Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Indahnya Persahabatan.

Kadang-kadang kita merasakan hidup ini seolah-olah mimpi. Sesuatu yang ada kita sayangi, kemudian hilang tiba-tiba tanpa izin dari kita. Tapi hidup ini realiti. Setiap waktu berlalu tidak akan datang semula. Janganlah bimbang kerana Rasulullah s.a.w. memberi keyakinan kepada kita bahawa kita akan dapat balik apa yang kita lakukan di dunia. Semuanya di ganjari sewajarnya oleh Allah. Bagi kita yg masih tinggal, lakukan amalan yang terbaik di sini (DO THE BEST here) supaya di kurniakan yang terbaik (to get THE BEST there) iaitu syurga Allah di akhirat. Sementara masih sihat atau tak uzur sangat, sumbangkan masa dan tenaga untuk membantu agama Allah. Bila dah tak boleh, ia hanya tinggal kenangan.

Biarlah kita bersusah sedikit asalkan Islam menang. Jangan bimbang kerana setiap kesusahan kita akan di ganjarkan sewajarnya oleh Allah, Tuhan yang Maha Adil. Apalah hidup ini kalau tidak mahu menjadi penolong agama Allah? Kita semua sama-sama akan balik mempersembahkan amalannya kepada Allah. Supaya berterusan pertautan hati sesama saudara se-Agama, kita perlu istiqamah ikut program usrah, rancakkan hidupmu dengan Tarbiyah dan semarakkannya dengan kerja Dakwah. Untuk itu, kita perlu redha di didik (ditarbiyah) dan kemudiannya mendidik orang lain supaya cinta dan utamakan agama. Itulah gaya hidup kita zaman berzaman. Dengan agama terbukti kita boleh hebat dunia akhirat. Kalau tidak, terbukti manusia hanya jadi mainan nafsu dan syaitan yang penuh tipu daya. Pesanku buat para sahabat dan teman yang aku kasihi.

1. Saling memberi kebebasan
Persahabatan memberi kita ruang untuk berkongsi suka duka bersama dan bukannya untuk saling menyakiti dan membenci di antara satu sama lain. Tetapi menjadi sahabat baik juga tidak bermakna kamu harus memiliki seluruh ruang hidupnya. Misalnya, melarang temanmu membuat itu dan ini. Malah kamu juga sibuk mengatur perjalanan hidupnya. Ini jelas menunjukkan kamu terlalu mementingkan perasaan sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Apalah salahnya jika kamu saling menghormati hak kebebasan dirinya. Dan apa yang penting sekarang, si dia jujur dan amanah pada persahabatannya.

2. Saling menahan rasa cemburu
Kita tidak akan kalah apabila menyayangi seseorang, tetapi kita akan kalah apabila kita gagal berterus terang. Ramai yang berkata cemburu itu bunganya cinta. Tanpa cemburu persahabatan yang dibina tak adalah ˜thrill" nya. Tetapi cemburu yang membabi buta boleh menjejaskan hubungan. Ada baiknya sebelum api cemburumu memuncak, cuba selidiki dahulu kebenarannya. Jika ada yang tak kena, tanyalah temanmu itu dengan baik tanpa bersikap marah dan menuduh. Usahakan untuk berbicara dengan fikiran yang matang dan tenang. Sebenarnya perasaan cemburu ini tidak perlu terlalu ditonjolkan kerana ini boleh membuatkan temanmu itu rasa bersalah dan tidak selesa. Yang dibimbangi, dia akan mempergunakan kelemahan kamu itu untuk membuat kamu berasa cemburu dengan berulang kali. Tentu menyakitkan. Sebaiknya janganlah bertindak menghukum tetapi selesaikan secara berhikmah.

3. Saling memahami
Untuk menjadi sahabat yang baik kamu harus berusaha memahami dan mengenali diri sendiri serta permasalahannya dengan lebih mendalam. Misalnya temanmu itu seringkali membalas sms, melayanimu dengan baik, bertanya khabar dan sebagainya, tapi adakala ia tidak boleh berbuat demikian, maka kamu tidak boleh membuat tanggapan yang bukan-bukan tentang dirinya. Mungkin dia mempunyai urusan yang mesti diselesaikan terlebih dahulu. Adalah lebih baik kamu mencari kerja sendiri yang lebih bermanfaat dari sekadar memendam prasangka dan berfikir yang bukan-bukan, lagipun esok masih ada masa untuk kamu bertemu dan bersua muka serta bertanya khabar dia. Malah antara adab yang paling baik adalah mendoakannya dan senantiasa bersangka baik padanya. Ingatlah, bahawa kasih saying tidak bergantung pada kerapnya dia membalas sms, selalunya ia berdamping dengan kita, senantiasa melayani kita dan sebagainya, tetapi sebagai orang yang memahami Islam mengajar kita menunaikan hak serta kewajipan kepada orang lain dan pada Agama-Nya dan usah bersedih dan merungut jika hak kita tidak ditunaikan serta dipenuhi.

4. Saling mengalah
Demi menyelamatkan hubungan, tidak ada ruginya sekali sekala kamu bersikap mengalah. Kamu dan si dia sering bercanggah pendapat. Kadangkala ada sesuatu keputusan yang dibuat seakan dia tampak melebihkan diri sendiri dan hanya menyebelahi dirinya, tapi adakala tidak rugi kita menjadi orang yang memahami, kerana dengan cuba menyelami barulah kita boleh berikan yang terbaik, kerana ‘Erti hidup pada memberi’. Oleh kerana sayangkan tali persahabatan yang telah terbina sekian lama maka si dia sentiasa menuruti segala kemahuanmu semata-mata mahu menjaga hati dan perasaanmu. Tetapi bila difikirkan semula, apalah salahnya sekali sekala kamu pula yang beralah dan cuba belajar memahami minatnya. Situasi ini tentu akan membuat si dia berasa bahagia dan lebih menyayangi dirimu.

5. Saling memberi kemaafan
Memaafkan perlu tetapi tidak mudah selagi perasaan kesal dan kecewa menguasai diri. Tetapi sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Lagipun, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita sesama sendiri. Belajar menjadi seorang teman yang sudi memberi kemaafan kepada orang lain biarpun kamu sendiri tahu perkara itu bukanlah berpunca dari kesalahan atau kesilapan dirimu.

Moga jadi renungan kita bersama, ingatlah bahawa semua itu bukan milik mutlak abadi untuk kita, tapi segalanya milik ALLAH Yang Maha Esa. Selagi ada masa dan ruang berbaktilah, insya Allah kita akan jadi hamba yang sentiasa redha dengan ketentuanNya. Indahnya persahabatan jika didasari dengan dasar dan kefahaman Islam.- Azlan Zainal.

Tahniah, Selamat Berjuang YB dan MB!



Pilihanraya kecil kerusi parlimen Bukit Gantang ialah medan menegakkan prinsip Islam dan Keadilan sejagat serta pentas melawan perasuah dan penindas - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Bernama.com (Kota Bharu) : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau merestui pemilihan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak pada 7 April ini.

“Saya sudah hubungi Nizar dan merestui pencalonan beliau untuk bertanding,” katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Ashok K. Kantha di sini hari ini.


Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan agar Mohammad Nizar bertanding bagi kerusi itu berdasarkan pengalaman bekas Presiden PAS, Allahyarham Tan Sri Mohd Asri Muda, yang pernah memegang satu kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu kerusi Parlimen secara serentak menyebabkan pengaruh Allahyarham dan PAS semakin menurun kerana tidak mampu memberi khidmat dengan baik.
“Tetapi bila memikirkan suasana sudah berbeza pada zaman Datuk Asri dan sekarang, jadi tidak ada masalah untuk saya merestui Nizar,” katanya.

Mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung penerbitan dua akhbar parti pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan, selama tiga bulan berkuatkuasa sertamerta, Nik Aziz mengajak rakyat supaya memulau semua akhbar arus perdana sebagai satu tindak balas.


“Kalau dia gantung akhbar pembangkang, kita pun gantunglah akhbar dia
. Kerajaan kena ingat gantung akhbar pun kita ada Internet dan SMS yang boleh membantu kita,” katanya.

Bukankah lebih baik jika dari dulu lelaki ini tampil bergandingan di saf kepimpinan negara. Bukankah lebih baik jika dari dulu lelaki ini dapat diketengahkan sebagai pemimpin belia? Bukankah lebih baik jika lelaki ini kita angkat sebagai pemimpin utama negara? Sayangnya lelaki ini tidak mudah dibeli jiwanya. Tidak mudah terliur dek habuan dunia yang sering menjadi umpan UMNO. UMNO tidak mampu menghadiahkan kepada rakyat seorang pemimpin yang tulus di era ini.

Dan saya pelik, dalam situasi lalu

Kenapa bila derhaka Allah, tak sekecoh bila derhaka Sultan? Rasanya lagi promote adalah dan ia seolah jadi kebiasaan. Memperlekehkan hukum Islam dan syariat yang digariskan oleh Allah, menyokong konsert-konsert artis yang membawa manusia jauh dariNYA dan menyumbang kepada gejala keruntuhan akhlak remaja dan mengizinkan pembukaan syarikat-syarikat judi, disko sarang maksiat - ini derhaka. Pada siapa? Tuhan!

Dalam kitab Ibnu Taimiyyah,

Dalamnya kata Raja/Sultan yang tidak adil atau zalim (definisi dalam Islam: meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya), hendaklah ditentang. Ketika zaman awal Rasulullah saw menyebarkan Islam, Abu Talib, bapa saudara Baginda sendiri menolak untuk memeluk Islam walaupun dia tahu ajaran yang dibawa anak saudaranya itu benar. Ini kerana dia pemimpin ketika itu dan merasakan tidak wajar mengenepikan ajaran nenek moyang mereka yang diikuti ramai orang ketika itu walaupun ia amat-amat salah (kepentingan diri). Dalam konteks Isu Perak ini pula, kenapa terlalu cepat Sultan menukar MB (2 hari) sedangkan mengambil berhari-hari untuk melantik MB baru selepas Pilihanraya 2008 dan ia terang lagi bersuluh amat-amat berat sebelah. Dan bukankah lebih adil jika DUN dibubarkan? Belajarlah dari Sejarah dan Sirah terdahulu.

UMNO kalut di dalam membentuk sahsiah seorang pemimpin. Kerana UMNO dewasa ini adalah parti yang lebih menjurus ke arah rasuah, maksiat dan segala macam kebusukan serta kebobrokkan. Pemimpin UMNO lebih selesa menyeru ahlinya berzikir tentang ketaatan kepada pemimpin dan parti. Dari mengajak ahli UMNO untuk membesarkan dan takutkan ALLAH serta perintahNya!.

Reaksi Rakyat

Pengumuman Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang telah dipilih sebagai calon bagi PRK kali ini telah disambut dengan laungan takbir dan tepukan yang bergemuruh oleh kira-kira 30,000 orang penyokong yang hadir dalam majlis yang disempurnakan oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Reaksi pertama yang dilihat ialah dalam majlis perisytiharan tersebut, di mana secara keseluruhannya memberikan sambutan atau respons yang sangat baik. Mereka bangun berdiri sebagai tanda sokongan yang padu terhadap Ir Nizar. Dalam tinjauan di kampung-kampung pula, rata-rata memberikan sambutan yang sangat positif dan membanggakan. Mereka berpuas hati dan mengucapkan terima kasih kepada pemimpin yang telah memilih Ir Nizar sebagai calon. Daripada maklumat mereka juga, UMNO seolah-olah terduduk dengan pemilihan tersebut, dengan menyebut, "habislah kita.

Para petugas PAS dan Pakatan Rakyat juga dilihat lebih bersemangat dengan pemilihan calon ini.Kita harapkan semoga pilihan yang dibuat oleh pimpinan ini adalah pilihan yang sangat tepat dan kena dengan suasananya serta akan membawa hasil kepada kemenangan PAS bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang ini, insya' Allah.Tahniah, Selamat berjuang YB dan MB! Kerana amanah rakyat dan Agama terpikul di atas bahumu.-Azlan Zainal

Satu Dunia Mengetahuinya





Kisah Najib dan Altantuya dalam sebuah majalah di Indonesia.

Kiriman Email dari seorang sahabat.

Shaaribu Setev adalah seorang lelaki yang kecewa dan marah. Namun disebalik wajah sedih lelaki Mongolia ini tersimpan semangat yang tinggi. Duduk di sebuah sofa di lobi sebuah hotel di Ulaan Battar sambil bergetar menahan angin beku yang bertiup, dia lelaki berumur 60 tahun itu bersiap sedia untuk melawan. Raut parasnya dibentuk dari segala penderitaan dan iklim yang melampau, dan renungannya yang dalam menceritakan semuanya.

“Anak perempuan saya dibunuh oleh orang Malaysia di bumi Malaysia. Namun mereka langsung tidak memohon maaf,” katanya yang juga seorang professor psikologi di Universiti Kebangsaan Mongolia.

Pembunuhan anak perempuannya, Altantuya Shaaribu, berlaku pada bulan Oktober 2006. Ini adalah jenayah bunuh yang berbeza dari yang lain berlaku di sebuah rantau di mana konflik-konflik perniagaan atau pertelingkahan politik yang remeh diselesaikan dengan muncung pistol. Segala yang berkaitan dengan kes ini, yang bermula pada tahun 2002 apabila syarikat Perancis-Sepanyol Armaris mencapai persetujuan untuk menjual tiga buah kapal selam kepada kerajaan Malaysia dengan harga satu bilion Euro, adalah luar dari kebiasaan. Kesan “kes Altantuya” ini di Perancis, Malaysia dan Mongolia belum lagi mencapai klimaknya. Pembunuhan gadis Mongolia berusia 28 tahun itu adalah akibat dari “komisen” berharga 114 juta daripada Armasi kepada rakan niaganya di Malaysia. “Komisyen” ini yang diakui oleh kerajaan Malaysia di dalam Parlimen di Kuala Lumpur, telah mencetus beberapa siri peristiwa yang membawa kepada pembunuhan Altantuya dan kehilangan beberapa orang saksi penting di dalam kes itu.

Sebuah laporan dari polis Malaysia, yang masih disimpan secara rahsia sehingga sekarang, mendedahkan secara terperinci bagaimana perempuan muda yang tergolong dalam golongan atasan Asia itu dibunuh. Di dalam dokumen tersebut, salah seorang pembunuhnya, seorang anggota polis dari Cawangan Khas bernama Sirul Omar, menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh seorang pegawai di sebuah stesen polis yang berdekatan dengan tempat pembunuhan.

“Apabila perempuan Cina itu melihat saya mengeluarkan sepucuk pistol, dia merayu supaya dilepaskannya kerana dia sedang mengandung. Azilah (pegawai pemerintah kepada Sirul) menarik perempuan itu dan [menghumbannya] ke atas tanah. Saya segera menembak pada bahagian kiri mukanya. Kemudian Azilah menanggalkan pakaian perempuan itu dan memasukkan pakaian yang ditanggal itu ke dalam sebuah plastik hitam. Azilah mendapati tangan perempuan itu masih bergerak. Dia memerintahkan saya untuk menembak sekali lagi, dan saya melakukannya”, ujar Sirul. Ini adalah merupakan pengesahan yang pertama identiti pembunuh Altantuya. ” Kemudian kami mengusung mayatnya ke dalam hutan, Azilah membalut bahan letupan di sekeliling kaki, abdomen dan kepala perempuan itu dan kemudian kami meletupkannya.”

Pendedahan laporan tersebut di dalam akhbar Perancis *Liberation* adalah bab terbaru dalam kisah yang penuh warna-warni dan dramatik ini yang melibatkan penjual senjata Perancis, pawang Mongolia dan politikus-politikus Malaysia. Kes ini sangat sensitif kepada kerajaan Malaysia, kerana Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang dijadualkan menjadi Perdana Menteri pada akhir bulan Mac nanti disyaki terlibat di dalam kes ini, tetapi ini juga kerana kes ini boleh memalukan DCNS, sebuah syarikat Perancis yang mengkhusus dalam pembinaan kapal laut tentera. Syarikat Perancis-Sepanyol Armaris, yang menjual Scorpene dan satu kapal selam Agosta kepada Malaysia pada bulan Jun 2002, dibeli oleh DCNS pada tahun 2007.

Dengan kecantikan dan keanggunannya yang memukau, Altantuya mengingatkan pada imej kacau seorang perempuan dari Timur Jauh bernama Mata Hari. Altantuya membesar di Saint Petersburg (Russia), kemudian belajar di Institut Pengurusan Ekonomi di Beijing. Di samping bertutur di dalam bahasa Inggeris, dia juga fasih di dalam bahasa Russia, Cina dan Korea. Sebagaimana yang telah ditakdirkan, semasa di Hong Kong dia bertemu dengan Abdul Razak Baginda pada tahun 2004. Baginda adalah seorang pakar keselamatan dan pengarah Malaysian Strategic Reseach Centre, sebuah badan pemikir yang pro-kerajaan. Tidak berapa lama kemudian hubungan mereka menjadi percintaan. Altantuya, atau dipanggil Tuya oleh teman-temannya, membuktikan bahawa dia adalah seorang pembantu yang berguna, menolong Baginda menterjemah bahasa Rusia ke bahasa Inggeris.

Jika Altantuya muda dan cantik, Baginda yang kaya dan menarik adalah seorang yang terkenal di kalangan elit Kuala Lumpur, terutama sekali kerana dia rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan menteri Pertahanan, Najib Razak (baginda juga penasihat urusan keselamatannya). Baginda selalu bertemu dengan lingkungan-lingkungan yang sangat eksklusif di Kuala Lumpur, kadangkala ditemani oleh isterinya yang sah.

Pada bulan Mac 2005, Altantuya dan Baginda berangkat ke Eropah, mengelilingi Perancis, Jerman, Itali dan Portugal dengan Ferrari merah Baginda, menginap di hotel-hotel mewah dan menjamu selera di restoran-restoran terbaik di benua itu. Bagaimanapun, lawatan itu bukan sekadar lawatan biasa: kontrak untuk menjual dua kapal selam itu telah ditandatangani pada tahun 2002, tetapi beberapa hal-hal penting yang berkaitan masih belum diselesaikan.

“Kami mengetahui bahawa Baginda digunakan oleh Timbalan Perdana Menteri Najib Razak sebagai pengantara dalam urusan system persenjataan, terutama sekali di peringkat tertinggi,” kata seorang pakar urusan keselamatan serantau.

Pada hujung bulan Mac Altantuya dan Baginda berada di Paris, di mana mereka bertemu dengan Najib Razak. Sekeping gambar yang diambil pada akhir Mac 2005, menunjukkan bahawa ketiga mereka berada di sebuah kelab persendirian di Paris.

“Tuya menunjukkan gambar itu. Katanya salah seorang lelaki itu, Abdul Razak Baginda adalah teman lelakinya, dan seorang lagi, Najib Razak, adalah “big boss”. Saya bertanya kepadanya adakah mereka bersaudara kerana nama mereka, tetapi katanya tidak, dan Najib Razak adalah “perdana menteri”, cerita Amy, teman rapat Altantuya (Najib Razak telah bersumpah dengan Quran mengatakan bahawa dia tidak pernah bertemu dengan Altantuya). Menurut seorang detektif persendirian, sekarang bersembunyi di India, si Tuya yang cantik itu juga adalah perempuan simpanan Timbalan Perdana Menteri, yang dikenalkan oleh Baginda kepadanya pada akhir tahun 2004.

Cerita ini menjadi dramatik apabila pada Oktober 2006, Altantuya dimaklumkan bahawa komisyen yang dibayar oleh syarikat Perancis-Sepanyol Armaris telah masuk ke dalam akaun bank di Kuala Lumpur. Komisyen itu telah dibayar kepada Perimekar, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Baginda. Altantuya segera berangkat ke Kuala Lumpur dengan tujuan menuntut bahagiannya dari komisyen itu dari Baginda; dia berkata dia berhak untuk mendapat 500, 000 dolar. Baginda dan Altantuya putus hubungan tidak berapa lama sebelum itu lagi. Rosmah Mansor, seorang ahli perniagaan yang digeruni dan isteri Najib Razak, cemburu lalu menghalang sebarang pembayaran kepada Altantuya. Altantuya tiba di Kuala Lumpur dengan dua orang wanita Mongolia, salah seorang darinya adalah pawang yang akan menjampi Baginda jika dia tidak membayar. Selama beberapa hari, Altantuya mengganggu bekas kekasihnya. Pada 18 Oktober, Baginda tidak dapat lagi tahan dengan Altantuya yang setiap hari berada di hadapan rumahnya. Dia menghubungi Pengarah Cawangan Khas, Musa Safrie, yang juga merupakan pegawai keselamatan Najib Razak.

Pada 19 Oktober 2006, jam mendekati 9 malam, dua orang pegawai polis Cawangan Khas, Azilah Hadridan dan Sirul Omar, dihantar ke hadapan rumah Baginda di mana Altantuya menjerit dan berteriak. Mereka mendapat arahan “meneutralkan perempuan Cina itu.” Mereka menculiknya dan membawanya sejauh sepuluh kilometer dan menembaknya beberapa kali. Kemudian, mereka memusnahkan tubuhnya dengan bahan letupan C4, jenis yang hanya boleh diperolehi dari Kementerian Pertahanan. Kemasukannya ke Malaysia telah dipadam dari rekod imigresen. Ini seolah menunjukkan bahawa Altantuya tidak pernah ke Malaysia kerana tidak ada rekod yang menunjukkan sebegitu.

Tidak ada jenayah yang sempurna. Pemandu teksi yang disewa oleh Altantuya pada hari tersebut tidak dapat menerima kenyataan bagaimana penumpangnya yang masih belum membayar tambang diculik di depan matanya. Dia mencatit nombor pendaftaran kereta penculik itu dan membuat repot di sebuah balai polis. Dalam beberapa hari, polis mendapat tahu indentiti kereta itu dan mendapati ia adalah kereta kerajaan. Beberapa peristiwa berlaku sehingga Najib Razak sendiri tidak dapat menghalangnya. Dia cuba untuk menutup kes ini. Beberapa jam sebelum penahanan Baginda, dia menghantar satu SMS: “Saya Akan bertemu dengan Ketua Polis Negara pada jam 11 pagi hari ini…masalah tersebut akan selesai. Sabarlah”. Beberapa jam kemudian, Baginda ditahan, begitu juga dengan dua orang pegawai dari Cawangan Khas, Azilah dan Sirul.

Selepas perbicaraan yang dianggap meragukan oleh ramai pemerhati, Baginda dilepaskan dari tuduhan telah memerintahkan pembunuhan itu dilakukan dan dibebaskan pada bulan November 2008. Azilah dan Sirul yang dituduh melakukan jenayah tersebut, tampil di hadapan Mahkamah bulan lepas. Jika disabit kesalahan, mereka akan dihukum mati. Mahkamah akan memutuskan pada 9 haribulan April.

Beribu batu dari Kuala Lumpur, di ibu Negara Mongolia, Ulaan Baataar, Shaaribuu Setev, bapa Altantuya berusaha mengawal perasaan marahnya. Untuk dia dan keluarganya, pembebasan Baginda adalah simbol kepada ketidakadilan di dalam proses perundangan Malaysia.

“Kerajaan Malaysia langsung tidak membals surat-surat yang dihantar oleh Kementeria Luar Mongolia,” katanya. Ketika Shaaribu datang ke parlimen Malaysia untuk bertemu dengan Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri itu terpaksa keluar mengikut pintu belakang untuk mengelakkan pertembungan yang memalukan. Kes Altantuya telah menjadi elemen penting di dalam permainan politik Malaysia di antara Najib Razak (yang dijangka akan menjadi Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agong UMNO pada bulan Mac ini) dan Anwar Ibrahim. Sehingga kini, Najib Razak Berjaya menghadapi rintangan ini, tetapi pembunuhan perempuan Mongolia itu akan menjadi pedang yang tergantung di atas kepalanya.

Salah satu aspek yang kabur di dalam kes Altantuya ini adalah peranan syarikat Armaris. Pada Oktober 2007, Timbalan Menteri Pertahanan, Zainal Abidin Zin, mengakui di hadapan Parlimen bahawa Armaris telah membayar sebanyak 114 juta Euro sebagai komisyen kepada Perimekar. Dia menegaskan bahawa bayaran itu bulan rasuah tetapi adalah untuk “perkhidmatan-perkhidmatan sokongan dan koordinasi.” Adakah terdapat korupsi di dalam kes kapal Taiwan di mana DCNS French dikaitkan juga? DCNS, adalah syarikat swasta dengan dana awam, telah menolak permintaan kami untuk mengadakan pertemuan. ‘Tiada siapa yang boleh memberi komen terhadap kes itu,” jawab pegawai perhubungan awam DCNS di Paris. Sebuah dokumen, yang boleh menghubungkan antara Altantuya dan syarikat Perancis itu adalah surat jaminan yang ditulis oleh Abdul Razak Baginda supaya perempuan simpanannya itu dapat memohon visa untuk memasuki zon Schengen (Perancis adalah Negara ahli). Kedutaan Perancis tidak boleh menolak permintaan seorang lelaki yang telah dianugerahkan dengan Legion d’Honneaur itu. Tetapi peranan Altantuya di dalam perundingan kapal selam itu masih lagi belum jelas. Agensi-agensi perisikan mendapati latar belakangnya menarik dan FSB Rusia (ex-KGB) memantau secara dekat kes ini.

Di Ulaan Baatar, Mungunshagai, anak lelaki sulung Altantuya, yang berumur 12 tahun, mengalami trauma dengan kematian emaknya. Altanshagai, anak bongsu, yang berumur 5 tahun dan terencat akal, tidak dapat memahami bahawa dia tidak akan bertemu ibunya lagi. “Dia selalu bertanya tentang ibunya dan dia sepanjang hari meniarap di atas kerusinya. Setiap malam, saya akan memberinya gula-gula dan mengatakan bahawa ibunya memberikan kepada saya untuk diberikan kepadanya”, ujar Shaaribuu Setev, datuk kepada dua dua orang budak lelaki itu. Tentang baginda pula, dia sekarang menetap di United Kingdom dengan keluarganya. Dia tidak sekalipun pernah melafaz sepatah kata penyesalan terhadap kematian seseorang yang pernah berkongsi hidup dengannya selama dua tahun.

Arnaud Dubus (di Kuala Lumpur, Ulaan Baataar dan Paris)
Diterbitkan pertama kali di akhbar Liberation French, 5hb Mac 2009

Mengapa Perlu Masuk UMNO lagi?

"Bukan pasal PAS lawan UMNO, tapi masalah UMNO lawan Islam, PAS-UMNO tak leh berjumpa, sebab Kita (PAS) lawan UMNO kerana UMNO ni bawa ilmu salah; ilmu sesat. mu (wahai UMNO) adalah ayah Pin"- Tuan Guru Nik Aziz.

1. Apabila membincangkan persoalan Kerajaan Campuran dan Perpaduan, sebahagian pemikiran masyarakat akan membuat kesimpulan bahawa PAS masuk UMNO atau sebaliknya atau menjadikan sebuah parti baru. Oh traumanya kita!

2. Don't be worry. Persaingan antara PAS dan parti-parti lain terus berlangsung. Pilihanraya terus diadakan sekurang-kurang lima tahun sekali mengikut Perlembagaan. Kempen tetap berjalan seperti biasa. Kibarlah lambang parti setinggi mana pun tidak mengapa. Edar risalah, rayu undi, ceramah akan berjalan seperti biasa. Tidak perlu masuk Umno!

3. Kita hanya perlu menukar sistem pilihanraya yang kita amalkan dari 'First-Past-The-Post-System' ataupun 'Plurality Majority' kepada 'Proportional Representation' (PR). Melalui sistem PR (bukan Pakatan Rakyat), jumlah peratusan undi yang diperolehi akan menentukan jumlah peratusan kerusi. Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya, `wasted votes' yang juga mempunyai hak suara mereka sampai ke Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri.

4. Pilihanraya 1959, undi popular Perikatan ialah 51.7% tetapi kerusi Parlimen yang diperolehi ialah 71% berbanding dengan parti pembangkang yang mendapat undi popular 48.3% dan kerusi di Parlimen hanya ada 29%. Pilihanraya 1999, undi popular BN ialah 56.5% tetapi kerusi Parlimennya ada 77%, manakala undi popular BA ialah 43.5% tetapi kerusi Parlimen hanya ada 24%. Ini bermakna suara rakyat 43.5% dinafikan kerana kita memilih sistem pilihanraya plurality majority.

5. Kaedah PR telah diamalkan di German, Indonesia, Switzerland dan kebanyakan negara maju (kecuali UK, USA, Kanada dan Perancis).

6. Di Indonesia, PKS (Parti Keadilan Sejahtera) dari sebuah parti yang kecil tetapi mempunyai sistem perkaderan dan tarbiyyah Ikhawanul Muslimin telah dapat bersaing dengan parti-parti yang lebih lama dan berpengaruh.

7. Apakah persoalan Kerajaan Perpaduan menjadikan PAS gila atau kemaruk kuasa? PAS memilih pendekatan pilihanraya adalah untuk mendapatkan kuasa agar Daulah Islam bisa ditegakkan selaras dengan konsep Qaedatul Sulbah manhaj Rasulullah SAW. Islam memandang kuasa itu sebagai alat untuk menggerakkan Dakwah dan sememangnya Islam yang perlu mentadbir dan memerintah alam ini. Jika tidak kerana kuasa, lebih baik orang PAS masuk jamaah tabligh ataupun ahli sufi. Ustaz Ismail Kamus pernah berkata, 'kita bukan gila kuasa tapi kita nak ambil kuasa daripada orang gila!'

8. Oleh itu, apa perlunya nak masuk Umno? Tak perlu mnyertai UMNO pun tidak mengapa! Kalau dahulu kita digembar gemburkan dengan isu muzakarah dan muqabalah tapi rasionalnya dari konteks dakwah baik tapi tersiratnya ia ada sesuatu yang tidak kena dan seolah-olah ada satu pakatan lain. Jangan dipandang hanya dengan menyertai UMNO kita baru boleh berdakwah mendekati mereka, tetapi jalan dakwah ini luas dan tidak memerlukan kita menyertainya sekalipun ia masih boleh dilaksanakan kerana Dakwah itu adalah tugas buat kita yang memahami perjuangan ini dan ia tidak bergantung kepada sempadan negeri, warna kulit, jersi parti yang dipakai, jamaah yang diintima dan sebagainya. Kerja buat dakwah adalah tugas para nabi dan ia bukan satu pilihan tapi satu amanah. Jika kita menunjukkan akhlak yang baik, qudwah yang indah dan memaparkan pesona perilaku serta tutur bicara yang boleh menjadi teladan adakah kita tidak akan dirapati dan didekati. Kalau kita dah kuat berkerja, berusrah, berdakwah, ramai orang akan masuk dan menyertai Jamaah dan harakah Islam termasuklah bekas ahli Umno. Sekarang PAS pun sudah 'multimembers'. Ada ABIM, ada JIM, ada haluan, ada al-Arqamnya, ada yang tak pakai tudungnya, ada rockersnya dan sebagainya. Orang bukan Islam pun teringin nak masuk PAS. Apa sudah jadi pada PAS? Itulah kematangan dan kemajuan dakwah Islam dan PAS sehingga melewati sempadan yang selama ini kita bina secara tidak kita sedari.

9. Dulu orang kutuk habis Amy Search, tapi bila kawan tu dah dekat Tok Guru Nik Aziz, berjela-jela puji. Dulu orang katuk teruk Anwar Ibrahim, tapi bila kawan tu dah berpakat dengan kita, berebut-rebut orang menadah telinga nak dengar ceramahnya. Dulu orang taruh habis Dr. Mahathir macam Maha Firaun walau perangainya seakan begitu, tapi bila suaranya menyokong aspirasi pembangkang, masing-masing nak angkat dia. Biasalah, itulah resam manusia. Tapi yang penting adalah kita tetap hamba yang tidak lepas dari melakukan kesilapan, cuma perlu kita ingati satu hadith Nabi SAW “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat”. Mahu tidak mahu agenda kerja Dakwah Risalah An-Nubuwwah ini perlu digerakkan mengikut tahap keupayaan dan posisi kita ditempatkan.

10. Namun begitu, ada jua yang bertanya soalan unik dan menarik. Ada orang kita berpendapat. Kita sepatutnya berkawan dengan UMNO, sebab UMNO orang Islam. Kita kena gaduh dengan DAP, sebab DAP bukan orang Islam. Dan sepatutnya kita kena berpakat dengan UMNO sebab dia orang Melayu dan setentunya dia ISLAM.

11. Soalan sebegini dilontarkan kepadaku. Jawapan aku; “Orang yang kata UMNO adalah kawan sebab mereka beragama Islam, dan lawan DAP sebab mereka tidak beragama Islam, adalah pemikiran yang tidak berasaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah”. UMNO parti orang melayu, rata-rata orang melayu beragama Islam (bukan semua). Tapi kena ingat, orang Islam ada 3 jenis pula, iaitu Islam yang mukmin (beriman dan bertaqwa), yang tahu dan mengerti tapi tidak berbuat (fasiq) dan satu lagi munafiq (mereka yang berpura-pura). Walaupun UMNO parti orang melayu, bukan bermakna UMNO itu parti Islam. Nisbah parti, parti non islam juga, seperti parti DAP. Bukti UMNO parti non islam, Al-Quran dan As-Sunnah bukan asas perlembagaan parti.

12. Masalah yang timbul adalah, orang UMNO. Apabila mereka duduk dalam parti UMNO (parti non Islam), apakah mereka jadi non Muslim? Keadaan mereka, sama lah kita kata, orang melayu yang duduk dalam parti DAP. Samalah seperti Dr Nasir Hashim menjadi pendokong parti Sosialis (PSM).

13. Dari segi status parti, UMNO dan DAP adalah sama. Perjuangan kedua-dua parti, bukan Islam. (Bahasa kasar : kedua-duanya adalah parti kafir). Masalah kita sekarang, orang UMNO dan Orang DAP. Orang UMNO, ramai beragama Islam. Dan orang DAP ramai yang tidak beragama Islam. Walaupun orang UMNO beragama Islam, tapi mereka munafiq, suka bermuka-muka. Adapun orang DAP, walaupun mereka non Muslim, tapi mereka ada ketelusan, tidak bermuka-muka.

14. Bertembung antara dua jenis manusia ini, lebih baik kita berkawan dengan orang non Muslim yang telus, yang tidak bermuka-muka berbanding berkawan dengan orang Islam tapi munafiq, iaitu bermuka-muka. Imam Fakhr Ar-Razi ada menyebut dalam kitab “At-Tafsir Al-Kabir” dengan katanya; “orang munafiq lebih jahat dari orang kafir. Orang munafiq lebih berbahaya dari orang kafir. Orang munafiq, azab mereka lebih berat dari azab orang kafir”.

Dalilnya adalah;
Firman Allah;

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ
Maksudnya; “Sesungguhnya orang munafiq, tempat mereka adalah yang paling bawah sekali dalam neraka (tempat yang paling panas)”- (Surah An-Nisa’: 145)

Firman Allah;

إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Maksudnya; “Sesungguhnya Allah himpun orang munafiq dan orang kafir, semuanya dalam neraka”- (Surah An-Nisa; 140)

15. Allah dahulukan menyebut orang munafiq berbanding menyebut orang kafir. Menandakan azab terhadap orang munafiq lagi hebat dari azab orang kafir. Kalau azab orang munafiq lagi hebat dari azab orang kafir, bermakna, kafirnya orang munafiq lagi berat berbanding kafirnya orang yang sememangnya kafir.

16. Tambah-tambah lagi, orang DAP dulu tak sokong Islam sebab UMNO putar belit pasal Islam. Mereka terkeliru dengan Islam contoh tentang isu hudud dan konsep negara Islam. Sekarang, DAP dah mula faham Islam, iaitu semenjak kawan dengan PAS dan PKR. Walaupun tak banyak, sikit pun sudah layak diberikan pujian. Sebab, mereka masih belum islam lagi. Oleh itu, kalau ada orang ajak berkawan dengan parti UMNO, dan tinggalkan dari berkawan dengan parti DAP. Orang itu hendaklah disuruh belajar Al-Quran dan As-Sunnah lagi. Ini kerana, penilaian antara dua parti ini, UMNO lebih kafir dari DAP. Kita berkawan dengan DAP, sebab kita nak dakwah Islam kepada mereka. Sebab mereka orang yang kosong tentang Islam. Adapun kita serang UMNO, sebab mereka munafiq. Mereka sudah faham Islam, tapi degil dengan Islam dan kebanyakan mereka mengerti tapi tidak berbuat malah menentang.

17. Ajaran Al-Quran, kalau berjumpa dengan orang yang tak faham Islam, kita kena berlembut dengan mereka. Adapun jika berjumpa dengan orang yang sudah faham Islam, tapi degil juga, kita kena keras dengan mereka. Cuma ingin saya lontarkan di sini, mana mungkin kita boleh berpadu dan bersatu jika kita masih membelakangi hak ALLAH SWT, menjauhi perintahNYA dan melakukan larangan. Jadi renungkanlah, perpaduan hanya tinggal kenangan bilamana hak ALLAH dinafikan malah kita sebagai manusia menderhakaiNYA. Adakah layak kita menjadi manusia yang bergelar hamba disisiNYA. – Azlan Zainal

Bermula satu autokrasi baru.


1. Semalam teringat, Akhbar alternatif perdana, Harakah dan juga Suara Keadilan digantung tiga bulan serta merta oleh pihak Kementerian Dalam Negeri. Tak tahu mengapa begitu...

2. Namun, ini bermakna, pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai sepi dengan berita dari akhbar bercetak ini. Ini cabaran berat lagi kepada sang blogger untuk mengambil alih peranan media sewaktu pilihanraya kecil itu nanti.

3. Yang lebih utama, tiada lagi ucapan 'tahniah' yang bakal tercetak dalam akhbar tersebut kepada Najib Tun Razak yang bakal menadah takhta daripada Abdullah Ahmad Badawi. Tapi rasa Pak Lah akan kekal lagi sebagai PM. Banyak sebabnya.

4. Najib Tun Razak mungkin akan mengambil pendekatan politik Tun Dr. Mahathir sewaktu mula mengambil alih kepimpinan dari Tun Hussein Onn untuk memastikan suara politik Umno bernafas panjang.

5. Antara pendekatan itu ialah menyekat sebarang kemaraan politik pembangkang dengan apa cara sekalipun meski nampak keras. Kedua, mengambil kekuatan politik pembangkang termasuklah menjadikan idealisme dan pemimpin pembangkang sebagai sebahagian daripada mereka. Musa Hitam pernah berkata yang lebih kurang berbunyi, `jika kita tidak mampu melawan musuh, ambil saja musuh itu sebagai kawan.'

6. Bila satu autokrasi baru bermula, maka satu pendekatan politik yang baru akan mencabar dan mengugahnya. Siapa yang mahu mulakannya? Media arus perdana kah? Rakyat? Mahasiswa di mana?-Azlan Zainal

Idea Kerajaan Campuran & Perpaduan

1. Sebelum ini aku rasa ramai jua orang terfikir, termanggu dan tercengang dan mungkin bertambah ‘Blurrr’. Dalam kekalutan kemelut politik semasa terus mencengkam rakyat tiba-tiba satu lontaran idea kerajaan campuran dan perpaduan diketengahkan. Dengar cerita ia datang dari mulut Tuan Guru Presiden PAS, tapi adakah mungkin ada ‘playmaker’ di sebalik cetusan idea ini. Apapun aku cuba memberikan sedikit pandangan walaupun idea tampak baik, tapi secara praktisnya adakah punya daya dan upaya melaksanakannya. Walaubagaimanapun, sebenarnya kita memerlukan keberanian dan meneroka pendekatan yang lebih bersesuaian dengan situasi politik semasa.

2. Mungkin idea ini di atas kertas Kerajaan campuran ini tidak bermakna pakatan antara UMNO dengan PAS tetapi ia sebenarnya melingkupi semua parti dalam Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN). Rasionalnya, adakah idea ini sesuai dengan keadaan dan pada fasa yang genting sekarang ini?

3. Dan juga tidak bermakna perlu dibubarkan PR atau BN. Biarkan parti itu wujud sebagai institusi politik yang memainkan peranan sama dan langsung tidak mengenepikan dasar dan matlamat perjuangan parti itu. Kekalkan persaingan politik antara pakatan atau parti.

4. Yang kita ubah ialah bagaimana semua parti boleh mengambil bahagian dalam meneraju kerajaan sebagai badan legislative atau Parlimen dan dalam masa yang sama, wakil parti ataupun pimpinan parti yang berkemampuan dan berkebolehan tinggi mentadbir badan executive.

5. Tiada istilah parti pembangkang atau parti kerajaan. Pemimpin parti yang berperanan di dalam badan executive akan dipantau oleh pemimpin parti yang berada dalam badan legislative.

6. Melalui kaedah ini, hanya pemimpin yang benar-benar berkualiti dapat dipilih kerana telah melalui banyak tapisan dan negara dapat mengambil manfaat daripada kebolehan pemimpin tersebut.

7. Apa yang berlaku pada hari ini, apabila BN sudah tiada pemimpin yang berkaliber dan berkemampuan tinggi, maka mereka ambil sikap `tiada rotan, akarpun jadi'. Ini berlaku juga pada kerajaan PR di Perak. Maka ada pemimpin yang terlanjur menang, memaksa diri menjadi pemimpin 'mee segera'. Ini kerana pakatan politik yang ada pada hari ini, ialah pakatan berasaskan garisan politik kekelompokan dan bukan atas kepentingan nasional.

8. Oleh itu, pemimpin yang dipertanggungjawabkan dalam satu-satu kementerian mestilah membuktikan keupayaannya menterjemahkan perjuangan parti secara praktikal. Dan seterusnya untuk meningkatkan sokongan daripada rakyat, dia mesti menterjemahkan konsep parti yang bersifat abstrak ke alam nyata.

9. Rakyat akan dapat menilai prestasi parti dan pemimpin berdasarkan rekod perkhidmatan mereka. Bukan lagi berdasarkan retorik mereka semata-mata.

10. Banyak perkara perlu diperhalusi lagi. Namun sekurang-kurangnya, kita mesti berani merubah sistem politik lapuk negara kita yang hanya membenarkan politik kekelompokan menguasai negara. Tapi jangan sekadar retorika atas kertas dan jangan letakkan kepentingan peribadi melampaui batas perjuangan dan Agama. Nasihatku buat pimpinan di puncak sana, jangan biarkan segalanya tergadai kerana kegagalan dan kebodohan kita memahami realiti. – Azlan Zainal

Erti Sebuah Kejayaan Hakiki!



Dia hanya menumpang kasih sementara berkesempatan pada ibunya, seorang tukang sapu manakala bapanya seorang nelayan. Dengan rumah yang boleh dianggap pondok, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal mampu memanipulasikan nikmat ciptaan Tuhan, kepandaian yang ada, mengembeleng keringat, memperoleh serta mencatat keputusan cemerlang 20 A (19 A1 dan satu A2) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan tiga hari lalu.

Hidup serba kekurangan, tanpa suapan kemewahan, tanpa dilimpahi kekayaan wang ringgit, mampu mencernakan kejayaan gemilang dalam sejarah pendidikan di Tanah Melayu, tersohor dengan nama Malaysia.



Menurut
Utusan Malaysia, Nik Nur Madihah - Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan, dan keluarganya tinggal di rumah usang ini. Saya menitis air mata melihat gambar ini. Sewaktu kecil dulu, inilah lebih kurang keadaan rumah di mana saya dibesarkan. Cukup daif.

Alhamdulillah, pendidikan telah mengeluarkan saya dari kitaran kemiskinan. Dulu ayah bekerja sebagai penebang tebu, ibu pula setiap hari mengambil upah di sawah. Saya tahu erti kemiskinan - ada hari-hari di mana saya dan adik hanya minum air kosong saja sebelum tidur; tanpa nasi dan lauk. Adakalanya saya berpuasa. Bukan sedikit air mata ibu mengalir sewaktu membesarkan saya . Terima kasih, ayah. Terima kasih, ibu.

Pelajar Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) Kota Bharu Kelantan ini menjadikan ruang tamu yang sempit di rumahnya sebagai tempat inspirasi.titis hujan mengenai atap zink rumahnya sebagai muzik penenang jiwa..alunan angin menghembus sebagai ‘kipas’ tatkala jasad dijamah bahang, belanja sehari RM5, Tambang bas RM4, lebihnya RM1.

“Makan roti saya tiap-tiap hari di sekolah, di rumah dapat makan nasi dengan telur, pun saya telan,” katanya dengan tenang.

Dulu semasa berada di alam remaja persekolahan menengah dan sewaktu bergelar mahasiswa saya sering berdialog mengenai hala tuju sistem pengajian di tanah air, khususnya melahirkan para cendikiawan dari kelompok mahasiswa yang berdaya saing di pasaran antarabangsa, atau lebih menonjol dengan gelaran ‘mahasiswa kelas pertama’. Pasca pembelajaran secara internal yang menjadi teras pada sistem pengajian, lebih tertumpu pada banyak bilangan ‘A’ di dalam setiap lapangan peperiksaan. Apakah kuantiti ‘A’ melambangkan seseorang pelajar atau mahasiswa itu telah betul melepasi piawaian pasaran semasa, atau lebih terkehadapan mengikut kehendak al-Quran dan as-Sunnah? Maka di sana menuntut seseorang itu, berjaya dalam kedua-dua aspek diari hidup, samada pengajian akademik mahupun pembentukkan akhlak yang luhur, memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi. Saya cuba untuk mengajak para pembaca budiman untuk menghayati erti sebuah kejayaan dan agar kita mampu mencari dan mengikut rentak untuk lebih berdaya saing dalam mencari bidang yang bersesuaian dengan potensi kita sejajar dengan kehidupan kita sebagai seorang Muslim.

Kejayaan dan kecemerlangan seseorang insan di setiap lapangan hidup, merupakan manifestasi yang berlanjutan jauh kehadapan, bagi mendepani dan mengimbangi sebuah harga hidup yang penuh dengan ujian dan ranjau. Kejayaan di lapangan peperiksaan, bukannya sebuah ukuran yang bijak untuk menjamin kejayaan yang sama di luar sana, bilamana berada bersama masyarakat dan bersosial seperti kebanyakan manusia biasa, yang penuh dengan ragam dan citra. Mereka yang berjaya melawan arus, dengan mengekalkan rentak sebagai seorang Muslim, walaupun tahu jerih perih bila mendepani portrait kehidupan yang variables. Dulu mungkin kejayaan lebih manis dikecapi kerana manusia belum lagi mengenal, apa itu siaran televisyen, internet, sms, hanphone, dan sebagainya, sebab itu mereka tetap konsisten dalam mengerjakan ibadat, dan meninggalkan perkara yang boleh membawa pada dosa. Tapi, jika bercakap dalam konteks kehidupan realiti manusia sekarang, new millennium, macam-macam ada!

Kejayaan Bermula Pada Asas Keluarga Yang Sempurna

Mungkin ramai sahaja yang beranggapan, kejayaan anak-anak mereka dibangku pengajian, bila bertambahnya pengetahuan, boleh menjawab soalan-soalan yang diberikan guru. Lebih manis bila, berjaya mengekalkan kedudukan nombor tertinggi di dalam kelas. Namun pernahkah kita berfikir tatkala diri telah dimamah usia, di mana hanya menunggu saat ajal dan malaikat menjemput mengadap Ilahi, apakah kejayaan yang telah kita siapkan sebagai bekalan diri, bila berada di alam lain? Jentik hati, dan tanyalah Iman!

“Alhamdulillah ustaz, saya adalah salah seorang hamba yang telah dipilih untuk menerima cahaya dan hidayah Allah Taala. Saya hanya mula istiqamah menggunakan tudung semasa tingkatan satu lagi”

“Alhamdulillah ustaz, Allah Taala telah bukakan hati mak cik untuk belajar agama dan mengenal Alif, Ba’, Ta’ di usia seperti ini, tapi saya masih bersyukur kerana Allah masih membuka pintu hati ini”

Namun, dengan bertambahnya usia, apabila kita bukan lagi seorang individu, kejayaan pengetahuan dan amal menjadi kecil tidak bererti. Jika selama masa yang lalu, kita adalah individu yang mengukur kejayaan pada apa yang dicapai oleh peribadi, kini ukuran itu sudah tidak bermakna. Hanya mereka yang mampu menempatkan diri bersama golongan yang berjaya berada sebaris mukmin lain, di bawah Arasy Rabbul Izzati.

Erti kejayaan bagi seseorang adalah subjektif. Terpulang kepada individu. Tetapi bagi muslim erti kejayaan adalah bebas dari api neraka. Hidup ini hambar tanpa Iman. kejayaan sebenar ialah apabila kita berjaya dan berjaya bawa orang lain turut berjaya sama-sama, berjaya ke syurga dan hidup dibawah lembayung redha Allah SWT. Mampukah ke syurga kalau ahli keluarga jadi ahli neraka? Pertanyaan untuk anda dan diri saya. Betul kata anda, hidup ini adalah kelas persekolahan jangan mengaku kalah atas kegagalan, kerana bukan manusia jika seseorang itu tidak menemui kegagalan demi kejayaan. Tapi apakah ianya disulami sebuah kejayaan rohani? Lagi soalan untuk anda dan diri saya.

Kejayaan Ibu bapa, boleh dilihat dan dirasakan, bila berjaya menanamkan sesuatu yang penting pada diri anak-anak mereka dengan kaedah yang sesuai dengan tahap penerimaan dan pemikiran, yang mungkin memerlukan kreativiti dan kesabaran yang amat tinggi. Anak-anak tidak pernah gagal meniru sikap berbanding mendengar cakap. Hebatnya cara Allah Taala mendidik manusia. Kadang-kadang terfikir, anak-anak lebih banyak berperanan mendidik ibu bapa berbanding sebaliknya. Tidak mengapa, asalkan masing-masing antara anak dan ibu bapa dapat mengembleng tenaga sepersis perintah Allah Taala supaya menjaga diri dan ahli keluarga dari bahana api neraka. Semoga lebih ramai ibu bapa yang meluangkan masa untuk mendidik anak-anak mereka sebegini.

“They act as our mirror. We see our weaknesses from their behaviour and we tend to change ourselves to become a better person”

Namun, hakikatnya segala-galanya adalah ujian yang didatangkan oleh Allah Taala kepada sekalian hamba-Nya. Sejauh mana kita mentafsirnya dan sejauh mana kita menerima segala yang tersurat dan tersirat hasil daripada segala ujian tersebut, itulah yang bakal menjadi tuntutan di hari akhirat nanti. Bertemu janji Allah Taala itu benar, namun sejauh manakah kita membenarkannya dengan sekalung kejayaan tadi, lalu diterjemahkan ke dalam kehidupan kita, itulah yang menjadi dasarnya. Fikirkan!

Amat gerun sekali, bila mana di hari kiamat nanti, usahkan saudara mara atau sahabat handai, hatta ibu dan anak sendiripun akan bimbang memikirkan hal dan urusan masing-masing di hari perhitungan itu. Semoga menjadi pesanan buat diri saya dan para pembaca budiman. Semoga kita bersedia untuk meluangkan sedikit ruang waktu bersendirian bersama-Nya, di seketika malam. Sekali kita ingat akan Allah Taala, nescaya Allah Taala berkali-kali ingat akan kita. Diri yang selalu berbuat dosa, namun rahmat dan kasih sayang Allah Taala yang selalu kita harapkan. Justeru itu, marilah kita kembali bermuhasabah selalu. Sejauh manakah, agama mewarnai kehidupan kita. Sesungguhnya keredhaan Allah Taala itu lagi manis dari syurga-Nya. Inilah kejayaan pada manisnya Iman.

Allah Taala berfirman;“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” Ibrahim (14:41)

Mendepani Sebuah Kejayaan Yang Pasti

Betapa dahsyatnya suasana pada hari ini, yang penuh dengan ranjau dan duri. Maka ketakwaan kepada Allah Taala sahaja yang dapat yang dapat menyelamatkan kita dengan izin Allah Taala. Sesuatu yang sangat dirisaukan sangat adalah pembangunan modal insan generasi yang mendatang, tentang apa yang mereka selalu didedahkan terhadap keadaan (waqie’) semasa, dunia moden. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dan kumpulan-kumpulan dakwah, iaitu diri anda harus bergerak dengan lebih pantas lagi, lebih pantas dari arus perdana agar tapi hati-hati jangan sampai kita pula yang di bawa arus dan hanyut dengannya. Tidak boleh tidak, kita harus bekerja untuk dakwah. Tidak dapat tidak, ayuh semua ke arah pengislahan dan perubahan!

Dalam dunia politik tidak usah kita perkatakan lagi, terang lagi bersuluh, apakah ini orang yang dambakan sebuah kejayaan. Yang baik tidak dinafikanlah, namun ramai yang menjadi pencacai daripada pejuang. Politik negara semakin celaru, keliru, haru-biru, cacamarba dan meresahkan. Anda sendiri dapat menyaksikannya. Bukan nak mengata, tapi ingin mencetus ingat bukan semua manusia dalam arena politik baik, dan bisa membawa rakyat di bawahnya mengikut apa yang telah diajar oleh Allah Taala dan Nabi saw. Sehinggakan sampai juga ke telinga saya cakap-cakap orang kampung;

“Ustaz, kenapa semakin ramai yang berbaris panjang membeli tiket percuma masuk Neraka!”

Agaknya anda pun boleh meneka, apa yang ingin disampaikan oleh mereka di sebalik uslub ayat di atas. Anda kena ingat, hidup kira hari ke hari bukan semata-mata untuk hidup, tapi dunia ini merupakan sekolah yang mana di dalamnya sarat dengan ujian atau lapangan peperiksaan yang harus ditempuhi, tidak perlu bayar yuran peperiksaan, Cuma cukup mendudukinya sahaja. Tapi slip keputusan peperiksaan tersebut adalah cukup penting. Bagi mereka yang berjaya pasti akan menerima tawaran yang pasti dapat, iaitu melanjutkan perjalanan mereka ke menara gading yang penuh dengan rahmat dan nikmat, anda tahu apa? Iaitu Syurga. Di dalam risalah Usrah dan Dakwah oleh as-Syahid al Imam Hassan al Banna, beliau ada menyebut:

“Kita mempunyai banyak kewajipan daripada masa yang kita ada.” Betapa tuntas benarnya kata-kata ini dan marilah kita doakan semoga Allah Taala mempermudahkan segala urusan perjuangan kita semua di Sekolah Kehidupan ini, ameen Ya Rabb!

Baik, dari sudut lain pula. Kalau kita bicara tentang dunia, aduhai pandai sekali. Tapi kalau bicara tentang agama, mereka jadi alergi. Terlalu banyak bentuk fitnah yang berlaku di dalam Islam, sehinggakan arus perdana Muslim mendefinisikan semula Islam berasaskan sesuatu yang lebih cabang (Furu’) dari yang lebih asas (Usul), itu pandangan yang kolot dan perlu dibetulkan. Kalaulah perkara usul yang menjadi keutamaan Muslim sudah tentu, situasi menang-menang akan bersama Ummah. Malangnya lebih ramai yang suka berdendang dengan irama bukan RAP dan seumpamanya, keranan ransangan akal bukan perasaan. Isu bukan hanya merujuk kembali kepada al Quran, kerana semuanya fasih dengan apa yang tersurat, tetapi yang tersirat memerlukan pemahaman yang mendalam pada apa yang tidak tertulis secara berhuruf. Renungkan!

Alasan mudah, cuba kita ingat balik sejarah silang agung karya Islam, bagaimana orang dulu betul-betul memperjuangkan Islam dan mengangkat Islam se ’gah’ namanya. Antaranya pada ketika Sultan Muhammad al-Fateh ingin menawan Constantinople, tentera-tentera kurang bersugi. Maka, baginda mengerahkan mereka bersugi. Tentera salib meneropong mereka dan melihat orang-orang Islam ini, kayu pun mereka makan setelah melihat tentera-tentera Islam memasukkan kayu sugi ke dalam mulut. Ini telah menimbulkan gerun di dalam hati mereka kepada tentera-tentera Islam. Kita bagaimana pula?

Saya ingin menyentuh sedikit lagi, tentang bagaimana pula kejayaan dari sudut perkahwinan dan pembentukkan keluarga. Perkahwinan pada saya antara cara bagaimana melatih lelaki untuk jadi pemimpin (apa saja jenis pemimpin), manakala isteri pula sebagai pembantu dan anak-anak yang taat soleh dan patuh perintah Allah Taala, Rasul, dan ibu bapa merupakan kejayaan sesebuah keluarga itu terutama kejayaan daripada kebijakan sang bapa berperanan sebagai pemimpin, dan sebetulnya memang patut ibu bapa fikirkan perihal ini terlebih dahulu iaitu bagaimana mahu mendidik anak yang soleh, sebelum berkira untuk melihat kejayaan sesebuah keluarga.

Sebagai contoh lain kepada si isteri pula (maaflah) tidak perlu nak persoal dengan siapa suami nak kahwin lagi, anak dara atau janda sekiranya kita memahami, tapi tugas anda ketika itu supaya ingatkan suami itu, awak tak takut ke dengan tanggungan semua ni, tambah dengan azab api neraka lagi. Kalau dia ikhlas biarkan la sekalipun dengan anak dara. Tapi yang menjadi masalah dan malangnya banyak suami hari ini bukan sahaja gagal nak tarbiyah anak dan isteri, diri sendiri pun tak lepas. Solat pun masih tunggang langgang. Aduhai!

Kejayaan suami berpoligami tu pula bukan setakat nak diukur dengan mewah anak-anak dan para isteri. Tetapi adakah para isteri yang bermadu itu dapat ditarbiyah oleh suami untuk sabar, redha dan dapat menerima isteri suaminya yang lain. Kita patut hormat suami begini yang mampu mentadbir rumah tangga sebegini harmoni. Kita perlu lihat, dari sudut yang betul walaupun anda mengatakan Nabi pun kahwin ramai. Rasulullah saw berpoligami bukan untuk menunjukkan bahawa lelaki bukan sahaja boleh kahwin lebih atau apa, tapi yang Rasulullah saw nak tunjukkan bahawa pemimpin yang berjaya, adalah mereka yang berjaya mentadbir kerajaan rumahtangga terlebih dahulu dengan penuh kebijaksanaan sekaligus dapat meraih suasana yang harmoni. Malu la bagi kita yang nak jadi pemimpin, tapi anak isteri pun masih tidak mampu nak ditarbiyah, solat jemaah pun kadang-kadang celup, apatah lagi nak tambah bilangan isteri. Aduh kena lagi!

Kadang-kadang terfikir, dan takut juga mengenangkan masa depan yang pasti akan datang. Adakah lebih baik keadaannya? Selama hidup 23 tahun pun saya boleh soroti perbezaan hidup ‘zaman dulu’, sewaktu saya kecil-kecil dahulu dan ‘zaman sekarang’. Sungguh dahsyat. Semakin banyak yang tidak boleh dibezakan. Teknologi meningkat, fitnah semakin banyak dan cepat pula merebaknya. Apabila umur makin lanjut dan pertanggungjawaban makin banyak, semua ini akan terasa.

Kejayaan dalam dakwah ialah apabila kita mampu membentuk jiwa, diri dan kemudiannya mampu membentuk orang-orang yang terdekat menjadi hamba Allah yang bertakwa. Itulah contoh dakwah para Nabi yang sentiasa menjadikan kaumnya orang yang mula-mula menerima seruannya. Namun ianya tidak semudah seperti yang disangkakan.

Kejayaan manusia adalah dalam agama sejauh mana manusia dapat mentaati perintah Allah Taala dengan cara hidup Nabi Muhammad saw yang penuh simple, mantap dan padat. Jika manusia berterusan konsisten dalam mentaati perintah Allah Taala, dan ikut cara hidup Nabi saw selagi itulah Allah Taala akan terus beri kejayaan dalam semua hal, semua bidang insyaAllah. Macam mana nak istiqamah?

Nabi pernah bersabda; “Perbaikilah Iman kamu dengan memperbanyakkan ucapan lailahaillallah (tahlil)”- Azlan Zainal

CIA dan Facebook!


Sumber: Email dari salah seorang sahabat di UK.

Ramai yang suka menggunakan laman web sosial seperti Myspace, Friendster, Tagged dan juga Facebook untuk mencari kawan terutamanya kawan lama di ruangan maya. Ada yang menjadikan laman web sosial sebegini sebagai satu tempat untuk mereka berkarya, tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai satu tempat dalam memperjuangkan wadah pemikiran masing-masing. Yang penting, ianya PERCUMA dan itulah yang ingin dikongsikan. Laman web sosial sekarang tak ubah seperti blog. Dengan menggunakan umpan yang paling senang iaitu PERCUMA, berduyun-duyun pengguna Internet akan berusaha untuk mendapatkan satu akaun bagi diri masing-masing. Apatah lagi kalau username mereka masih belum diguna pakai oleh orang lain. Jadi, sebagai pembuka kata, hari ini kita akan berkongsi sedikit info mengenai laman web sosial yang sedang meletup iaitu FACEBOOK.

Sebenarnya ada sebahagian DARK SIDE yang tidak diketahui oleh berjuta pengguna internet di dunia ini mengenai Facebook. Ini adalah satu konspirasi teori yang telahpun menjadi fakta benar dan apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah lihat dan terus melihat. Juka ada di antara kita yang telah meletakkan butir-butir peribadi sebenar di dalam Facebook, maknanya tiada apa lagi yang kita boleh lakukan. Sedarkah kita siapa sebenarnya di belakang FACEBOOK? Sedarkah kita bahawa semua data-data yang kita berikan itu telahpun disimpan oleh pihak CIA? Mereka boleh mengakses semua mengenai kita dan dengan mudah mendapat semua butir-butir diri tanpa perlu bertanya kepada kita, bos kita, kawan-kawan kita, pihak universiti kita, keluarga kita dan banyak lagi sumber at anytime them want!

Dan yang lebih menyedihkan lagi, ramai dari kita terutamanya rakyat Malaysia sudahpun memberikan 100% info dan butir-butir diri mereka dengan TEPAT. Apabila ditanya, mereka dengan mudah menjawab "nanti kalau member lama atau member sekolah ingin mencari kita...senang dan mudah sikit!". Malang sekali, bukan itu yang berlaku. Dalam pada keghairahan yang kita sendiri wujudkan terhadap FACEBOOK, kita sedikitpun tidak membaca dasar ataupun polisi yang FACEBOOK letak dalam web mereka. Yang kita tahu hanyalah PERCUMA dan sikap ramah dan jujur kita itulah yang boleh memakan diri kita sendiri sebenarnya.



Sama-sama kita renungkan apakah yang diperkatan dalam FACEBOOK's terms of service: ULASAN:

1. Cuba bayangkan! - FACEBOOK yang telah menjadi kegilaan pengguna internet adalah tempat yang paling mudah untuk CIA mendapatkan data peribadi mereka dengan PERCUMA. Bagi pengguna kebanyakkan (mereka yang bukan extreme) mungkin ia tidak akan membawa keuntungan kepada pihak CIA tetapi bagi mereka yang mempunyai "title" sebagai "professional" seperti seorang doktor, peguam, Professor, scientist dan yang seumpamanya. Inilah mangsa CIA yang sebenar.

2. Mengapa? - Kerana sama ada kita percaya atay tidak, ramai golongan professional yang meletakkan segala butiran mengenai diri mereka dengan lengkap bagai nak rak dengan alasan mereka mempunyai kawan di seluruh dunia dan masing-masing tidak mahu kalah dalam menceritakan semua kejayaan dan kegiatan yang telah mereka kecapi.

3. Bukankah ianya privacy diri sendiri? - Pernahkah kita/mereka fikirkan mengenai RISIKO yang mereka letakkan ke atas diri mereka sendiri?. Semua data dimasukkan adalah data-data mengenai achievement diri dimasukkan. Alamat, no h/p, rumah, pejabat, kerja, pendidikan, daily schedule dan lain-lain dimasukkan. Bayangkan semua ini akan dijadikan sebagai data statistik untuk digunakan pada masa hadapan.

4. Marahkah kita? - Kita marah bila orang mengambil tahu pasal kita, kita marah bila orang mencungkil privacy kita, tapi kita tidak sedar yang kita telah berikan semuanya dalam facebook kita. Kalau nak ikut cakap kasar:

"Esok kalau katakan mereka hendak menyerang Malaysia, mereka sudahpun tahu dimana golongan bijak pandai di Malaysia ini tinggal. Sebelum dia serang, mereka akan bunuh dulu golongan bijak pandai ini, tiada apa yang tinggal. Bukankah semua info yang mereka perlukan sudahpun berada dalam tangan mereka"

5. Fakta - FACEBOOK telah ditampung sebanyak USD500,000 oleh bekas CEO Paypal, Peter Thiel. Jadi tiada masalah untuk mempromosikannya. Tidak cukup dengan itu, sebanyak USD 12.7 juta telah dilaburkan ke dalam FACEBOOK oleh James Breyer dari Accel Partners. Mereka semuanya ada agenda yang mereka sendiri faham. Juka kamu hendak tahu siapakah mereka semua ini dan siapakah DALANG disebalik laman web sosial ini, boleh lihat clip
http://www.youtube.com/watch?v=mCGSYWd1HOI&feature=related .

6. Peranan CIA - Selain daripada menjadikan FACEBOOK sebagai cara untuk mendapatkan data dan maklumat, pihak CIA juga merekrut staffnya bagi program kesayangan mereka iaitu National Clandestine Service. Malah, Dr. Anita Jones juga telah menjadi sebahagian dari DARK SIDE ini. Dr. Anita Jones adalah Defence Research and Engineering Director untuk US Department of Defence.



KESIMPULAN:

Bersosial di laman web seperti FACEBOOK ini tidak salah, malah bagus bahkan kita boleh buat duit lagi. Tapi berhati-hatilah dengan fakta-fakta yang menjadi privasi diri sendiri. Jangan mudah kita memberikan maklumat yang penting. Maklumlah, rakyat Malaysia cepat terpengaruh dengan benda yang PERCUMA sebegini. Bukan nak mengata diri sendiri, tetapi telahpun terbukti. Kalau tidak percaya, pergilah ke laman web Fotopages dan lihat siapakah pengguna terbesar Fotopages kelolaan Israel itu! Jawapannya mudah ialah Rakyat Malaysia, tidak syak lagi.

APA YANG PERLU KITA BUAT? - Bagi mereka yang sudah menjadi ahli FACEBOOK dan sudah memasukkan data peribadi. Senyum sajalah. Bagi mereka yang belum mendaftar, berhati-hatilah.

Adakah kita sudah berdakwah?

Benarkah kita sudah berdakwah?
(Tazkirah untuk pendakwah dan bakal pendakwah)

Suasana di Malaysia sekarang ini, ramai orang yang mendakwa dirinya sudah berdakwah, sedang berjihad dan telah berjuang. Selain daripada mereka yang berdakwah melalui email, halaman web, SMS, lagu dan blog, Ada jugak yang berdakwah melalui radio, TV, komik, teater, buku, majalah, akhbar dan sebagainya. Dan di raut wajah mereka (kebanyakkan yang saya kenali) ada jua yang merasa selesa dengan ‘kerja’ mereka, rasa merasa diri cukup bagus dan yakin mereka akan masuk syurga, maaf jika keterlaluan rasanya. Yang paling dukacita kadangkala hanya kita menyangka kita sahaja yang berjuang Agama dan mereka yang tidak mengikut landasan kita yang sama kita katakan mereka tidak jelas fikrah dan sebagainya.

Benarkah kita sudah dikira berdakwah? Walaupun ramai di kalangan mereka yang kita gelar ustaz atau ulama’, benarkah? Hmm, ini bukan masanya saya nak beremosi dan berlagak pandai untuk memberikan nasihat, saya cuma ingin berkongsi sedikit buah fikiran dan ajak para ‘pendakwah’ moden agar kita sekalian muhasabah diri. Para pendakwah sekalian, Jika kita merujuk kepada sirah, bila dakwah tidak berlaku maka tiga perkara akan berlaku. Apabila jemaah DAKWAH tidak ada dalam satu-satu tempat, maka di tempat itu akan berlaku TIGA PERKARA BESAR iaitu:-

Pertama:
Ramai orang islam yang murtad, sangat ramai!
(Statistik di Malaysia pun hampir mencecah ratusan ribu, ramai orang Islam berani menukar agama)

Kedua:
Akan muncul pembaharuan dalam Agama.
(Oh, sekarang terdapat ahli bida’ah di kalangan ustaz ulama’, menggunakan jenama agama untuk merosakkan Agama, sekarang wujud Islam Liberal, Plural, Progresif, Radikal, Hadhari, Femenis dan sebagainya.)

Ketiga:
Allah cabutkan kehebatan Islam sehingga orang kafir tidak lagi merasa gerun dan takut kepada orang Islam, dan hilangnya keizzahan Islam di hadapan orang Islam itu sendiri kerana tiadanya penghayatan.

Dan jika diperhatikan sekarang, ketiga-tiga perkara ini sedang berlaku di mana-mana Negara umat islam, maka apa yang apakah yang telah kita telah lakukan sebagai pendakwah? Adakah hanya kita berasa selesa berdakwah dengan email, SMS, lagu ,blog, komik, teater, CD, kaset, buku, majalah, akhbar dan sebagainya semata-mata. Saya tidak mengatakan bahawa menggunakan kecanggihan teknologi itu salah dan tidak berguna kerana Nabi SAW sendiri mengajar kita untuk memimpin, mentarbiyah dan berdakwah mengikut peredaran zaman dan memanfaatkan segala ruang dan prasarana yang memungkinkan dakwah itu sampai kepada semua. Namun, apa yang dikesali kita semakin meninggalkan kerja rutinan kita yang utama, melakukan usrah, melazimi pertemuan mingguan, menghadiri Daurah Ilmu, mukhayyam Jamaah dan turun bertemu mad’u jika punya ruang dan masa. Kadangkala saya terfikir, seringkali sahaja adik-adik dikampus dan kita merungut kenapa ahli dan para kader Jamaah kita semakin kurang dan tiada kualiti, tapi ada baiknya juga kita berkoreksi bahawa sebenarnya kerja buat kita tidak menjadikan kita berhak untuk mendapat ahli lalu sebetulnya kita telah menzalimi diri.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW dulu, Kitab Al-quran berbentuk mushaf pun tiada, tiada sahabatpun yang menjual kitab Al quran, kitab-kitab tasauf, kitab ehsan, kitab sifat 20, pun tiada, apatah lagi email, sms, blog, dan media masa!

Namun hari-hari pasti ada sahaja orang masuk Islam, berbondong bondong dan memahami Islam dengan penuh kefahaman dan keyakinan. Namun jika diamati usaha yang payah akan memaknakan Dakwah maka kita sendiri akan merasai kemanisan dalam perjuangan ini, walaupun zaman Nabi SAW tiada Al-quran yang di bukukan sekalipun, tapi Nabi telah mendidik para sahabat r.a mengamalkan agama sehingga mereka semua menjadi ‘Al-quran yang bergerak.’ Inilah yang dinamakan penghayatan. Nabi telah mengajarkan sahabat berdakwah dengan cara yang betul dan menyampaikan pesanan berqudwah sebagai Da’ie, memahami orang lain baru kita boleh berikan yang terbaik. Semua sahabat berdakwah dengan bergerak jumpa manusia dari pintu ke pintu, lorong ke lorong, kabilah ke kabilah, dan sahabat telah bawa sifat yang sempurna dalam diri sehingga mereka menjadi asbab hidayah dan rahmat ke seluruh alam. Kemudian jika ada orang baru masuk Islam maka Nabi SAW akan menghantar mereka belajar agama di rumah para sahabat Nabi SAW, kerana di rumah sahabat Nabi ada suasana dakwah dan akhlak, bila orang baru di bawa di kedai dan pasar orang Islam pun ada suasana dakwah dan akhlak, yang mana akhirnya membawa kesan kepada dunia dan berbondong-bondong manusia masuk agama islam kerana semua sahabat adalah PENDAKWAH yang sebenar dan mereka memahami kerja buat mereka sebaiknya serta penghayatan dan pengorbanan mereka yang tinggi kepada agama yang mereka kasihi.

Kita juga tahu bahawa kubur sahabat r.a telah bertebaran serata alam, hanya ada 10 ribu lebih kurang kubur sahabat di sekitar Madinah dan Mekah, lagi seratus dua puluh ribu lagi kubur sahabat adalah di luar Madinah dan Mekah, bagaimanakah cara sahabat berdakwah yang mana ribu-ribu orang masuk islam? Kerana mereka bergerak dan tidak duduk semata. Tapi jika hari ini kita mengaku kita berdakwah, sedangkan ribu-ribu orang sedang murtad dan muncul ahli bidaah dan pendusta agama dan orang kafir sikit pun tak takut dan gerun membaca email, SMS, lirik lagu ,blog, komik, majalah, kain rentang, sepanduk, akhbar dan sebagainya. Tidak salah menggunakan media dan prasarana teknologi tapi jiwai dakwah kerana ia memerlukan banyaknya pengorbanan. Dahulunya, usaha sahabat sangat makbul dan diperkenankan, kerana dalam usaha dakwah mereka dua benda telah mengalir dengan banyaknya, iaitu darah dan air mata. Kata al Banna, kebahagiaan itu hanya akan dirasai sekiranya kita meletakkan diri dalam kepapaan, kesengsaraan dan merasai penderitaan.

Sebagai, saya selitkan satu kisah dalam sirah Rasul teragung. Sebelum kewafatan Rasulullah SAW, Baginda dalam keadaan sakit-sakit sekalipun telah menghantar satu jemaah Dakwah dan Jihad yang di ketuai oleh Usamah r.a yang masih muda belia, dan bilangan mereka adalah seramai 30 ribu orang termasuk 1 ribu penunggang kuda. Walaupun Nabi SAW sedang sakit, tapi Nabi sendiri telah menghantar jemaah Usamah RA ini keluar ke jalan Allah. Walaubagaimanapun, apabila Rasullulah SAW wafat., maka Jemaah Usamah yang sedang bertolak ini telah kembali pulang ke Madinah, ingin menziarahi jenazah Nabi SAW, dan pada ketika itu seluruh dunia islam di selubungi kedukaan dan kesedihan. Sahabat menjadi bingung dan hilang arah kerana tidak dapat menerima hakikat tentang berita kematian Nabi Muhammad SAW.

Sehinggakan saidina Umar Al-Khattab sanggup menghunus pedang dan ingin memancung kepala orang yang percaya Nabi SAW telah wafat. Lalu datanglah Abu Bakar As-Siddiq menegur perbuatan Umar lalu bagi tazkirah sebagai peringatan sambil mengcekak janggut saidina Umar.

“Sekiranya kamu beriman dengan Muhammad SAW sesungguhnya Muhammad telah mati dan sekiranya kamu beriman dengan Allah SWT ingatlah bahawa Allah tidak pernah mati.”

Pada waktu itu, dalam keadaan bingung dan keliru, terdapat pula perbalahan di antara puak Ansar dan Puak muhajirin kerana masing masing berebut jawatan ingin menjadi pemimpin. Orang Muhajirin mengatakan bahawa mereka lebih berhak menjadi pemimpin kerana mereka adalah golongan terawal masuk Islam dan sekampung dengan Nabi Muhamad SAW. Tetapi orang Ansar pula mengatakan bahawa madinah itu bumi mereka dan merekalah yang patut jadi pemimpin.

Maka keadaan menjadi semakin tegang. Dan dalam keadaan itu di kalangan sahabat r.a, tumpuan dan fikiran ke atas UMAT dan pergerakan jemaah dakwah telah berhenti, di tambah pula orang muhajirin dan ansar bergaduh kerana masing masing ingin melantik pemimpin di kalangan mereka. Pada waktu itu Jemaah yang dipimpin oleh USAMAH r.a tidak bergerak sementara (tangguh) dan para sahabat sibuk dengan urusan MELANTIK PEMIMPIN, berbagai nama calon di kemukakan, mereka hampir berperang sesama sendiri! Lalu, dalam keadaan mereka sibuk berfikir akan siapakah yang akan jadi PEMIMPIN orang islam?, pengganti Nabi Muhammad SAW?, datanglah Abu Bakar dan saidina Umar meredakan suasana

Namun bukan isu itu yang ingin saya ceritakan, yang saya kongsikan adalah pada waktu itu KERJA DAKWAH sedang berhenti sementara, orang Islam sibuk lantik pemimpin, dan Jemaah pimpinan Usamah r.a tertangguh dahulu maka pada waktu yang sama, tiga perkara besar telah berlaku, iaitu:-

Telah ramai orang islam yang murtad, kemunafikkan telah zahir di Madinah, kabilah Arab banyak yang murtad, termasuklah orang Ajam. Muncul pembaharuan dalam Agama, ada yang bersolat tapi tidak mahu bayar zakat dan yang paling dahsyat muncul Nabi palsu ciptaan Musailamatul Kazzab. Allah SWT mencabut kehebatan Islam sehingga tentera ROM mulai bergerak untuk menyerang Madinah. Ditunjukkan 3 perkara ini berlaku sebelum jasad nabi di kebumikan lagi! 3 perkara ini menimpa orang Islam bukan selepas 100 tahun orang islam tinggalkan dakwah, bukan selepas 10 tahun, tapi sekelip mata! Sehingga akhirnya semua umat Islam telah melantik saidina Abu Bakar r.a sebagai KHALIFAH Islam dan membaiahnya, dan atas kebijaksanaan beliau bagaimanakah Saidina Abu Bakar r.a mengatasi masalah ini.

Pertama sekali yang di buat oleh Saidina Abu Bakar r.a selepas menjadi Khalifah adalah :-

Gerombolan jemaah usamah r.a yang telah di hantar oleh Nabi SAW tapi tertangguh hendaklah di keluarkan ke destinasi yang telah di tetapkan! Maknanya, seramai 30 ribu orang Islam telah di kerah dan keluar untuk berjihad. Walaupun pada mulanya saidina Umar r.a dan kebanyakan sahabat lain tidak setuju kerana mahu Jemaah yang ramai ini di gunakan untuk menentang orang murtad di sekitar arab dan mahu sebahagian lagi jemaah ini menjaga sempadan Madinah daripada serangan Rom dan lain lain. Tetapi, apa pula kata Saidina Abu Bakar RA?

“Adakah patut aku menangguh jemaah yang telah dibentuk oleh Rasullullah sendiri? Demi Dia yang memegang nyawaku di dalam genggamanNya, sekiranya binatang-binatang buas datang menyerang madinah lalu mengheret mayat mayat isteri Rasullullah, sekalipun sama sekali tidak aku membatal pemergian jemaah usamah r.a.”

Abu bakar adalah orang yang paling faham Agama, dikalangan sahabat baginda Nabi, beliau adalah antara yang paling fana dan teliti berfikir, maka setelah menghantar tentera Usamah r.a, baki umat Islam yang tinggal telah di keluarkan untuk berjihad ke atas orang murtad dan golongan yang tidak membayar zakat, walaupun pada mulanya sebahagian sahabat risau kerana tiada orang lelaki di Madinah dan bagi cadangan agar orang yang solat tapi tidak membayar zakat di maafkan kerana mereka masih bersolat dan di pujuk mereka yang bersolat tapi tidak bayar zakat menyertai tentera Islam menentang orang murtad. Tapi Abu Bakar RA menjawab?

“Demi Allah, jika di zaman Nabi mereka membayar zakat bersama tali, tapi sekarang mereka membayar zakat tanpa tali, akan ku perang orang itu!" (mafhum maksudnya)

Nota: “tali” itu adalah tali yang mengikat binatang, jika di zaman Nabi mereka membayar zakat binatang bersama tali, maka andaikata mereka ingin membayar zakat binatang tanpa tali di zaman Abu Bakar, pun Abu bakar akan perangi mereka, atapah lagi jika tak bayar zakat terus!, Abu Bakar tidak mahu sedikitpun sunnah Nabi berkurang, dan tak mahu sebarang pembaharuan atau bid’ah muncul dan beliau seorang yang tegas dengan syariat Islam dan perlaksanaannya!

Diringkaskan cerita, tentera Usamah RA telah keluar ke Syam dan telah melewati kabilah-kabilah yang murtad yang ingin menyerang Madinah, lalu timbul kegerunan kepada golongan murtad dan berfikir jika mereka orang Islam telah keluarkan jemaah seramai ini, maka sudah pasti mereka mempunyai bilangan yang lebih ramai di Madinah.

Allah telah mencampakkan kegerunan kepada orang murtad kepada gerombolan Usamah r.a walaupun jemaah ini bukan di keluarkan untuk memerangi orang murtad. Kemudian di jalanan tentera Usamah r.a telah bertembung dengan tentera ROM lalu memerangi dan memusnahkan mereka. Di Madinah pula, Abu Bakar r.a telah menghantar jemaah atau gerombolan yang dipimpin Khalid al-Walid memerangi orang murtad, dan yang enggan membayar zakat, Nabi palsu telah berjaya di bunuh, orang murtad telah kembali Islam dan golongan yang enggang membayar zakat sudah kembali ke pangkal jalan, Dan Abu Bakar faham bahawa orang yang murtad dan tidak membayar zakat ini ada masalah iman lalu dikeluarkan perintah agar mereka semua keluar berjihad di jalan Allah, kemudian melalui jalan-jalan ini, Allah telah mencampakkan kegerunan kepada seluruh musuh Islam di seluruh dunia dan melalui jemaah dakwah dan jihad maka islam terus berkembang dan seterusnya mengusai dunia!

Maka hari ini adakah kita menyaksikan bahawa adakah kita sedang berdakwah?

Baiklah, pada pendapat saya, kepelbagaian dalam melaksanakan metodologi Dakwah tidak mengapa kerana ia boleh memberikan kemajuan pada Agama, pendekatan adalah satu teknik ‘perubatan’ dan kaedah penyembuhan untuk orang yang sakit Imannya, dan ia adalah salah satu cara menarik manusia mendekati Allah SWT. Pelbagai kaedah yang boleh diguna pakai, yang minat menyanyi, minat menulis, minat berpiket, minat bersukan, berkarya, minat membaca, dengar kuliah, masing-masing ada posisi maka gerakkan Dakwah semaksimumnya, yang penting mesti bergerak, turun ke lapangan mengenal mad’u dan kelompok sasaran.

Agenda dakwah yang biasa Nabi SAW perlu kita lazimi, turn bertemu ummah, usah bersifat esklusif malah perlu inklusif, yang berdakwah kena bercakap dengan rendah diri dan orang yang mendengar kena dimuliakan dan dihormati, jalan dakwah ini luas maka perlu diperkasakan, walaupun dia orang kafir sekalipun, maka berqudwahlah kamu sebagai Da’ie. Allah sendiri perintahkan Nabi Musa a.s berlemah lembut bila berdakwah pada Firaun!

Dan semua para Anbiya berdakwah dengan mencari umat dan mengenal pasti kelompok sasarannya. Kerana Tarbiyah yang ditunjukkan oleh Nabi-nabi bersifat mendidik jiwa dan membentuk peribadi, baginda yang memulakan dahulu barulah yang lain mengikutnya, kerana keindahan akhlak baginda adalah natijah cerminan Al-quran yang sempurna.

Sebab itu bila zaman Islam berubah, bila banyak muncul kitab-kitab, dan bila umat ini bagi tumpuan pada Ilmu semata dan mengabaikan dakwah, Ilmu yang ada walau sedikit perlu diamalkan dan dikongsi bersama. Usah biarkan, kita dihambat kembali sepertimana yang pernah berlaku kepada umat Islam suatu ketika dahulu, maka tidak pelik bila kita lihat kerajaan Monggolia bisa menakluk Baghdad dan menjatuhkan kerajaan, Islam di serang dan di jajah, amalan bidaah berleluasa dan beribu ribu orang telah murtad meninggalkan agama. Kerananya berpunca apabila perkara yang hak ditinggalkan, iaitu dakwah Islam yang suci ini.

Dan bagi mereka yang terlalu ghairah belajar agama, menadah dan membuka kitab, membelek mushaf, membuka kelas diskusi, berdebat, berforum dan lain lain, usah biarkan segala Ilmu terbuku di dada, tetapi praktikkan sebaiknya agar ia tidak sekadar retorik dijiwa, pulangkan Islam ini pada yang berhak dan kepada sesiapa yang dahagakannya, jangan biarkan dakwah yang indah ini menjadi HAK yang terus di 'yatim'kan. Tidak salah menggali ilmu, tetapi yang faham perlu dikongsi bersama dan disebarkan. Barulah Islam akan terus berkembang dan dirasai. Pesan buat teman dan adik-adikku di kampus, semarakkan majlis ilmu, rancakkan gelombang dakwah dan hidupkan halaqah usrah semula kerana dibahumu terpikul kerja buat Islam yang dinamakan amanah.

Sebagai renungan bersama, saya nungkilkan pesanan terakhir Saidina Abu Bakar r.a (Khalifah Islam pertama) kepada Saidina Umar Al-Khattab r.a. (Khalifah Islam kedua)

“Wahai Umar, Apa yang aku perkatakan kepadamu dan amalkanlah ia, Sesungguhnya aku berharap akan menghembuskan nafasku yang terakhir pada hariku ini, (hari isnin). Maka sekiranya aku mati, janganlah menunggu ke petang baru menggantikan aku untuk meguruskan hal ehwal orang ramai, Begitu juga jika kematianku terlewat sehingga ke waktu malam, janganlah kamu menunggu hingga hari esok untuk meguruskan hal ehwal orang ramai, Janganlah kematianku ini menyibukkan kamu dari agama dan wasiat Tuhan kamu. Laksanakanlah wasiat Allah dan Rasul-Nya terlebih dahulu. Sesungguhnya engkau telah melihat apa yang telah aku lakukan selepas kewafatan Rasulullah SAW, Musibah dan kewafatannya tidaklah sama dengan musibah kematian yang lain. Dan demi Allah, sekiranya aku melambat-lambatkan perintah Allah dan RasulNya sudah pasti Allah tidak akan menolong kita lalu menghukum kita dan musuh-musuh akan menyerang dan membakar Madinah ini”

Saya berharap moga ia dapat menjadi peringatan bersama, terus menyemarakkan dakwah ini, jika kalian mendapat kebaikan dengan membacanya, itu baik untukmu dan jangan lupa berdoa untukku, semoga kita semua menjadi insan yang di redhai Allah.. (Amin)-Azlan Zainal

Bahasa Melayu : Maruah Bangsa dan Nilai Ilmu.

Abdullah Munsyi pada tahun 1882 mengenai mentaliti bangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri:

"Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?"

Mungkin isu bahasa sudah lapuk untuk diperkatakan ataupun sudah muak didengari atau dibaca di mana-mana. Walaupun jauh di sudut pemikiran ini masih berpintal soalan antara tuntutan keperluan Bahasa Inggeris di zaman ini dan juga kecemerlangan Bangsa Melayu,aku rasa perlu sedikit ruang untuk aku melontarkan pendapatku. Pertamanya jika dikatakan pada aku pentingnya Bahasa Inggeris, aku hanya akan sekadar mengangguk. Kedua bila ditanya bolehkah Bahasa Inggeris ditingkatkan penguasaannya melalui pengajian matematik dan sains (PPSMI), sama sekali aku bantah!

Rasis rasanya apabila kita membicarakan persoalan orang-orang Melayu. Rasis bila kita cuba membangkitkan persoalan bahasa Melayu. Rasis bila kita menceritakan berkenaan betapa ketinggalan orang - orang Melayu dari sudut ekonomi dan rasis bila kita berusaha untuk menyedarkan orang - orang Melayu betapa mereka perlu bangkit, menolak Melayu - Melayu Perdana, menolak mereka yang menitiskan apa yang telah diperuntukkan kepada orang - orang Melayu dan bangun menentukan kehebatan bangsa dan agama. Kenapa itu semua rasis. Kenapa perjuangan mempertahankan bahasa - bahasa ibunda kaum lain, mempertahankan sekolah dan sebagainya tidak dianggap rasis. Bekali dibicarakan bahawa mereka berhak menuntut, memperjuangkan dan kita juga berhak menuntut dan mempertahankan bukan dari sudut yang bersifat rasis tetapi dari sudut pembangunan bangsa itu sendiri. Sebenarnya beberapa kesedaran perlu kita beritahu, perjuangan membebaskan Melayu dari sekatan minda, sekatan perekonomian dan sekatan budaya bukan satu perjuangan mendiskriminasikan kaum lain. Ini ditegaskan berkali-kali tetapi kenapa kegerunan berlaku dan ada antara Melayu - Melayu kita yang turut risau seolah - olah ini melanggar demokrasi, melanggar hak kemanusiaan dan mendiskriminasikan Melayu. Masalah Melayu semakin kritikal bila suara untuk memartabatkan Melayu dibantahi oleh orang Melayu yang mempunyai hajat lain.

Mungkin sekali lagi kita perlu sedarkan bahawa perjuangan membasmi kemiskinan adalah perjuangan tanpa sekatan atau sempadan perkauman tetapi mungkin penelitian diberi kepada Melayu kerana Melayu dalam keadaan yang lebih rapuh. Kita bukan membicarakan soal Melayu miskin hanya dari segi harta dan pegangan ekonomi tetapi kemiskinan yang menyeluruhi Melayu adalah erti kemiskinan yang sebenarnya, bila segala ruang alternatif untuk memajukan diri tertutup. Kemiskinan yang didefinisikan dengan ketiadaan ruang untuk membangunkan, kebuntuan arah dan kesempitan pergerakan. Ini adalah bentuk kemiskinan yang lebih buruk dari kemiskinan harta kerana kemiskinan ini melibatkan diri dari segi fizikal dan jasmani. Oleh itu sedarlah bahawa Bahasa adalah jiwa bangsa, ia lebih dari sekadar rasis, jadi tiada makna jika kita tiada punya berbudi bahasa.

Usaha mendaulatkan Bahasa Melayu di segenap lapangan merupakan tindakan murni yang bukan sahaja menepati semangat undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembangan Persekutuan yang memperuntukan kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di dalam perkara 152. Usaha ini harus dilihat sebagai satu jihad untuk menguat dan mengekalkan identiti serta jati diri bangsa dan negara Malaysia. Keputusan yang diambil oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika menjadi Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan suatu ketika dahulu untuk menukar istilah-istilah asing yang digunakan pada nama jalan dan tempat di Putrajaya harus diberikan pujian serta wajib untuk dilaksanakan.

Sebagai sebuah negara berdaulat dan mengiktiraf peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita tentu hairan apabila istilah-istilah asing seperti “Presint, Boulevard dan Parcel” digunakan secara meluas di Putrajaya. Apakah dengan menggunakan istilah-istilah sedemikian maka ia akan membantu perkembangan serta kemajuan pemerintahan negara? Sudah tentu tidak, malah ia menyumbang kepada dua kesan iaitu kekeliruan minda dan kerendahan jiwa. Ia menyumbang kepada kekeliruan minda melalui persoalan apakah tidak ada langsung istilah-istilah ataupun nama-nama di dalam bahasa kebangsaan yang boleh digunakan untuk dijadikan nama jalan dan tempat di negara kita. Ia menyumbang kepada kerendahan jiwa apabila kita secara terbuka menyokong dan berbangga terhadap penggunaan istilah-istilah asing lebih daripada istilah dalam bahasa kebangsaan sendiri. Hal sedemikian bukan sahaja berlaku di Putrajaya malah turut berlaku di segenap pelusuk negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk menyatakan keperihatinan terhadap perkara ini.

Bila datangnya Thomas Kuhn dengan magnus opus-nya, The Structure of Scientific Revolutions, sepatutnya kefahaman kita tentang hubungan antara bahasa dengan budaya makin arif. Apatah lagi, sebelum itu sudah ada beberapa karya yang melakarkan perkara persis. Mithalnya, menerusi Oswald Spengler dalam The Meaning of Numbers, dan Alvin White dalam Essay in Humanistic Mathematics. Semua nukilan ini sudah mendahului dalam memaparkan kelemahan ketara semesta Barat, tatkala mahu memandang bangunan ilmu secara kebelakaan. Kuhn, seorang failasuf sains dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) dalam karyanya tersebut jelas menunjukkan bahawa sains tabii yang dibangunkan barat itu hakikatnya sarat nilai. Manakala Spengler menyerlahkan ikatan antara budaya dan nombor dengan begitu kemas, sementara White pula gencar memperkatakan kaitan antara budaya dengan matematik. Sebenarnya, seluruh hubungan ini mampu dipindahkan ke dalam wacana bahasa.

Memang, sebahagian dari kita sering ralat kerana memikirkan bahasa itu bebas nilai. Hakikatnya, ini persepsi keliru. Bahasa adalah subjek yang sangat akrab dengan nilai-nilai ketamadunan sesuatu bangsa. ¨Bahasa jiwa bangsa¨ itu adalah peribahasa yang betul, dengan syarat difahami dalam konteks yang juga betul. Bahkan, terbukti banyak peribahasa kita bukan sahaja mengandungi unsur-unsur sains sosial yang menawan, tapi sekaligus juga sains tabii-nya yang menarik. Malahan, sesetengah peribahasa kita tampaknya lebih unggul dari kosmologi sains tabii yang difahami barat. Umpamanya, ¨bagai pinang dibelah dua¨ itu adalah sebuah peribahasa yang melampaui konsep simetri yang terdapat dalam fizik barat. Tapi sayangnya, kita sendiri tidak mencungkil khazanah ini untuk dimodelkan dalam kaedah saintifik. Ketirisan penghargaan pada tamadun sendiri terhimpit lagi dengan pendekatan pendidikan yang berorientasikan bahasa serta paradigma asing. Malang sungguh, betapa dasar herot ini terus dilaksanakan biarpun bercanggah dengan tabii hubungan antara manusia dan bahasa.

Bila kita menyingkirkan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, itu sebenarnya bermakna kita turut menimbus terlalu banyak keistimewaan yang terdapat dalam jiwa bahasa itu sendiri. Bahkan, lebih pilu lagi, yang telah diruntuhkan itu adalah sistem pendidikan iaitu sektor terkental hierarki pembinaan ilmu. Wajarnya kita harus berfikir jernih, dan menyisih dengan hemah tentang perbezaan makna antara kalimah Melayu dengan Inggeris tersebut. Kefahaman inilah yang sering diabaikan. Apaila diperhalusi, terbukti ada sejarah akrab hubungan antara bahasa Melayu itu dengan Islam, sepertimana yang diwar-warkan pada 1970-an oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu.

Bahasa Melayu, menurut al-Attas, adalah bahasa yang sarat nilai-nilai Islamnya. Memang, tesis al-Attas kini sudah boleh disanggah dengan beberapa data baru yang menunjukkan kelemahannya. Namun, sekurang-kurangnya dalam konteks makna bahasa Melayu-Islam, tesis ini maseh boleh dipertahankan lagi. Tesis inilah yang membebaskan jiwa abdi serta minda tertawan di kalangan bangsa Melayu, setelah berabad terjajah. Mithalnya, yang paling popular ialah perbezaan makna ¨keadilan¨ yang cuba disesuaikan dengan ¨justice.¨ Ternyata, dalam takrifnya yang seni, masing-masing adalah mewakili suatu kosmologi makna yang berbeza! Kalau dalam sains tabii pula, kadang-kala kita sering terperangkap dengan bentuk terjemahan mudah bagi ¨natural¨ yang kemudiannya lekas disebandingkan dengan ¨semulajadi.¨

Walhal, di sebalik kedua-dua kosakata ini mengusung makna terdalamnya iaitu yang kemudiannya sampai kepada jarak antara ateistik dan teistik. Hal seperti inilah yang tidak disedari ramai ekoran kegagalan untuk memikirkan sesuatu yang lebih jauh dari permukaannya. Sama juga dalam sistem angka. Sebelum ini, sering saja ada yang berhujah bahawa Bahasa Inggeris dilaksanakan atas alasan ¨mahu kembali ke ilmu asal.¨ Tapi, sebenarnya, ilmu asal sains dan matematik bukanlah bermula dari Bahasa Inggeris.

Kesamaran ini akan terungkap bila didedahkan perkataan sceince itu sendiri, yang jelas sekali merupakan peminjaman dari bahasa lain. Kata itu datangnya dari scientia, Bahasa Latin. Begitu juga mathematics yang bermuara dari mathema, pinjaman dari Bahasa Greek. Bahkan, hampir seluruh angka sa — 0 sampai 9 — adalah bukan murni dari Inggeris sama sekali. Sebaliknya, seluruh angka sa Melayu terbukti lebih murni, lebih mantap, atau lebih asal dari Inggeris itu sendiri. Itulah kelebihan membangun ilmu dalam acuan sendiri. Kita membangunnya dengan kosmologinya sekali. Walau bagaimanapun, bukan sahaja Melayu, atau Islam, yang tertanam keistimewaan-keistimewaan sebegini. Tetapi, pengalaman tabii ini terhukum pada semua bahasa. Masing-masing bahasa ada keistimewaan sendiri, yang antaranya barangkali tiada pada bahasa-bahasa lain.

Bahasa Jerman mithalnya, diketahui dalam kebanyakan displin ilmu adalah jauh lebih lengkap mengatasi bahasa Inggeris. Kelebihan ini terbina natijah dari tradisi ilmunya yang lebih lama, atau lebih asal, sedangkan penguasaan Bahasa Inggeris baru saja muncul pada abad ke-19. Di samping itu juga, bila kita bercakap soal bahasa, seringkali hujah-hujah yang dikemukakan ialah kuasa capaian keilmuan yang terdapat dalam Bahasa Inggeris itu lebih meluas, dan lebih jitu. Secara keseluruhannya, sebenarnya hujah sebegini amatlah rapuh. Bahasa Inggeris menjadi kukuh bukan kerana khazanah pengetahuan induk yang terdapat di dalamnya, tetapi kerana bahasa ini terhablur menerusi suatu proses terjemahan yang agresif yang begitu lama — di mana budaya penerjemahan ini kini kian terpinggir dalam tradisi kita.

Sehingga kini, Bahasa Inggeris masih lagi bersusah payah untuk menerjemahkan banyak buku falsafah ke dalam bahasanya. Mereka tiada budaya falsafah yang tegar bebanding bangsa Jerman contohnya. Satu contoh yang kini menjadi klasik ialah buku Sein und Zeit adikarya Martin Heidegger, yang memerlukan lebih 30 tahun untuk diterjemahkan kepada khalayak berbahasa Inggeris. Bukan kerana tiada yang ingin menerjemah, tapi kerana kesukaran untuk memadankan Bahasa Inggeris agar tersuai dalam kosmologi yang Heidegger maksudkan. Ini jelas, menunjukkan kemiskinan bahasa pengungkapan falsafah yang terdapat dalam Bahasa Inggeris, berbanding Bahasa Jerman. Malah, kalau dalam bidang sains dan teknologi lagilah ketara. Sampai kini sekalipun, bangsa Jerman diakui memang terkenal dalam displin sains tabii, sampaikan mekanik kuantum itu pun sendiri diistilahkan mereka sebagai Sains Jerman bagi mencabar Teori Kenisbian Einstein yang dianggap mereka sebagai Sains Yahudi. Manakala Perancis pula kaya dalam displin sains sosial, terutamanya menerusi tradisi di Université Paris-Sorbonne.

Bahasa Inggeris jika di kaji dalam perspektif kepelbagaian Eropah seperti disepakati bahawa bukanlah antara bahasa ilmu utama. Kalau tidak kerana kesungguhan mereka menerjemah, tidak mungkin Bahasa Inggeris menjadi begitu sejagat dewasa ini. Tapi, persoalannya, kenapa kita tidak meniru tatakaedah ilmu melalui penerjemahan ini? Barangkali jawapan terbaiknya kerana kedangkalan sendiri. Kita salah berfikir logik. Mantik, atau nyaya dalam Bahasa Sanskrit, yang kita pakai selama ini sedayanya cuba dikaburkan dan dikelirukan. Padahal jika mahu dibangunkan bangsa, yang perlu dilakukan ialah turut memperkasa bahasanya sendiri, selain memindahkan pengetahuan dari bahasa-bahasa lain ke dalam bahasanya.

Itulah yang sepatutnya dilaksanakan melalui terjemahan, bukan sebaliknya! Selain dari itu, dampak penggunaan bahasa asing dalam pendidikan turut menghakiskan daya kreativiti sesuatu bangsa tersebut. Ini jelas termuat dalam teori linguistik, yang menghubungkan antara mutu pengaryaan dengan penggunaan bahasa intim. Hakikatnya, ¨bahasa yang paling mampu untuk kita berkreativiti adalah bahasa yang kita bermimpi.¨ Sebab itu, ekoran pelaksanaan dasar pendidikan bukan dalam bahasa sendiri, pendidikan kita akan menjadi lebih kaku, dan yang paling kuat pun hanya bertakat malar saja dengan paradigma pinjaman. Sudah tentu, secara logiknya kita takkan mungkin dapat menandingi tingkat keilmuan Inggeris, kerana cara pengaryaan kita — yang meniru itu — tidaklah akan menyamai mereka.

Tidak hairan, kini sudah ada dakwaan bahawa Bahasa Inggeris itu bukanlah bahasa kreatif. Edward de Bono, pengarang Six Thinking Hats, sendiri mengakui bahawa Bahasa Inggeris bukan sebuah bahasa kreatif. Paradigma bahasanya kerap terhenti pada perkataan-perkataan tertentu yang sering dijadikan alasan tanpa-bantah. Bahasa Sepanyol, ataupun bahasa Itali, ternyata mempunyai rekod pembangunan ilmu asal yang jauh lebih cemerlang daripada Bahasa Inggeris ini. Bahasanya banyak melangkaui wacana bukan-fizikal. Usah bandingkan dengan bahasa Jerman dan Perancis, atau Latin dan Greek, sudah tentu lebih-lebihlah lagi. Harus dicatat juga, dalam tema bahasa ini, menelusuri pengalaman Eropah memang banyak iktibarnya. Menerusi mereka, kita memperoleh pengajaran bahawa bentuk pendidikan terbaik adalah membina acuan sendiri — dengan kebudayaan sendiri. Inilah yang diajar oleh negara-negara Eropah yang kecil, seperti Czech, Norway, Bosnia & Herzegovina, Luxembourg, dll itu. Mereka sehingga kini terus melestarikan bahasanya sendiri di kala hambatan globalisme Bahasa Inggeris. Hasilnya, mereka tidak hilang identiti, tapi tidak juga tertinggal arus perkembangan ilmu sejagat.

Pengalaman Sweden mungkin yang terbaik. Dalam contoh ini, lebih dari dua pertiga rakyat Sweden memang terbukti mampu menguasai Bahasa Inggeris, meskipun dalam waktu yang sama seluruh sistem pendidikan dan urusan domestik mereka adalah dilaksanakan dalam bahasanya sendiri. Jadi, persoalannya, kenapa kita tidak meneladani dari negara-negara Eropah ini, yang jelas lebih berjaya dan bergaya dari negara kita sendiri? Ini samalah dengan beberapa negara-negara Asia — China, Korea, Taiwan, Hong Kong — yang mana sistem pendidikan dalam bahasa sendiri mereka telah berjaya melahirkan olimpiad-olimpiad emas dalam beragam pertandingan sains antarabangsa, meskipun mereka tidak faseh berbahasa Inggeris. Malah, Amerika Syarikat dan Britian sendiri akhirnya terpaksa mengalah dengan kehebatan pelajar negara-negara Asia ini, sehingga mereka sering saja ´mencuri´ pelajar-pelajar asing ini untuk dihantar mewakili mereka dalam olimpiad antarabangsa tersebut. Sebab itu, jangan hairan jika ada kenyataan bahawa Anglo-Saxon itu bukanlah sebuah bangsa yang bijak. Anehnya, kita yang terhegeh-hegeh memikirkan bahawa Bahasa Inggeris itu bersinonim dengan sains dan matematik. Walhal, itu berbeza. Kita boleh semak saja pengalaman Amerika Syarikat. Mereka akhirnya terpaksa meminjam minda-minda luar untuk merintis pengetahuan baru buat mereka.

Kelih saja tawaran Amerika Syarikat kepada saintis-saintis Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua, bagaimana mereka mendepa tangan pada Albert Einstein, Thedeor Adorno, Kurt Gödel, dll, demi mebangunkan ilmu di negara tersebut. Namun, sayangnya, semua hujah-hujah ini gagal dihayati oleh para perumus dasar bahasa dalam sistem pendidikan kita. Hari ini, negara-negara Eropah berbahasa Inggerís sudah menilai kembali pendekatan dalam sistem pendidikan mereka. Mereka bermuhasabah kerana menyedari adanya keherotan dalam teknik pengajaran dan pembelajaran. Malah, Amerika Syarikat turut mengambil langkah awal dengan mula menawarkan pendidikan dalam Bahasa Sepanyol untuk kalangan Hispanik dan Latino — selepas menginsafi keperluan untuk mengajar dalam bahasa bangsa itu sendiri. Tapi, kita? Kita — dengan niat — untuk mengambil jalan pintas dalam rangka mengejar status negara maju menerusi dasar peng-inggeris-an, rupa-rupanya sedang memintas jalan kemunduran. Di saat khalayak makin tahu erti serta kepentingan sesuatu ilmu haruslah dibangunkan dalam acuan sendiri; bahasa sendiri — yang sarat nilai, nyata identiti, dan penuh pengaryaan — kita sebaleknya terus bebal dengan fikiran singkat yang sampai kini pun masih tak kenal jatidiri.

Jepun terbukti sebuah negara yang sangat maju dalam sains dan teknologi. Demi untuk memberi peluang kepada pelajarnya menghayati sains dan matematik sehingga lahir pemikiran sains dan pemikiran matematik, mereka menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa untuk mengajar sains dan matematik walaupun Bahasa Inggeris tidak di abaikan. Keberkesanan penguasaan Bahasa Inggeris menekankan kepada penguasaan grammar, communicative approach dan authentic material. Semua itu dapat di laksanakan di kelas Bahasa Inggeris bukannya di kelas sains dan matematik. Penguasaan Bahasa Inggeris tidak ada kaitan menghafal istilah sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Pengajaran sains dan matematik dalam BI malah menghancurkan pengajaran matematik dan sains kepada satu suasana yang membinggungkan dan membosankan. Sains dan matematik pula bukan hanya terhad kepada menghafal istilah dan fakta tetapi lebih kepada melahirkan insan sains matematik yang dapat mencabar teori lama dengan pemikiran baru. Meletakkan halangan bahasa kepada pengajaran Sains dan matematik adalah silap dan satu kecelakaan. Itulah sebabnya ibu bapa telah mengambil langkah drastik mengadakan demo aman untuk menentang dasar yang menghancurkan pelajaran anak mereka, maka berlaku satu epilog menarik dalam sejarah Negara apabila 7 Mac menjadi tarikh keramat kepada saksi cintanya rakyat Malaysia kepada bahasa ibundanya.- Azlan Zainal