Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Adakah kita sudah berdakwah?

Benarkah kita sudah berdakwah?
(Tazkirah untuk pendakwah dan bakal pendakwah)

Suasana di Malaysia sekarang ini, ramai orang yang mendakwa dirinya sudah berdakwah, sedang berjihad dan telah berjuang. Selain daripada mereka yang berdakwah melalui email, halaman web, SMS, lagu dan blog, Ada jugak yang berdakwah melalui radio, TV, komik, teater, buku, majalah, akhbar dan sebagainya. Dan di raut wajah mereka (kebanyakkan yang saya kenali) ada jua yang merasa selesa dengan ‘kerja’ mereka, rasa merasa diri cukup bagus dan yakin mereka akan masuk syurga, maaf jika keterlaluan rasanya. Yang paling dukacita kadangkala hanya kita menyangka kita sahaja yang berjuang Agama dan mereka yang tidak mengikut landasan kita yang sama kita katakan mereka tidak jelas fikrah dan sebagainya.

Benarkah kita sudah dikira berdakwah? Walaupun ramai di kalangan mereka yang kita gelar ustaz atau ulama’, benarkah? Hmm, ini bukan masanya saya nak beremosi dan berlagak pandai untuk memberikan nasihat, saya cuma ingin berkongsi sedikit buah fikiran dan ajak para ‘pendakwah’ moden agar kita sekalian muhasabah diri. Para pendakwah sekalian, Jika kita merujuk kepada sirah, bila dakwah tidak berlaku maka tiga perkara akan berlaku. Apabila jemaah DAKWAH tidak ada dalam satu-satu tempat, maka di tempat itu akan berlaku TIGA PERKARA BESAR iaitu:-

Pertama:
Ramai orang islam yang murtad, sangat ramai!
(Statistik di Malaysia pun hampir mencecah ratusan ribu, ramai orang Islam berani menukar agama)

Kedua:
Akan muncul pembaharuan dalam Agama.
(Oh, sekarang terdapat ahli bida’ah di kalangan ustaz ulama’, menggunakan jenama agama untuk merosakkan Agama, sekarang wujud Islam Liberal, Plural, Progresif, Radikal, Hadhari, Femenis dan sebagainya.)

Ketiga:
Allah cabutkan kehebatan Islam sehingga orang kafir tidak lagi merasa gerun dan takut kepada orang Islam, dan hilangnya keizzahan Islam di hadapan orang Islam itu sendiri kerana tiadanya penghayatan.

Dan jika diperhatikan sekarang, ketiga-tiga perkara ini sedang berlaku di mana-mana Negara umat islam, maka apa yang apakah yang telah kita telah lakukan sebagai pendakwah? Adakah hanya kita berasa selesa berdakwah dengan email, SMS, lagu ,blog, komik, teater, CD, kaset, buku, majalah, akhbar dan sebagainya semata-mata. Saya tidak mengatakan bahawa menggunakan kecanggihan teknologi itu salah dan tidak berguna kerana Nabi SAW sendiri mengajar kita untuk memimpin, mentarbiyah dan berdakwah mengikut peredaran zaman dan memanfaatkan segala ruang dan prasarana yang memungkinkan dakwah itu sampai kepada semua. Namun, apa yang dikesali kita semakin meninggalkan kerja rutinan kita yang utama, melakukan usrah, melazimi pertemuan mingguan, menghadiri Daurah Ilmu, mukhayyam Jamaah dan turun bertemu mad’u jika punya ruang dan masa. Kadangkala saya terfikir, seringkali sahaja adik-adik dikampus dan kita merungut kenapa ahli dan para kader Jamaah kita semakin kurang dan tiada kualiti, tapi ada baiknya juga kita berkoreksi bahawa sebenarnya kerja buat kita tidak menjadikan kita berhak untuk mendapat ahli lalu sebetulnya kita telah menzalimi diri.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW dulu, Kitab Al-quran berbentuk mushaf pun tiada, tiada sahabatpun yang menjual kitab Al quran, kitab-kitab tasauf, kitab ehsan, kitab sifat 20, pun tiada, apatah lagi email, sms, blog, dan media masa!

Namun hari-hari pasti ada sahaja orang masuk Islam, berbondong bondong dan memahami Islam dengan penuh kefahaman dan keyakinan. Namun jika diamati usaha yang payah akan memaknakan Dakwah maka kita sendiri akan merasai kemanisan dalam perjuangan ini, walaupun zaman Nabi SAW tiada Al-quran yang di bukukan sekalipun, tapi Nabi telah mendidik para sahabat r.a mengamalkan agama sehingga mereka semua menjadi ‘Al-quran yang bergerak.’ Inilah yang dinamakan penghayatan. Nabi telah mengajarkan sahabat berdakwah dengan cara yang betul dan menyampaikan pesanan berqudwah sebagai Da’ie, memahami orang lain baru kita boleh berikan yang terbaik. Semua sahabat berdakwah dengan bergerak jumpa manusia dari pintu ke pintu, lorong ke lorong, kabilah ke kabilah, dan sahabat telah bawa sifat yang sempurna dalam diri sehingga mereka menjadi asbab hidayah dan rahmat ke seluruh alam. Kemudian jika ada orang baru masuk Islam maka Nabi SAW akan menghantar mereka belajar agama di rumah para sahabat Nabi SAW, kerana di rumah sahabat Nabi ada suasana dakwah dan akhlak, bila orang baru di bawa di kedai dan pasar orang Islam pun ada suasana dakwah dan akhlak, yang mana akhirnya membawa kesan kepada dunia dan berbondong-bondong manusia masuk agama islam kerana semua sahabat adalah PENDAKWAH yang sebenar dan mereka memahami kerja buat mereka sebaiknya serta penghayatan dan pengorbanan mereka yang tinggi kepada agama yang mereka kasihi.

Kita juga tahu bahawa kubur sahabat r.a telah bertebaran serata alam, hanya ada 10 ribu lebih kurang kubur sahabat di sekitar Madinah dan Mekah, lagi seratus dua puluh ribu lagi kubur sahabat adalah di luar Madinah dan Mekah, bagaimanakah cara sahabat berdakwah yang mana ribu-ribu orang masuk islam? Kerana mereka bergerak dan tidak duduk semata. Tapi jika hari ini kita mengaku kita berdakwah, sedangkan ribu-ribu orang sedang murtad dan muncul ahli bidaah dan pendusta agama dan orang kafir sikit pun tak takut dan gerun membaca email, SMS, lirik lagu ,blog, komik, majalah, kain rentang, sepanduk, akhbar dan sebagainya. Tidak salah menggunakan media dan prasarana teknologi tapi jiwai dakwah kerana ia memerlukan banyaknya pengorbanan. Dahulunya, usaha sahabat sangat makbul dan diperkenankan, kerana dalam usaha dakwah mereka dua benda telah mengalir dengan banyaknya, iaitu darah dan air mata. Kata al Banna, kebahagiaan itu hanya akan dirasai sekiranya kita meletakkan diri dalam kepapaan, kesengsaraan dan merasai penderitaan.

Sebagai, saya selitkan satu kisah dalam sirah Rasul teragung. Sebelum kewafatan Rasulullah SAW, Baginda dalam keadaan sakit-sakit sekalipun telah menghantar satu jemaah Dakwah dan Jihad yang di ketuai oleh Usamah r.a yang masih muda belia, dan bilangan mereka adalah seramai 30 ribu orang termasuk 1 ribu penunggang kuda. Walaupun Nabi SAW sedang sakit, tapi Nabi sendiri telah menghantar jemaah Usamah RA ini keluar ke jalan Allah. Walaubagaimanapun, apabila Rasullulah SAW wafat., maka Jemaah Usamah yang sedang bertolak ini telah kembali pulang ke Madinah, ingin menziarahi jenazah Nabi SAW, dan pada ketika itu seluruh dunia islam di selubungi kedukaan dan kesedihan. Sahabat menjadi bingung dan hilang arah kerana tidak dapat menerima hakikat tentang berita kematian Nabi Muhammad SAW.

Sehinggakan saidina Umar Al-Khattab sanggup menghunus pedang dan ingin memancung kepala orang yang percaya Nabi SAW telah wafat. Lalu datanglah Abu Bakar As-Siddiq menegur perbuatan Umar lalu bagi tazkirah sebagai peringatan sambil mengcekak janggut saidina Umar.

“Sekiranya kamu beriman dengan Muhammad SAW sesungguhnya Muhammad telah mati dan sekiranya kamu beriman dengan Allah SWT ingatlah bahawa Allah tidak pernah mati.”

Pada waktu itu, dalam keadaan bingung dan keliru, terdapat pula perbalahan di antara puak Ansar dan Puak muhajirin kerana masing masing berebut jawatan ingin menjadi pemimpin. Orang Muhajirin mengatakan bahawa mereka lebih berhak menjadi pemimpin kerana mereka adalah golongan terawal masuk Islam dan sekampung dengan Nabi Muhamad SAW. Tetapi orang Ansar pula mengatakan bahawa madinah itu bumi mereka dan merekalah yang patut jadi pemimpin.

Maka keadaan menjadi semakin tegang. Dan dalam keadaan itu di kalangan sahabat r.a, tumpuan dan fikiran ke atas UMAT dan pergerakan jemaah dakwah telah berhenti, di tambah pula orang muhajirin dan ansar bergaduh kerana masing masing ingin melantik pemimpin di kalangan mereka. Pada waktu itu Jemaah yang dipimpin oleh USAMAH r.a tidak bergerak sementara (tangguh) dan para sahabat sibuk dengan urusan MELANTIK PEMIMPIN, berbagai nama calon di kemukakan, mereka hampir berperang sesama sendiri! Lalu, dalam keadaan mereka sibuk berfikir akan siapakah yang akan jadi PEMIMPIN orang islam?, pengganti Nabi Muhammad SAW?, datanglah Abu Bakar dan saidina Umar meredakan suasana

Namun bukan isu itu yang ingin saya ceritakan, yang saya kongsikan adalah pada waktu itu KERJA DAKWAH sedang berhenti sementara, orang Islam sibuk lantik pemimpin, dan Jemaah pimpinan Usamah r.a tertangguh dahulu maka pada waktu yang sama, tiga perkara besar telah berlaku, iaitu:-

Telah ramai orang islam yang murtad, kemunafikkan telah zahir di Madinah, kabilah Arab banyak yang murtad, termasuklah orang Ajam. Muncul pembaharuan dalam Agama, ada yang bersolat tapi tidak mahu bayar zakat dan yang paling dahsyat muncul Nabi palsu ciptaan Musailamatul Kazzab. Allah SWT mencabut kehebatan Islam sehingga tentera ROM mulai bergerak untuk menyerang Madinah. Ditunjukkan 3 perkara ini berlaku sebelum jasad nabi di kebumikan lagi! 3 perkara ini menimpa orang Islam bukan selepas 100 tahun orang islam tinggalkan dakwah, bukan selepas 10 tahun, tapi sekelip mata! Sehingga akhirnya semua umat Islam telah melantik saidina Abu Bakar r.a sebagai KHALIFAH Islam dan membaiahnya, dan atas kebijaksanaan beliau bagaimanakah Saidina Abu Bakar r.a mengatasi masalah ini.

Pertama sekali yang di buat oleh Saidina Abu Bakar r.a selepas menjadi Khalifah adalah :-

Gerombolan jemaah usamah r.a yang telah di hantar oleh Nabi SAW tapi tertangguh hendaklah di keluarkan ke destinasi yang telah di tetapkan! Maknanya, seramai 30 ribu orang Islam telah di kerah dan keluar untuk berjihad. Walaupun pada mulanya saidina Umar r.a dan kebanyakan sahabat lain tidak setuju kerana mahu Jemaah yang ramai ini di gunakan untuk menentang orang murtad di sekitar arab dan mahu sebahagian lagi jemaah ini menjaga sempadan Madinah daripada serangan Rom dan lain lain. Tetapi, apa pula kata Saidina Abu Bakar RA?

“Adakah patut aku menangguh jemaah yang telah dibentuk oleh Rasullullah sendiri? Demi Dia yang memegang nyawaku di dalam genggamanNya, sekiranya binatang-binatang buas datang menyerang madinah lalu mengheret mayat mayat isteri Rasullullah, sekalipun sama sekali tidak aku membatal pemergian jemaah usamah r.a.”

Abu bakar adalah orang yang paling faham Agama, dikalangan sahabat baginda Nabi, beliau adalah antara yang paling fana dan teliti berfikir, maka setelah menghantar tentera Usamah r.a, baki umat Islam yang tinggal telah di keluarkan untuk berjihad ke atas orang murtad dan golongan yang tidak membayar zakat, walaupun pada mulanya sebahagian sahabat risau kerana tiada orang lelaki di Madinah dan bagi cadangan agar orang yang solat tapi tidak membayar zakat di maafkan kerana mereka masih bersolat dan di pujuk mereka yang bersolat tapi tidak bayar zakat menyertai tentera Islam menentang orang murtad. Tapi Abu Bakar RA menjawab?

“Demi Allah, jika di zaman Nabi mereka membayar zakat bersama tali, tapi sekarang mereka membayar zakat tanpa tali, akan ku perang orang itu!" (mafhum maksudnya)

Nota: “tali” itu adalah tali yang mengikat binatang, jika di zaman Nabi mereka membayar zakat binatang bersama tali, maka andaikata mereka ingin membayar zakat binatang tanpa tali di zaman Abu Bakar, pun Abu bakar akan perangi mereka, atapah lagi jika tak bayar zakat terus!, Abu Bakar tidak mahu sedikitpun sunnah Nabi berkurang, dan tak mahu sebarang pembaharuan atau bid’ah muncul dan beliau seorang yang tegas dengan syariat Islam dan perlaksanaannya!

Diringkaskan cerita, tentera Usamah RA telah keluar ke Syam dan telah melewati kabilah-kabilah yang murtad yang ingin menyerang Madinah, lalu timbul kegerunan kepada golongan murtad dan berfikir jika mereka orang Islam telah keluarkan jemaah seramai ini, maka sudah pasti mereka mempunyai bilangan yang lebih ramai di Madinah.

Allah telah mencampakkan kegerunan kepada orang murtad kepada gerombolan Usamah r.a walaupun jemaah ini bukan di keluarkan untuk memerangi orang murtad. Kemudian di jalanan tentera Usamah r.a telah bertembung dengan tentera ROM lalu memerangi dan memusnahkan mereka. Di Madinah pula, Abu Bakar r.a telah menghantar jemaah atau gerombolan yang dipimpin Khalid al-Walid memerangi orang murtad, dan yang enggan membayar zakat, Nabi palsu telah berjaya di bunuh, orang murtad telah kembali Islam dan golongan yang enggang membayar zakat sudah kembali ke pangkal jalan, Dan Abu Bakar faham bahawa orang yang murtad dan tidak membayar zakat ini ada masalah iman lalu dikeluarkan perintah agar mereka semua keluar berjihad di jalan Allah, kemudian melalui jalan-jalan ini, Allah telah mencampakkan kegerunan kepada seluruh musuh Islam di seluruh dunia dan melalui jemaah dakwah dan jihad maka islam terus berkembang dan seterusnya mengusai dunia!

Maka hari ini adakah kita menyaksikan bahawa adakah kita sedang berdakwah?

Baiklah, pada pendapat saya, kepelbagaian dalam melaksanakan metodologi Dakwah tidak mengapa kerana ia boleh memberikan kemajuan pada Agama, pendekatan adalah satu teknik ‘perubatan’ dan kaedah penyembuhan untuk orang yang sakit Imannya, dan ia adalah salah satu cara menarik manusia mendekati Allah SWT. Pelbagai kaedah yang boleh diguna pakai, yang minat menyanyi, minat menulis, minat berpiket, minat bersukan, berkarya, minat membaca, dengar kuliah, masing-masing ada posisi maka gerakkan Dakwah semaksimumnya, yang penting mesti bergerak, turun ke lapangan mengenal mad’u dan kelompok sasaran.

Agenda dakwah yang biasa Nabi SAW perlu kita lazimi, turn bertemu ummah, usah bersifat esklusif malah perlu inklusif, yang berdakwah kena bercakap dengan rendah diri dan orang yang mendengar kena dimuliakan dan dihormati, jalan dakwah ini luas maka perlu diperkasakan, walaupun dia orang kafir sekalipun, maka berqudwahlah kamu sebagai Da’ie. Allah sendiri perintahkan Nabi Musa a.s berlemah lembut bila berdakwah pada Firaun!

Dan semua para Anbiya berdakwah dengan mencari umat dan mengenal pasti kelompok sasarannya. Kerana Tarbiyah yang ditunjukkan oleh Nabi-nabi bersifat mendidik jiwa dan membentuk peribadi, baginda yang memulakan dahulu barulah yang lain mengikutnya, kerana keindahan akhlak baginda adalah natijah cerminan Al-quran yang sempurna.

Sebab itu bila zaman Islam berubah, bila banyak muncul kitab-kitab, dan bila umat ini bagi tumpuan pada Ilmu semata dan mengabaikan dakwah, Ilmu yang ada walau sedikit perlu diamalkan dan dikongsi bersama. Usah biarkan, kita dihambat kembali sepertimana yang pernah berlaku kepada umat Islam suatu ketika dahulu, maka tidak pelik bila kita lihat kerajaan Monggolia bisa menakluk Baghdad dan menjatuhkan kerajaan, Islam di serang dan di jajah, amalan bidaah berleluasa dan beribu ribu orang telah murtad meninggalkan agama. Kerananya berpunca apabila perkara yang hak ditinggalkan, iaitu dakwah Islam yang suci ini.

Dan bagi mereka yang terlalu ghairah belajar agama, menadah dan membuka kitab, membelek mushaf, membuka kelas diskusi, berdebat, berforum dan lain lain, usah biarkan segala Ilmu terbuku di dada, tetapi praktikkan sebaiknya agar ia tidak sekadar retorik dijiwa, pulangkan Islam ini pada yang berhak dan kepada sesiapa yang dahagakannya, jangan biarkan dakwah yang indah ini menjadi HAK yang terus di 'yatim'kan. Tidak salah menggali ilmu, tetapi yang faham perlu dikongsi bersama dan disebarkan. Barulah Islam akan terus berkembang dan dirasai. Pesan buat teman dan adik-adikku di kampus, semarakkan majlis ilmu, rancakkan gelombang dakwah dan hidupkan halaqah usrah semula kerana dibahumu terpikul kerja buat Islam yang dinamakan amanah.

Sebagai renungan bersama, saya nungkilkan pesanan terakhir Saidina Abu Bakar r.a (Khalifah Islam pertama) kepada Saidina Umar Al-Khattab r.a. (Khalifah Islam kedua)

“Wahai Umar, Apa yang aku perkatakan kepadamu dan amalkanlah ia, Sesungguhnya aku berharap akan menghembuskan nafasku yang terakhir pada hariku ini, (hari isnin). Maka sekiranya aku mati, janganlah menunggu ke petang baru menggantikan aku untuk meguruskan hal ehwal orang ramai, Begitu juga jika kematianku terlewat sehingga ke waktu malam, janganlah kamu menunggu hingga hari esok untuk meguruskan hal ehwal orang ramai, Janganlah kematianku ini menyibukkan kamu dari agama dan wasiat Tuhan kamu. Laksanakanlah wasiat Allah dan Rasul-Nya terlebih dahulu. Sesungguhnya engkau telah melihat apa yang telah aku lakukan selepas kewafatan Rasulullah SAW, Musibah dan kewafatannya tidaklah sama dengan musibah kematian yang lain. Dan demi Allah, sekiranya aku melambat-lambatkan perintah Allah dan RasulNya sudah pasti Allah tidak akan menolong kita lalu menghukum kita dan musuh-musuh akan menyerang dan membakar Madinah ini”

Saya berharap moga ia dapat menjadi peringatan bersama, terus menyemarakkan dakwah ini, jika kalian mendapat kebaikan dengan membacanya, itu baik untukmu dan jangan lupa berdoa untukku, semoga kita semua menjadi insan yang di redhai Allah.. (Amin)-Azlan Zainal

0 comments:

Post a Comment



 

different paths

college campus lawn

wires in front of sky

aerial perspective

clouds

clouds over the highway

The Poultney Inn

apartment for rent