empat negeri sedang digoncang untuk dicabut akarnya.

Maka tertubuhlah Kabinet Rakyat, sebuah kabinet kitar semula yang di dalamnya berkeliaran ketua-ketua parti yang telah ditolak rakyat, atau dipilih dalam perhimpunan parti yang bergolak dengan rasuah politik. Dengan memberi definisi rasuah politik itu sebagai pertukaran wang dalam perundingan pencalonan untuk memilih ahli Majlis Tertinggi UMNO, maka konsep rasuah disempitkan begitu rupa sehingga terbatas kepada pertukaran wang dalam beli-membeli undi di kalangan perwakilan UMNO. Padahal erti rasuah itu jauh lebih luas, yang seharusnya diketahui oleh anggota UMNO yang dididik dalam Islam Hadhari selama lebih dari lima tahun.

Dalam Islam, konsep rasuah itu diungkapkan dengan menyeluruh dalam konsep fasad, atau kerosakan besar dan terancang oleh manusia yang menentang hukum Allah. Siapakah yang menentang hukum Allah itu dalam politik Malaysia? Maksud pertanyaan ini dikhususkan kepada orang Melayu yang beragama Islam, terutama sekali kepada UMNO yang bersumpah untuk membela bangsa, negara, dan agama (Islam). Oleh sebab mereka telah mengaku dengan sesungguhnya bahawa mereka telus, jujur, ikhlas, dan beradab, maka mereka seharusnya, sewajarnya, menggunakan konsep rasuah dalam konteks fasad yang disebut oleh Al-Quran.

Konsep fasad seharusnya menjadi teras dalam membasmi rasuah dalam Islam Hadhari, kerana itulah ajaran Islam yang jelas tentang perbuatan rasuah. Dalam konteks inilah seharusnya pembangunan ekonomi, pembangunan politik, dan pembangunan masyarakat ditakrifkan dan dilaksanakan. Penjelasan tentang perkara ini boleh diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang yang disebutkan, oleh itu tidak perlu dijelaskan di sini.

Yang lebih penting ialah pertanyaan-pertanyaan yang menjurus kepada penjelasan yang membolehkan kita mengerti mengapa kita menghadapi masalah sosial yang teruk, masalah ekonomi yang menekan rakyat, masalah politik yang memberi keutamaan kepada kuasa dan penggunaan kezaliman dalam mendapatkan kuasa itu melalui undang-undang yang diwujudkan untuk menyekat kebebasan bersuara dan bertindak dalam lingkungan nilai-nilai peradaban yang memihak kepada kebenaran dan kesejahteraan manusia, bukan kelangsungan kezaliman yang mencengkam rakyat.

Apakah pertanyaan-pertanyaan itu? Antaranya ialah: Mengapa kita perlu sebuah Putrajaya, yang di dalamnya termasuk litar lumba kereta yang membawa segala budaya lucah yang jelas bertentangan dengan Islam? Sejauh mana kita telah terjebak dalam tindakan berpaksikan fasad dalam membina bandar baru itu? Adakah Putrajaya contoh pembangunan berteraskan Islam? Seorang pakar seni bina dari sebuah universiti di Lembah Kelang berkata, kurang daripada 5% ciri Islam dan Melayu di Putrajaya.

Jadi ciri siapa yang menjadi kebanggaan kerajaan itu? Kita jangan lupa, pada mulanya Putrajaya dicadangkan diberi nama Taman Firdausi. Apakah tujuan sebenar nama itu dipilih pada mulanya, kemudian ditukar kepada Putrajaya? Jawapan kepada pertanyaan ini akan memberikan kita penjelasan yang tepat erti dan makna pembangunan yang dipakai dalam pembangunan ekonomi Malaysia yang dirancang oleh UMNO/BN. Inilah satu kajian kes yang perlu dibuat, kerana ini akan menyerlahkan hakikat sebenar projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di Malaysia.

Kerajaan Malaysia menyewa Putrajaya, bukan memilikinya. Berapa sewanya setiap bulan? Siapa pemiliknya? Putrajaya Holdings Berhad. Siapakah tokoh-tokoh anggota pengurusannya? Siapa yang mendapat faedah daripada penyewaan harta itu? Sepatutnya tidak ada perkara yang perlu dirahsiakan tentang Putrajaya. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah nanti, bolehkah kerajaan Pakatan Rakyat menyewa Putrajaya? Kalau sudah ada “Kabinet Rakyat”, sudah patut benar rakyat tahu rahsia Putrajaya ini. Sepandai-pandai Si Luncai (Dr. M) pun, rahsia khianatnya terbuka juga.

Pertanyaan lain yang tidak dapat dielakkan ialah: Mengapa kita perlu menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar matematik dan sains? Dr. Mahathir Mohamed telah memberikan 26 dalil, yang sebenarnya bukan dalil, untuk mempertahankan kewujudan PPSMI dalam sistem pendidikan negara Malaysia. Yang dianggap dalil oleh Dr. Mahathir Mohamed bukanlah dalil, tetapi hanyalah sentimen beliau terhadap bahasa Inggeris, berasaskan andaian yang salah dan keliru tentang peranan bahasa dalam pembinaan tamadun manusia.

Jika anda mempelajari sejarah pemikiran manusia dan melihat bagaimana tamadun manusia dibina, maka anda akan dapat melihat dengan jelas dan terang, bahawa asas utamanya ialah bahasa dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang tepat dan fasih. Sebelum ilmu perubatan dan fizik berkembang dalam tamadun Islam, telah lahir terlebih dahulu para genius dalam bidang-bidang sejarah, ilmu-ilmu bahasa dan sastera, filsafat (yang memerlukan penggunaan bahasa yang tepat dan jelas), undang-undang, politik dan semua jenis ilmu yang kini dipanggil ilmu-ilmu kemanusiaan.

Hanya selepas itulah baru lahir ahli sains dan ahli matematik, termasuk fizik, kimia dan lain-lain. Asasnya tetap bahasa. Tetapi di Malaysia terbalik, bahasa diabaikan. Yang terjadi ialah ramainya pakar-pakar sains dan teknologi yang bisu, yang tidak berupaya berbicara dengan teratur, tersusun dan fasih dalam ilmu yang mereka kuasai. Jika ada orang berkata, dengan kesedaran itulah maka Malaysia mengutamakan sains dan teknologi dengan menggunakan bahasa Inggeris kerana bahasa itulah yang senang dikuasai oleh rakyat Malaysia sebab mereka sudah biasa menggunakannya, dan itulah tujuan dan matlamat PPSMI.

Jika kita bertemu dengan orang itu, kita harus melemparkan tahi lembu ke mukanya, kerana cara berfikirnya bercorak dan bersifat kelembuan. Rasulullah SAW telah mengingatkan umat Islam dalam sebuah hadis sahih, yang dikutip oleh Sheikh Abdul Samad al-Palembangi dalam kitabnya, bahawa jika seseorang memuji seseorang lain, maka simbahlah debu ke mukanya. Pemikiran bercorak kelembuan ini tidak diasaskan kepada pengertian yang mendalam tentang prinsip-prinsip pembinaan tamadun manusia. Pemikiran bercorak kelembuan ini bukanlah pemikiran dalam pengertiannya yang hakiki, tetapi hanyalah peluahan sentimen berasaskan kejahilan tentang bagaimana ilmu-ilmu baru dibangunkan oleh ahli fikir dan pakar-pakar bidang tertentu.

Penjelasan tentang aspek ini amat diperlukan, kerana hampir semua ahli politik yang berada dalam UMNO dan Barisan Nasional tidak saja jahil tetapi menentang dengan gigih sebarang gerakan intelektualisme untuk mencerdikkan bangsanya. Adalah tepat dan jitu sekali jika orang membuat kesimpulan bahawa UMNO dan rakan-rakannya telah berjaya membodohkan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, sehingga sampai ke kemuncaknya dalam projek PPSMI tajaan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO ini. Apa juga “hujah” palsu yang bercorak sentimen oleh Dr. Mahathir Mohamed dan rakan-rakannya adalah tidak lebih daripada sejenis bullshit semata-mata.

Seorang profesor filsafat dari Amerika Syarikat telah menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah bullshit ini dalam budaya Amerika sendiri, dibahas dan dijelaskan dengan lebih mendalam oleh ahli-ahli falsafah dari Amerika dan England. Sila rujuk buku dan tulisan mengenainya oleh Prof. Harry G. Frankfurt berjudul “On Bullshit” (mula terbit seawal 1980-an, diterbitkan semula oleh Princeton University Press, 2005).

Corak pemikiran (??) bullshit seperti yang diutarakan oleh Dr. Mahathir Mohamed dan rakan-rakannya dalam UMNO telah dikritik dengan tajam oleh Prof. Syed Naquib al-Attas sejak tahun 1970-an lagi di Malaysia, dalam buku-bukunya yang tertulis dalam bahasa Inggeris (terutamanya Islam and Secularism, 1978) dan dalam rencana serta syarahannya. Apa yang disebut oleh Prof. Frankfurt sebagai bullshit itu dihuraikan oleh Prof. Naquib sebagai masalah kekeliruan dalam konsep ilmu. Orang-orang yang keliru konsep ilmunya itu menjadi biadab, lantas muncullah kehilangan adab secara meluas dalam masyarakat.

Akibatnya yang paling parah ialah munculnya para pemimpin palsu, yang memperoleh kuasa politik dan lain-lain dengan cara tidak beradab. Buku Prof. Syed Naquib al-Attas berjudul “Islam and Secularism” wajib dibaca oleh sesiapa saja yang ingin berbicara tentang adab dan ilmu. Orang-orang tidak beradab dan keliru ini tidak malu sedikit pun melontarkan bullshit mereka dalam akhbar, di TV, dalam syarahan mereka, dan dalam percakapan mereka. Dokumen palsu tentang 26 dalil mengapa PPSMI perlu dikekalkan adalah contoh klasik tentang aspek bullshit di kalangan ahli politik kita.

Hujah bercorak sentimen yang mengatakan bahasa Inggeris menjadi asas sains dan teknologi tidak saja karut dan bohong, tetapi juga satu penghinaan terhadap ahli-ahli ilmu Islam yang meletakkan asas tamadun moden Barat. Jika anda membuat kajian paling dasar sekali pun, anda akan dapat lihat berapa banyak istilah Arab digunakan dalam Ilmu Kimia, tak kurang dari 400 istilah. Jika anda teliti pula matematik moden, anda akan melihat di mana-mana anda berpaling wajah tersenyum dan warak seorang al-Khawarizmi, yang memperkenalkan aljabar dan mempopularkan angka sifar yang berasal dari India.

Malah angka yang kita pakai sekarang masih dipanggil Arabic Numerals oleh orang Barat sendiri. Angka itu kemudiannya ditinggalkan oleh ahli ilmu Islam kerana mereka mempunyai angka mereka sendiri yang serasi dengan tulisan Arab. Yang penting bukan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik, tetapi menggunakan kaedah yang membolehkan murid-murid mengenal keagungan sains dan matematik dalam Islam, yang menjadi asas tamadun Barat. Itu yang kita perlukan.

Itulah yang akan memberi ilham dan dorongan kepada anak-anak kita untuk mencapai taraf seorang Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd (ulama besar dan ahli falsafah yang menghuraikan pemikiran Aristotle yang menjadi rujukan dan model kepada Barat), dan beratus lagi ahli sains dan matematik yang dilahirkan oleh tamadun Islam melalui bahasa Arab. Dengan berpaksikan Islam, orang Melayu pun akan mencapai ketinggian Ilmu dengan menggunakan bahasa Melayu. Hanya pemikiran kelembuan yang jahil saja yang tidak dapat melihat hakikat ini. Adalah tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa hanya orang yang berfikiran bullshit saja yang sanggup mengemukakan PPSMI untuk rakyat Malaysia dan bermati-matian pula mempertahankannya.

Jika anda melihat PPSMI dalam konteks yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt tentang bullshit dan Prof. Syed Naquib al-Attas tentang adab dan kekeliruan dalam konsep ilmu, anda akan faham mengapa PPSMI hanya sejenis bullshit sahaja, yang tidak perlu diwujudkan sama sekali. Membersihkan bullshit dalam pemikiran dan mengusahakan wujudnya konsep ilmu yang benar dalam masyarakat adalah tugas penting rakyat Malaysia, terutama di kalangan orang berilmu dan ahli akademik. Kerja begini tidak boleh dan tidak mungkin dilakukan oleh Si Luncai yang secara tabi’i jenis manusia penipu. – Azlan Zainal

0 comments:

Post a Comment



 

different paths

college campus lawn

wires in front of sky

aerial perspective

clouds

clouds over the highway

The Poultney Inn

apartment for rent