Rancanglah hidupmu, manfaatkan peranan
Mendakwa diri sebagai pejuang politik islam atau pejuang agama Allah tidak lengkap sekadar menurut langkah ikut-ikutan rencah politik dramatik yang disogok oleh Barat sejak zaman-zaman reformasi dan revolusi yang melanda benua eropah dan Amerika. Apabila perjuangan islam bersebati dengan sogok-sogokan utopia demokrasi pada hari ini hanyalah satu lagi kebodohan yang melanda dunia ummah selepas di satu era,aktivis politik islam pernah cenderung pada idea-idea komunis dan sosialis dan memusuhi demokrasi dan kapitalisme. Demokrasi dan kapitalisme cuma asas yang telah berjaya mendominasi dunia apabila kalah dan runtuhnya soviet dan apabila komunisme di China mula ambil langkah agresif kepada keterbukaan ekonomi sehingga kini imej komunisme di china dilihat menerima konsep liberalisasi. Ya, asas itu akhirnya kini mengorak langkah pada fasa akhir membawa dunia kepada liberalisasi dan akhirnya globalisasi. Pada ketika itu saja dajjal akan berjaya masuk ke segala ceruk rantau kerana sifat dunia sudah tidak bersempadan kecuali dia tak akan berjaya masuk ke makkah dan madinah.
Persiapan pejuang generasi baru
Fokus adalah satu konsep yang akhirnya telah berjaya membangunkan revolusi industri. Apabila teknik fokus dilakukan maka perjalanan barang di kilang lebih pantas, maka kadar produksi meningkat. Fokus di sini merujuk kepada tugasan pekerja kilang di setiap baris mesin melakukan tugas yang sama berulang kali, dan barisan yang seterusnya menambahbaik atau melengkapkan kitaran penghasilan produk.
Misalnya pekerja yang ditugaskan membotolkan produk hanya fokus pada tugas membotol, maka tugas yang terfokus ini secara natural mengakibatkan si pekerja mahir membotol malah kepantasannya meningkat dari sehari ke sehari.Begitu juga pekerja yang ditugaskan meletakkan botol dalam kotak akan dapat meningkatkan kepantasan kerjanya itu. Begitu jugalah tugas mengangkat kotak ke dalam lori, semuanya berjalan dengan lancar dan pantas.
Manusia juga telah terfokus setiap ciri dalam diri mereka. Tugas asas dan umumnya manusia dijadikan Allah untuk beribadat kepadaNya. Padahal kita tahu tugas ibadat itu luas. Makan juga ibadat, tidur juga ibadat, mandi juga ibadat seperti mana solat, zakat, puasa itu adalah ibadat, yang asasnya adalah niat melakukannya kerana Allah dan cara melaksanakannya tidak melanggar sunnah Rasulullah serta semuanya adalah perbuatan baik yang tidak bertentangan dengan syariat.
Oleh sebab manusia itu diciptakan punya pelbagai kelebihan dan kemampuannya, maka tidak semua mukmin itu disuruh berperang ketika zaman Rasulullah lagi. Ada yang tinggal di madinah kerana dua tugasan. Pertama sebahagiannya ditugas melindungi mereka yang tidak mampu berperang yang masih berada di Madinah iaitu di kalangan wanita, kanak-kanak, orang tua, dan orang yang keuzuran, begitu juga ditugas melindungi harta umat islam dan madinah itu sendiri dari dicerobohi musuh. Kedua, sebahagian mereka tinggal untuk menuntut ilmu kerana ilmu dan perjuangan mesti terus diturunkan kepada generasi seterusnya. Dengan kata lain misi menyediakan pelapis, agar tidaklah nanti jika syahid semua ilmuwan di medan perang maka kelak generasi berikutnya jahil akan ilmu dan perjuangan. Dan sesungguhnya ilmu tertinggi dalam islam itu adalah ilmu alquran.
Perancangan raapi telah diadakan oleh Rasulullah sendiri ke atas umatnya sejak baginda masih hidup lagi. Ada yang keluar berperang, ada yang tinggal untuk melindungi, dan ada yang tinggal untuk turunkan ilmu dan menuntut ilmu. Yang keluar berperang juga, berlaku fokus iaitu ada yang bertempat di atas bukit dengan panah, ada yang berkuda gempur dengan pedang, dan ada juga yang berperanan untuk mengibar panji atau melaungkan semangat. Semuanya punyai perancangan yang rapi dan teliti.
Perjuangan generasi baru juga perlu berperancangan dan sistematik. Bagaimana tugasan dan kepakaran dapat dikenalpasti, tentunya dua kaedah perlu dilaksanakan di peringkat awal lagi, iaitu mengenal Allah dan mengenal diri. Mengenal Allah akhirnya dapat mempersiapkan iman, dapat mempersiapkan niat, dapat mempersiapkan semangat dan dasar perjuangan. Mengenal diri membawa kepada persiapan menjalankan peranan atas fokus yang ada pada diri. seorang yang Allah kurniakan kelebihan bercakap, boleh manfaatkan pada peranan bercakap. Kelebihan menulis, boleh mengoptimumkan pada peranan menulis. Kelebihan berfikir, boleh memaksimakan pada peranan berfikir. Itu sebahagian contoh fokus yang umum dan rata-rata manusia memiliki kelebihan dan kecenderungan itu dalam pakej yang luas seperti seorang yang boleh bercakap itu juga punya kelebihan menulis dan berfikir. Akan tetapi, minat dan kebolehupayaan yang lebih teliti jika berjaya digali dalam diri, maka manusia itu dapat meletakkan dirinya pada perjuangan yang lebih jelas. Seperti atas semua pakej fokus yang dikenalpasti, akhirnya seorang manusia itu cenderung menjadi doktor, maka profession doktor diambil sebagai fokus dan medan perjuangan hidupnya, itulah posisi yang terbaik kerana apa yang lebih utama adalah menyumbang dalam perjuangan ini. Begitu juga fokus yang akhirnya dikenalpasti membawa seseorang menjadi seorang jurutera, maka berjuruteralah semampu daya. Begitu juga pada kecenderungan peniaga, petukang, petani, nelayan, guru, polis mahupun bomba.
Generasi baru wajar diajar, diasuh, dan dididik untuk memiliki kebolehan mengenal. Dalam kes yang istimewa memang ada kanak-kanak yang tidak punya daya pemikiran tinggi atau lambat. Namun dalam kes normal, kanak-kanak perlu dipersiapkan kekuatan mengenal itu yang akhirnya membawa mereka kepada mumaiyiz, iaitu mengenal mana yang baik dan buruk. Ciri mumaiyiz yang lahir secara fitrah buat setiap insan sejak kecil perlu didorong ke arah perjuangan yang disebutkan di atas iaitu mengenal Allah dan mengenal diri. Dengan kekuatan dan persiapan itu, akan mempersiapkan generasi baru yang sudah bersedia menerima tugasan sebagai pelapis perjuangan. Malah bukan sekadar menggantikan generasi tua dan lama akan tetapi membaiki dan memperkemaskan perjuangan mereka.-Azlan Zainal
0 comments:
Post a Comment