Erti Sebuah Kejayaan Hakiki!
Dia hanya menumpang kasih sementara berkesempatan pada ibunya, seorang tukang sapu manakala bapanya seorang nelayan. Dengan rumah yang boleh dianggap pondok, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal mampu memanipulasikan nikmat ciptaan Tuhan, kepandaian yang ada, mengembeleng keringat, memperoleh serta mencatat keputusan cemerlang 20 A (19 A1 dan satu A2) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan tiga hari lalu.
Hidup serba kekurangan, tanpa suapan kemewahan, tanpa dilimpahi kekayaan wang ringgit, mampu mencernakan kejayaan gemilang dalam sejarah pendidikan di Tanah Melayu, tersohor dengan nama Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, Nik Nur Madihah - Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan, dan keluarganya tinggal di rumah usang ini. Saya menitis air mata melihat gambar ini. Sewaktu kecil dulu, inilah lebih kurang keadaan rumah di mana saya dibesarkan. Cukup daif.
Alhamdulillah, pendidikan telah mengeluarkan saya dari kitaran kemiskinan. Dulu ayah bekerja sebagai penebang tebu, ibu pula setiap hari mengambil upah di sawah. Saya tahu erti kemiskinan - ada hari-hari di mana saya dan adik hanya minum air kosong saja sebelum tidur; tanpa nasi dan lauk. Adakalanya saya berpuasa. Bukan sedikit air mata ibu mengalir sewaktu membesarkan saya . Terima kasih, ayah. Terima kasih, ibu.
Pelajar Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) Kota Bharu Kelantan ini menjadikan ruang tamu yang sempit di rumahnya sebagai tempat inspirasi.titis hujan mengenai atap zink rumahnya sebagai muzik penenang jiwa..alunan angin menghembus sebagai ‘kipas’ tatkala jasad dijamah bahang, belanja sehari RM5, Tambang bas RM4, lebihnya RM1.
“Makan roti saya tiap-tiap hari di sekolah, di rumah dapat makan nasi dengan telur, pun saya telan,” katanya dengan tenang.
Dulu semasa berada di alam remaja persekolahan menengah dan sewaktu bergelar mahasiswa saya sering berdialog mengenai hala tuju sistem pengajian di tanah air, khususnya melahirkan para cendikiawan dari kelompok mahasiswa yang berdaya saing di pasaran antarabangsa, atau lebih menonjol dengan gelaran ‘mahasiswa kelas pertama’. Pasca pembelajaran secara internal yang menjadi teras pada sistem pengajian, lebih tertumpu pada banyak bilangan ‘A’ di dalam setiap lapangan peperiksaan. Apakah kuantiti ‘A’ melambangkan seseorang pelajar atau mahasiswa itu telah betul melepasi piawaian pasaran semasa, atau lebih terkehadapan mengikut kehendak al-Quran dan as-Sunnah? Maka di sana menuntut seseorang itu, berjaya dalam kedua-dua aspek diari hidup, samada pengajian akademik mahupun pembentukkan akhlak yang luhur, memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi. Saya cuba untuk mengajak para pembaca budiman untuk menghayati erti sebuah kejayaan dan agar kita mampu mencari dan mengikut rentak untuk lebih berdaya saing dalam mencari bidang yang bersesuaian dengan potensi kita sejajar dengan kehidupan kita sebagai seorang Muslim.
Kejayaan dan kecemerlangan seseorang insan di setiap lapangan hidup, merupakan manifestasi yang berlanjutan jauh kehadapan, bagi mendepani dan mengimbangi sebuah harga hidup yang penuh dengan ujian dan ranjau. Kejayaan di lapangan peperiksaan, bukannya sebuah ukuran yang bijak untuk menjamin kejayaan yang sama di luar sana, bilamana berada bersama masyarakat dan bersosial seperti kebanyakan manusia biasa, yang penuh dengan ragam dan citra. Mereka yang berjaya melawan arus, dengan mengekalkan rentak sebagai seorang Muslim, walaupun tahu jerih perih bila mendepani portrait kehidupan yang variables. Dulu mungkin kejayaan lebih manis dikecapi kerana manusia belum lagi mengenal, apa itu siaran televisyen, internet, sms, hanphone, dan sebagainya, sebab itu mereka tetap konsisten dalam mengerjakan ibadat, dan meninggalkan perkara yang boleh membawa pada dosa. Tapi, jika bercakap dalam konteks kehidupan realiti manusia sekarang, new millennium, macam-macam ada!
Kejayaan Bermula Pada Asas Keluarga Yang Sempurna
Mungkin ramai sahaja yang beranggapan, kejayaan anak-anak mereka dibangku pengajian, bila bertambahnya pengetahuan, boleh menjawab soalan-soalan yang diberikan guru. Lebih manis bila, berjaya mengekalkan kedudukan nombor tertinggi di dalam kelas. Namun pernahkah kita berfikir tatkala diri telah dimamah usia, di mana hanya menunggu saat ajal dan malaikat menjemput mengadap Ilahi, apakah kejayaan yang telah kita siapkan sebagai bekalan diri, bila berada di alam lain? Jentik hati, dan tanyalah Iman!
“Alhamdulillah ustaz, saya adalah salah seorang hamba yang telah dipilih untuk menerima cahaya dan hidayah Allah Taala. Saya hanya mula istiqamah menggunakan tudung semasa tingkatan satu lagi”
“Alhamdulillah ustaz, Allah Taala telah bukakan hati mak cik untuk belajar agama dan mengenal Alif, Ba’, Ta’ di usia seperti ini, tapi saya masih bersyukur kerana Allah masih membuka pintu hati ini”
Namun, dengan bertambahnya usia, apabila kita bukan lagi seorang individu, kejayaan pengetahuan dan amal menjadi kecil tidak bererti. Jika selama masa yang lalu, kita adalah individu yang mengukur kejayaan pada apa yang dicapai oleh peribadi, kini ukuran itu sudah tidak bermakna. Hanya mereka yang mampu menempatkan diri bersama golongan yang berjaya berada sebaris mukmin lain, di bawah Arasy Rabbul Izzati.
Erti kejayaan bagi seseorang adalah subjektif. Terpulang kepada individu. Tetapi bagi muslim erti kejayaan adalah bebas dari api neraka. Hidup ini hambar tanpa Iman. kejayaan sebenar ialah apabila kita berjaya dan berjaya bawa orang lain turut berjaya sama-sama, berjaya ke syurga dan hidup dibawah lembayung redha Allah SWT. Mampukah ke syurga kalau ahli keluarga jadi ahli neraka? Pertanyaan untuk anda dan diri saya. Betul kata anda, hidup ini adalah kelas persekolahan jangan mengaku kalah atas kegagalan, kerana bukan manusia jika seseorang itu tidak menemui kegagalan demi kejayaan. Tapi apakah ianya disulami sebuah kejayaan rohani? Lagi soalan untuk anda dan diri saya.
Kejayaan Ibu bapa, boleh dilihat dan dirasakan, bila berjaya menanamkan sesuatu yang penting pada diri anak-anak mereka dengan kaedah yang sesuai dengan tahap penerimaan dan pemikiran, yang mungkin memerlukan kreativiti dan kesabaran yang amat tinggi. Anak-anak tidak pernah gagal meniru sikap berbanding mendengar cakap. Hebatnya cara Allah Taala mendidik manusia. Kadang-kadang terfikir, anak-anak lebih banyak berperanan mendidik ibu bapa berbanding sebaliknya. Tidak mengapa, asalkan masing-masing antara anak dan ibu bapa dapat mengembleng tenaga sepersis perintah Allah Taala supaya menjaga diri dan ahli keluarga dari bahana api neraka. Semoga lebih ramai ibu bapa yang meluangkan masa untuk mendidik anak-anak mereka sebegini.
“They act as our mirror. We see our weaknesses from their behaviour and we tend to change ourselves to become a better person”
Namun, hakikatnya segala-galanya adalah ujian yang didatangkan oleh Allah Taala kepada sekalian hamba-Nya. Sejauh mana kita mentafsirnya dan sejauh mana kita menerima segala yang tersurat dan tersirat hasil daripada segala ujian tersebut, itulah yang bakal menjadi tuntutan di hari akhirat nanti. Bertemu janji Allah Taala itu benar, namun sejauh manakah kita membenarkannya dengan sekalung kejayaan tadi, lalu diterjemahkan ke dalam kehidupan kita, itulah yang menjadi dasarnya. Fikirkan!
Amat gerun sekali, bila mana di hari kiamat nanti, usahkan saudara mara atau sahabat handai, hatta ibu dan anak sendiripun akan bimbang memikirkan hal dan urusan masing-masing di hari perhitungan itu. Semoga menjadi pesanan buat diri saya dan para pembaca budiman. Semoga kita bersedia untuk meluangkan sedikit ruang waktu bersendirian bersama-Nya, di seketika malam. Sekali kita ingat akan Allah Taala, nescaya Allah Taala berkali-kali ingat akan kita. Diri yang selalu berbuat dosa, namun rahmat dan kasih sayang Allah Taala yang selalu kita harapkan. Justeru itu, marilah kita kembali bermuhasabah selalu. Sejauh manakah, agama mewarnai kehidupan kita. Sesungguhnya keredhaan Allah Taala itu lagi manis dari syurga-Nya. Inilah kejayaan pada manisnya Iman.
Allah Taala berfirman;“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” Ibrahim (14:41)
Mendepani Sebuah Kejayaan Yang Pasti
Betapa dahsyatnya suasana pada hari ini, yang penuh dengan ranjau dan duri. Maka ketakwaan kepada Allah Taala sahaja yang dapat yang dapat menyelamatkan kita dengan izin Allah Taala. Sesuatu yang sangat dirisaukan sangat adalah pembangunan modal insan generasi yang mendatang, tentang apa yang mereka selalu didedahkan terhadap keadaan (waqie’) semasa, dunia moden. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dan kumpulan-kumpulan dakwah, iaitu diri anda harus bergerak dengan lebih pantas lagi, lebih pantas dari arus perdana agar tapi hati-hati jangan sampai kita pula yang di bawa arus dan hanyut dengannya. Tidak boleh tidak, kita harus bekerja untuk dakwah. Tidak dapat tidak, ayuh semua ke arah pengislahan dan perubahan!
Dalam dunia politik tidak usah kita perkatakan lagi, terang lagi bersuluh, apakah ini orang yang dambakan sebuah kejayaan. Yang baik tidak dinafikanlah, namun ramai yang menjadi pencacai daripada pejuang. Politik negara semakin celaru, keliru, haru-biru, cacamarba dan meresahkan. Anda sendiri dapat menyaksikannya. Bukan nak mengata, tapi ingin mencetus ingat bukan semua manusia dalam arena politik baik, dan bisa membawa rakyat di bawahnya mengikut apa yang telah diajar oleh Allah Taala dan Nabi saw. Sehinggakan sampai juga ke telinga saya cakap-cakap orang kampung;
“Ustaz, kenapa semakin ramai yang berbaris panjang membeli tiket percuma masuk Neraka!”
Agaknya anda pun boleh meneka, apa yang ingin disampaikan oleh mereka di sebalik uslub ayat di atas. Anda kena ingat, hidup kira hari ke hari bukan semata-mata untuk hidup, tapi dunia ini merupakan sekolah yang mana di dalamnya sarat dengan ujian atau lapangan peperiksaan yang harus ditempuhi, tidak perlu bayar yuran peperiksaan, Cuma cukup mendudukinya sahaja. Tapi slip keputusan peperiksaan tersebut adalah cukup penting. Bagi mereka yang berjaya pasti akan menerima tawaran yang pasti dapat, iaitu melanjutkan perjalanan mereka ke menara gading yang penuh dengan rahmat dan nikmat, anda tahu apa? Iaitu Syurga. Di dalam risalah Usrah dan Dakwah oleh as-Syahid al Imam Hassan al Banna, beliau ada menyebut:
“Kita mempunyai banyak kewajipan daripada masa yang kita ada.” Betapa tuntas benarnya kata-kata ini dan marilah kita doakan semoga Allah Taala mempermudahkan segala urusan perjuangan kita semua di Sekolah Kehidupan ini, ameen Ya Rabb!
Baik, dari sudut lain pula. Kalau kita bicara tentang dunia, aduhai pandai sekali. Tapi kalau bicara tentang agama, mereka jadi alergi. Terlalu banyak bentuk fitnah yang berlaku di dalam Islam, sehinggakan arus perdana Muslim mendefinisikan semula Islam berasaskan sesuatu yang lebih cabang (Furu’) dari yang lebih asas (Usul), itu pandangan yang kolot dan perlu dibetulkan. Kalaulah perkara usul yang menjadi keutamaan Muslim sudah tentu, situasi menang-menang akan bersama Ummah. Malangnya lebih ramai yang suka berdendang dengan irama bukan RAP dan seumpamanya, keranan ransangan akal bukan perasaan. Isu bukan hanya merujuk kembali kepada al Quran, kerana semuanya fasih dengan apa yang tersurat, tetapi yang tersirat memerlukan pemahaman yang mendalam pada apa yang tidak tertulis secara berhuruf. Renungkan!
Alasan mudah, cuba kita ingat balik sejarah silang agung karya Islam, bagaimana orang dulu betul-betul memperjuangkan Islam dan mengangkat Islam se ’gah’ namanya. Antaranya pada ketika Sultan Muhammad al-Fateh ingin menawan Constantinople, tentera-tentera kurang bersugi. Maka, baginda mengerahkan mereka bersugi. Tentera salib meneropong mereka dan melihat orang-orang Islam ini, kayu pun mereka makan setelah melihat tentera-tentera Islam memasukkan kayu sugi ke dalam mulut. Ini telah menimbulkan gerun di dalam hati mereka kepada tentera-tentera Islam. Kita bagaimana pula?
Saya ingin menyentuh sedikit lagi, tentang bagaimana pula kejayaan dari sudut perkahwinan dan pembentukkan keluarga. Perkahwinan pada saya antara cara bagaimana melatih lelaki untuk jadi pemimpin (apa saja jenis pemimpin), manakala isteri pula sebagai pembantu dan anak-anak yang taat soleh dan patuh perintah Allah Taala, Rasul, dan ibu bapa merupakan kejayaan sesebuah keluarga itu terutama kejayaan daripada kebijakan sang bapa berperanan sebagai pemimpin, dan sebetulnya memang patut ibu bapa fikirkan perihal ini terlebih dahulu iaitu bagaimana mahu mendidik anak yang soleh, sebelum berkira untuk melihat kejayaan sesebuah keluarga.
Sebagai contoh lain kepada si isteri pula (maaflah) tidak perlu nak persoal dengan siapa suami nak kahwin lagi, anak dara atau janda sekiranya kita memahami, tapi tugas anda ketika itu supaya ingatkan suami itu, awak tak takut ke dengan tanggungan semua ni, tambah dengan azab api neraka lagi. Kalau dia ikhlas biarkan la sekalipun dengan anak dara. Tapi yang menjadi masalah dan malangnya banyak suami hari ini bukan sahaja gagal nak tarbiyah anak dan isteri, diri sendiri pun tak lepas. Solat pun masih tunggang langgang. Aduhai!
Kejayaan suami berpoligami tu pula bukan setakat nak diukur dengan mewah anak-anak dan para isteri. Tetapi adakah para isteri yang bermadu itu dapat ditarbiyah oleh suami untuk sabar, redha dan dapat menerima isteri suaminya yang lain. Kita patut hormat suami begini yang mampu mentadbir rumah tangga sebegini harmoni. Kita perlu lihat, dari sudut yang betul walaupun anda mengatakan Nabi pun kahwin ramai. Rasulullah saw berpoligami bukan untuk menunjukkan bahawa lelaki bukan sahaja boleh kahwin lebih atau apa, tapi yang Rasulullah saw nak tunjukkan bahawa pemimpin yang berjaya, adalah mereka yang berjaya mentadbir kerajaan rumahtangga terlebih dahulu dengan penuh kebijaksanaan sekaligus dapat meraih suasana yang harmoni. Malu la bagi kita yang nak jadi pemimpin, tapi anak isteri pun masih tidak mampu nak ditarbiyah, solat jemaah pun kadang-kadang celup, apatah lagi nak tambah bilangan isteri. Aduh kena lagi!
Kadang-kadang terfikir, dan takut juga mengenangkan masa depan yang pasti akan datang. Adakah lebih baik keadaannya? Selama hidup 23 tahun pun saya boleh soroti perbezaan hidup ‘zaman dulu’, sewaktu saya kecil-kecil dahulu dan ‘zaman sekarang’. Sungguh dahsyat. Semakin banyak yang tidak boleh dibezakan. Teknologi meningkat, fitnah semakin banyak dan cepat pula merebaknya. Apabila umur makin lanjut dan pertanggungjawaban makin banyak, semua ini akan terasa.
Kejayaan dalam dakwah ialah apabila kita mampu membentuk jiwa, diri dan kemudiannya mampu membentuk orang-orang yang terdekat menjadi hamba Allah yang bertakwa. Itulah contoh dakwah para Nabi yang sentiasa menjadikan kaumnya orang yang mula-mula menerima seruannya. Namun ianya tidak semudah seperti yang disangkakan.
Kejayaan manusia adalah dalam agama sejauh mana manusia dapat mentaati perintah Allah Taala dengan cara hidup Nabi Muhammad saw yang penuh simple, mantap dan padat. Jika manusia berterusan konsisten dalam mentaati perintah Allah Taala, dan ikut cara hidup Nabi saw selagi itulah Allah Taala akan terus beri kejayaan dalam semua hal, semua bidang insyaAllah. Macam mana nak istiqamah?
Nabi pernah bersabda; “Perbaikilah Iman kamu dengan memperbanyakkan ucapan lailahaillallah (tahlil)”- Azlan Zainal
saya guna gambar dari laman web abg alan untuk dimasukkan ke dalam blog-blog kendalian saya berkenaan dengan cerita adik Nik Nur Madihah
Saya ada seorang kenalan yang mempunyai aset perniagaan melebihi 40 juta. Nasihat dia ialah "DO or die" dan belajarlah dari kesusahan.