Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Ilmu yang bermanfaat.

Petang ini menyebabkan saya berfikir sejenak. Terma yang sering saya bincangkan dengan sahabat baik saya Dzul Khairi (Presiden GAMIS), "kenapa kita kadangala malas membaca, adakah tidak punya masa? sebagai pimpinan kita kena rajin cari ilmu, rajin baca buku, jadi ketua mesti penuhi diri dengan ilmu”. Saya ada tabiat yang tak berapa elok sekarang. Dahulu tidak begini. Sempat sahaja menghabiskan buku, membacanya dan memahami intisarinya dengan baik. Saya ada banyak buku, tapi malangnya sekarang saya terpaksa makan masa agak lama untuk mengkhatamkan sesebuah buku. Tak kisahlah apa-apa jenis buku - baik bertemakan Islam, sains, novel, dan apa-apa sahaja. Ini bukan disebabkan saya beli tapi tak baca, tapi mungkin tiada kesempatan waktu yang baik, kadangkala membaca memerlukan fokus dan sebab lainnya saya beli buku agak banyak, dan kemudian baca buku A sikit, esok baca buku B sikit, lusa baca buku C sikit pula. Dengan kata lain, tabiat saya yang tidak elok ini ialah baca-buku-sana-sikit-sini-sikit.

Jadi, kalau saya ada 10 buah buku, dan satu buku saya ambil masa 1minggu untuk baca, maka saya memerlukan 10 minggu untuk mengkhatam 10 buah buku tersebut. Dahulunya tidak, hanya mengambil masa paling lama 2 hari dan paling cepat hanya beberapa jam sahaja yang penting fokus dan menghayati. Selepas saya menonton video Habib Ali al-Jufri di you tube, saya rasa saya patut tukar tabiat ini dan kembali seperti dahulu. Habib Ali menasihati kita supaya membaca satu buku sampai habis, dan kemudian barulah beralih ke buku yang lain pula. Dan cukuplah sekadar kita membaca sedikit sahaja setiap hari, tetapi istiqamah. Inilah caranya supaya kita betul-betul boleh menghayati ilmu yang kita kutip dari buku yang dibaca.


Mahu Cari Ilmu Banyak Mana?

Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam proses kita mencari ilmu adalah niat kita. Apa niat kita cari ilmu? Saya kadang-kadang berasa takut untuk mencari ilmu. Saya takut kerana apabila saya muhasabah dan koreksi diri saya, saya mendapati bahawa saya tidak mengamalkan segunung ilmu yang telah saya miliki dan pelajari. Ini cukup memalukan!

Saya belajar dan tahu macam-macam. Saya mungkin tahu siapa yang meriwayatkan hadith ini, saya mungkin tahu apa status hadith itu - hasan, sahih, dhaif, maudhu’, marfu', mutawatir dan sebagainya, saya mungkin tahu 101 satu kitab berserta nama pengarangnya, saya mungkin tahu berbagai-bagai jenis hukum fiqh, saya mungkin tahu sehingga perkara yang sekecil-kecilnya dalam perbahasan bab-bab khilaf dan furu dalam agama. And the list is growing...

Kadangkala juga saya serba salah untuk menyampaikan pengisian di surau, masjid dan jemputan majlis ilmu di kampus atau pun program tarbiyah kerana bimbang saya boleh berkata, petah berbicara tapi malangnya saya tidak berupaya berbuat jua. Cuma yang sering saya letakkan dalam diri moga apa yang saya cuba sampaikan akhirnya bisa menjadi peringatan dan koreksi pada diri ini. Saya jua malu pada Allah dan diri sendiri kerana saya kadang-kala alpa untuk mengamalkan ilmu-ilmu yang saya pelajari itu. Antara contohnya, saya hari-hari keluar masuk tandas, tapi sangat jarang saya membaca doa masuk dan keluar dari tandas, seperti mana yang Rasulullah SAW ajar kepada kita semua. Nabi SAW ajar kita doa ketika pakai baju, tapi boleh dikira dengan jari berapa kali saya amalkan doa tersebut, padahal saya tahu ilmu itu.

Kita Yang Tertipu

Kita selaku golongan yang mencari ilmu ini jangan ingat diri kita ini selamat dari tipu-daya syaitan. Kita cari ilmu banyak-banyak, dan kita sangka diri kita sudah menjadi lebih baik dari semalam.

Ketahuilah bahawa hari ini lebih baik dari semalam hanya boleh berlaku jika ilmu yang kita kutip itu menjadikan kita insan yang lebih bertaqwa kepadanya. Kita belajar ilmu hadith sehingga hafaz semua sanad hadith itu dengan sempurna adalah satu perkara yang sia-sia jika kita tidak beramal dengan isi hadith tersebut.

Saya selitkan di sini petikan tulisan Ucapan Sheikh Maulana Habib Yusuff, Mufti Kanada sewaktu berkesempatan menghadiri ceramahnya suatu ketika dahulu semasa berada di pondok:

"Pada hakikatnya ilmu itu bukan dilihat dari segi siapa yang memilikinya, tetapi ilmu yang membawa kepada takut dan mengagungkan Allah SWT. Tiada bezanya seorang professor Phd di sebuah Universiti yang tinggi ilmunya dengan seorang nelayan atau petani yang jahil jika ilmu itu tidak membawa kepada si pemiliknya merasakan kehebatan Allah swt.

Tidak guna jika seseorang itu habis membaca berpuluh atau beratus buku, hafal hadith-hadith dan ribuan nama perawi, dan ayat-ayat al-Quran dan tahu siapa yang menulis kitab apa, dan banyak ilmu pengetahuan sehingga tahu setiap perkara sekecil-kecilnya, namun tidak beramal dengannya kerana letaknya kekuatan Islam ilmu Islam itu adalah ‘penghayatan’. Sedangkan seorang yang hanya tahu satu hadith sahaja tentang kelebihan solat berjemaah misalnya, terus beramal dengannya. Itu lebih mulia. Tahu kelebihan sedekah lalu terus bersedekah. Ilmu itu jika tidak digunakan ianya tidak berguna. Ilmu itu berguna dan bernilai hanya apabila ianya diamalkan. "Allah tidak melihat luaran kamu, tetapi hati dan amalan kamu". Dia melihat 'cermin hati' itu dan bersihkanlah cermin itu dengan amalan. Hanya cermin yang bersih sahaja yang akan mampu memancarkan kembali cahaya ilahi".

Oleh itu, ini, adakala kita perlukan masa untuk bermuhasabah, ada baiknya jua kalau kita renung-renungkan diri kita. Tanya pada diri kita mengapa aku cari ilmu! Jangan kamu belajar tinggi-tinggi, tapi bila minum air dan makan, jarang-jarang jua baca Bismillah. Dan cari ilmu ini janganlah hanya sebab untuk berdebat atau bermujadalah dengan orang. Kata Nabi SAW, antara cara beribadah yang paling baik adalah biarpun amalan itu sedikit tapi ia akan menjadi lebih mulia sekiranya kita Istiqamah dan ilmu yang bermanfaat itu adalah beramal dengannya.– Azlan Zainal

1 comments:

  1. Mohamad Hilman bin Nordin said...
     

    oh, nampaknya saya pun perlu menukar cara saya membaca buku juga.

Post a Comment