Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Maulid Nabi SAW

Maulid Nabi, Birthday Nabi, dan juga Maulidur Rasul membawa erti yang sama sahaja. Tulisan ringkas saya kali ini sekadar ingin membantu menjernihkan fikiran sesiapa sahaja yang sudah terkeliru dengan dakwaan "Menyambut Maulidur Rasul adalah satu bid'ah". Penuduhan di sini sudah tentulah merujuk kepada bid'ah yang sesat atau pun dipanggil sebagai bid'ah dhalalah.

Saudara seIslamku, berhati-hatilah dalam menjatuhkan hukum bid'ah pada sesuatu perkara. Bila anda mengatakan bahawa saudara seIslam telah melakukan bid'ah, maka ketahuilah bahawa anda sebenarnya telah mengatakan bahawa saudara kita itu akan dimakan oleh api Neraka. Jangan main-main saudara! Nabi saw pun tak mahu lihat umatnya dijilat api Neraka.

Oleh kerana saya masih tidak menyentuh isu bid'ah secara spesifik, maka saya tidak ingin lagi mengulas panjang tentangnya. Saya ingin membawa pendapat Dr Yusuf al-Qardawi tentang sambutan Maulid Nabi. Kata beliau:

"Actually, celebrating the Prophet's birthday means celebrating the birth of Islam.......We need all these lessons and such celebrations are a revival of these lessons and values. I think that these celebrations, if done in the proper way, will serve a great purpose, getting Muslims closer to the teachings of Islam and to the Prophet's Sunnah and life". [1]

Dan ini pula pendapat Ibnu Taimiyyah berkenaan Maulid Nabi seperti mana yang ditulis dalam kitabnya bertajuk Iqtida' Al Sirat Al Mustaqeem (halaman 266):

"Likewise, what some people have innovated, in competition with the Christians in celebrating the birth of Jesus, or out of love and veneration of the Prophet, that the predecessors didn't do, even though there is a reason for it, and there is nothing against it."[2]

Jadi Boleh Sambut atau Tidak?
Sudah tentulah boleh. Walau pun ada pihak terutamanya yang berfahaman Wahhabi, yang mengatakan ia adalah bida'ah yang sesat, pandangan tersebut sebenarnya bukanlah datang dari pandangan ahlus sunnah wal Jamaah.

Pemahaman Wahhabi tentang konsep bid'ah dalam Islam sebenarnya sangat sempit dan berlawanan dari apa yang telah disepakati oleh para ulama kita. Sebab itulah mereka ini pernah mengatakan bahawa menutupi bahagian dinding Raudhah di Masjid Nabawi dengan kain adalah satu perkara bid'ah. Maka mereka menghalang penggantian kain baru bagi menggantikan kain lama yang sudah sampai tahap koyak-rabak [3]. Pemahaman konsep bid'ah seperti ini adalah tersangat ekstrim. Maka anda tidak perlu hairan kalau mengetahui ada rakyat Arab Saudi yang menganggap tali pinggang keledar sebagai satu bid'ah. [4]


Pandangan Peribadi Saya
Saya tahu bahawa kadang-kala ada perkara yang lagha dan haram yang diselitkan dalam sambutan Maulidur Rasul. Dan ini sudah tentulah berlawanan dengan sunnah. Akan tetapi, menyalahkan sambutan Maulid Nabi hanya kerana wujud perkara lagha dan haram di dalamnya, adalah satu perkara yang tidak adil.

Kalau dalam majlis sambutan Maulidur Rasul ada dijemput wanita untuk menyanyi, kamu janganlah nak tuduh sambutan itu salah dan sesat. Sebaliknya, pihak penganjurlah yang kita kena persalahkan. Kita sebenarnya kena beri pendidikan Islam sepanjang hayat kepada golongan manusia seperti pihak penganjur sambutan tersebut yang masing kurang ilmunya, hatta pada perkara-perkara yang asas dan simple.

Sebagai contoh lain, kalau dalam kenduri kahwin ada acara karaoke dan joget lambak sampai subuh, kita nak salahkan yang mana? Kenduri atau joget lambak? Kita umat Islam mestilah tahu apa yang prioriti dan apa yang bukan.

Bulan ini bulan baik. Maka marilah kita bersama-sama mengurangkan aktiviti bid'ah ya. Konsep bid'ah ini memang salah satu syariat Islam. Tapi jadilah umat Islam yang bijak dalam menjatuhkan hukum bida'ah yang sesat dalam sesuatu perkara. Ingat pesan saya - bila kamu kata seseorang itu buat bida'ah, maka kamu dah halalkan api Neraka untuknya. Berhati-hati.- Azlan Zainal

Nota Kaki:

[1] Sila rujuk Mufti Islam Online Fatwa Committee, Date 19/Apr/2001, Fatwa ID: 34150. URL asal bagi fatwa tersebut pada ialah: http://islamonline.net/fatwa/english/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=34150

[2] Untuk membaca lebih banyak pendapat-pendapat ulama terbilang yang menyokong Maulid Nabi, sila rujuk artikel Fatawa of the Rightly Guided Imams on Mawlid yang diambil dari majalah The Muslim Magazine. Perhatikan juga bahawa pada petikan kata-kata Ibnu Taimiyyah dalam bahasa Inggeris tersebut, istilah 'innovated' digunakan. 'Innovated' berasal dari perkataan 'innovate', iaitu mengadakan sesuatu yang baru - atau pun dalam bahasa Arab disebut bida'ah. Maka dalam hal ini, jelaslah bahawa Ibnu Taimiyyah juga tidak menganggap Maulid Nabi sebagai bida'ah dhalalah.

[3] Rujuk kitab Tarikh al-Madhahib al-Islamiyya oleh Almarhum Imam Muhammad Abu Zahra. Beliau merupakan bekas Sheikhul Azhar dan juga pakar dalam bidang 'usul. Ringkasan isi penting berkaitan Wahhabbi dalam kitab tersebut telah dilakukan oleh Sheikh Gibril F Haddad.

[4] Berhati-hati dengan laman web Muslim WakeUp kerana laman ini sebenarnya mempromosikan Islam Liberal. Amina Wadud yang menjadi imam wanita dalam solat Jumaat dan sekaligus menjadi contoh terbaik kalau nak menunjukkan bid'ah dhalalah, mendapat publisiti yang 'sangat baik' di laman Muslim WakeUp. Saya memetik artikel dari laman tersebut, iaitu, The Seatbelt as Bid'ah (Religious Innovation) and the Destruction of Muslim History kerana melihat tiada sebarang unsur promosi Islam Liberal di dalamnya.

Artikel Tambahan: 1

Sebagaimana yang kita semua tahu bahawa amalan perayaan memperingati seseorang pemimpin itu sudah menjadi budaya amalan umat manusia di seluruh dunia malah diakui ia suatu perbuatan yang baik dan banyak kebaikannya daripada keburukan. Sebab itu tidak ada sesiapa yang boleh menolaknya, sekalipun amalan itu bidaah (tidak ada pada masa Nabi menurut sesetengah pendapat.) Tetapi mengikut kata kebanyakan ulama, ia adalah bidaah hasanah dan diberi pahala ganjaran mengikut keikhlasan dan kecintaan masing-masing kepada pemimpin mereka itu. Apa lagi pemimpin agung kita Nabi Muhammad sudah tentu lebih utama lagi, cuma bagi mereka yang tidak tahu mengenang jasa saja yang tidak mahu menyertai sambutan ini.

Sebab itu umat Islam seharusnya mengambil bahagian dan berperanan sama merayakan hari itu bukan sekadar membesar kelahiran junjungan agung Nabi kita tetapi menyambut kehadiran pengurniaan Allah dan rahmat-Nya ke seluruh alam semesta ini. Sebagaimana kita semua tahu bahawa baginda adalah penyelamat alam maya seluruhnya.

Perayaan ini ada asas dan dalilnya berdasarkan satu peristiwa sejarah yang diriwayat oleh Bukhari dalam sahihnya iaitu, bila Nabi berhijrah ke Madinah, baginda melihat orang Yahudi sedang berpuasa pada 10 Muharam. Bila ditanya mengapa; jawab mereka; “Kami berpuasa ini kerana menyambut dan merayakan hari kemenangan Musa dari serangan dan kepungan Firaun.”

Sabda Nabi, kalau begitu aku lebih berhak dengan Musa dari kamu semua. Kata Nabi lagi, aku juga mahu berpuasa pada hari itu dan kalau diberi kesempatan aku akan berpuasa bukan satu hari tetapi dua hari iaitu hari ke-10 Muharam asyura dan tasuaa iaitu 9 Muharam. Jadi daripada hadis ini semua ulama mengatakan sunat berpuasa pada dua hari tersebut, tetapi sebahagian daripada mereka mengambil daripadanya banyak hukum lain dan pengajaran yang berguna yang tidak disedari olah mereka tadi, bukan sunat berpuasa sahaja tetapi perayaan itu sendiri adalah sunat dan digalakkan.

Sebab itu para sahabat semasa ketibaan baginda ke Madinah mengadakan pesta dan sambutan dengan cara masing-masing. Malah ada yang bernasyid seperti melafazkan talaa al badru alaina hingga akhir dan ada yang memanjat pokok tamar dan ada yang menaiki atas bumbung rumah dan ada pula yang memukul tabuh dan keluar ke padang meninjau dan ingin menyambut kedatangan Rasulullah. Begitu juga pengajaran dan hukum mengambil apa yang baik dan berguna untuk kebaikan kita daripada orang bukan Islam. Berhubung hal ini, Baginda ada bersabda yang bermaksud: Hikmah suatu kebaikan itu merupakan barang kepunyaan orang mukmin yang hilang dan bila dijumpainya pasti diambilnya.

Nabi sendiri tidak pernah melarang perbuatan itu dan mengapa pula ada yang cuba melarang. Sedangkan kita tahu bila sesuatu amalan itu dikatakan sunat atau khilafiah, maka logiknya siapa yang mengamalkannya akan mendapat pahala sedangkan orang yang tidak mahu (tidak dapat pahala) dan terpulang kepada individu itu sendiri. Inilah pendirian dan etika ahlussunah yang diamalkan di rantau ini.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menurunkan beberapa dalil yang boleh difikirkan bersama iaitu pertama firman Allah yang bermaksud: Adapun dengan nikmat tuhanmu maka cerita dan sebarkan. (adhuhaa: 11). Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad dengan limpah kurnia Allah itu maka dengan yang demikian itu hendaklah mereka bergembira. (berpesta dan beraya), (Suruh Yunus: 58). Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: Tidak Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam maya ini. (al-Ambiya: 107).

Kalau Nabi itu sebagai rahmat kurniaan Allah, maka salahkah kita merayakan dan menyambut kedatangannya? Pastilah bagi mereka yang tahu mengenang budi tuhannya akan mensyukurinya dengan melakukan bermacam cara dan ibadah seperti yang diamalkan dalam masyarakat kita hari ini.

Antara ibadah yang dilakukan seperti berselawat, tilawah al-Quran, perarakan, syarahan agama, berzanji, memberi makan fakir miskin, yang semuanya ada asas daripada agama. Adapun bidaah dhalalah itu ialah perkara yang tidak ada asasnya dari agama, tetapi amalan yang dilakukan ini banyak kebaikan dan hikmatnya yang perlu dihormati oleh kita semua. Wallahualam.

Artikel Tambahan: 2
PENULIS ialah Penolong Pengarah Yadim. E-mel: shaukimajid@yahoo.com.

DALAM merayakan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan suatu detik yang bersejarah dalam peradaban umat manusia, para fukaha ahli sunnah mengkategorikan tradisi perayaan Maulidur Rasul ini sebagai bidaah hasanah. Demikian juga praktik perayaan Maulidur Rasul di negara kita telah menjadi tradisi yang mengakar dan dihormati serta mendapat dukungan daripada para ulama dan cendekiawan Muslim setempat.

Demikian juga perayaan Maulidur Rasul di negara Islam lain tidak kurang hebatnya. Di Mesir, utara Iraq, Turki, Afrika Utara, China, Iran, dan Maghribi perayaan Maulidur Rasul disambut dengan meriah dan diisi dengan khutbah dan pembacaan syair-syair tentang kemuliaan Rasulullah. Perayaan ini disambut bagi mengingatkan peri pentingnya menjaga semangat keislaman dan kecintaan pada Nabi agar dapat terpelihara dan kukuh dalam sanubari umat Islam di bawah tekanan modenisasi dan propaganda sekularisme.

Penulis teringat kisah pada akhir tahun 1920-an, tuan guru Haji Abdul Rahman Selehor (datuk penulis), iaitu tokoh ulama dari Tumpat Kelantan, pernah dikritik hebat oleh akhbar-akhbar perdana pada waktu itu kerana mempelopori perayaan Maulidur Rasul secara besar-besaran. Hal demikian itu, kerana bagi sesetengah pihak perbuatan ini satu bidaah dan sesat. Kononnya, ia dianggap satu perkara yang tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Sebenarnya perayaan Maulidur Rasul adalah hal yang amat digalakkan sebagai wadah bagi melahirkan kecintaan kepada baginda Nabi Muhammad. Mengapa kita wajib mencintai Rasulullah? Kerana baginda sememangnya wajar untuk dicintai. Hal ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firmannya yang bermaksud:

Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itu teman yang sebaik-baiknya – (surah an-Nisa’: ayat 69).

Kita tidak mempertuhankan baginda. Kita hanya mengatakan bahawa baginda seorang hamba Allah dan Rasul-Nya. Kewajipan umat baginda hanyalah mengarahkan perhatian kepada baginda dan mengikutinya dengan sebaik-baiknya. Nabi Muhammad adalah seorang pemimpin dan kepimpinannya itu hanyalah bagi orang yang menginginkannya. Baginda adalah pemimpin bagi orang-orang yang taat, benar dan ikhlas serta pemimpin bagi para wali (kekasih) Allah.

Baginda pernah bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu seperti orang-orang Nasrani yang menganggap nabi mereka, Nabi Isa putera Mariam sebagai Tuhan atau anak Tuhan. Sesungguhnya aku hanyalah hamba Allah dan Rasul-Nya.

Justeru, mencintai Rasulullah menjadi

suatu keharusan dalam konteks iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim perlu menyimpan rasa cinta kepada Nabinya, seberapa kecil sekalipun. Idealnya, mencintai Rasulullah lebih daripada segala sesuatu yang dia miliki, bahkan dirinya sekalipun. Dan itulah pada hakikatnya iman yang paling sempurna. Sabda Nabi yang bermaksud: Tidak beriman seseorang sehingga aku (Nabi) lebih dia cintai daripada dirinya sendiri.

Meskipun begitu, terdapat juga beberapa mazhab yang menentang adanya perayaan serupa itu. Salah satu mazhab yang menentang perayaan Maulidur Rasul itu adalah kaum Kharaji di Oman. Namun para fukaha besar seperti Ibnu Hajar, al-Nawawi, al-Syaukani serta para ulama ortodoks lainnya dalam karya-karya mereka menegaskan bahawa perlunya perayaan Maulidur Rasul disambut oleh setiap orang Muslim.

Kaum ulama mazhab Sunni (kaum salafi) keturunan mazhab Hambali sentiasa berada pada barisan depan dalam mempromosikan perayaan-perayaan Islam di pelbagai tempat. Contohnya, Ibnu Taimiyah, seorang ulama Syria abad pertengahan, memberi pandangan: “Merayakan dan memberi rasa hormat kepada kelahiran Rasulullah dan memandangnya saat yang bersejarah sebagaimana yang dilakukan saudara Muslim kita adalah suatu perbuatan positif. Di dalam perbuatan itu terkandung ganjaran yang besar di sisi Allah kerana niat tulus dan ikhlas mereka menghormati Nabi Muhammad.”

Dalam tradisi kaum salaf, para salaf al-shalih ini telah menghasilkan karya-karya apresiatif atau berbentuk penghargaan terhadap perayaan Maulidur Rasul yang secara khusus dibicara di hadapan umat Islam pada setiap kali perayaan itu. Salah satu di antaranya ialah karya Ibnu Katsir berjudul Maulidur yang dianggap terbaik di antara karya-karya kaum salaf itu. Karya Ibnu Katsir itu terkenal di kalangan kaum Muslimin di seluruh dunia. Mufasir besar ini memulakan maulidnya dengan mengatakan: “malam kelahiran Nabi agung itu adalah suatu malam yang penuh berkat, penuh kesakralan, kemuliaan, keagungan. Dan malam itu juga merupakan malam yang sinar cahaya dan malam yang tidak ternilai harganya bagi para pengikut setia Muhammad.”

Imam al-Bukhari menyebutkan, daripada Ka’ab bin ‘Ajrah yang berkata bahawa Nabi ditanya: “Ya Rasulullah, salam kepada tuan telah kami ketahui, namun bagaimana dengan selawat?” Rasulullah menjawab, “Katakanlah oleh kamu, ‘Allahumma shalli ‘ala Muhammad wa’ali Muhammad.”

Abu Sa’id al-Khudri berkata, “Ya Rasulullah, ini adalah salam, namun bagaimana kami mengucapkan selawat kepada tuan?” Rasulullah menjawab, “Katakanlah oleh kamu ‘Allahumma shalli ‘ala Muhammad wa‘ali Muhammad.”

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kepadanya, dan berilah salam dengan bersungguh-sungguh – (surah al-Ahzab: 56).

Imam al-Bukhari menyatakan di dalam sahihnya pada bahagian al-Tafsir, bahawa menurut Abu al-‘Aliyah, maksud selawat daripada Allah itu adalah sanjungan Allah terhadap Nabi Muhammad di hadapan para malaikat-Nya. Sedangkan selawat malaikat itu adalah doa.

Dalam komentarnya terhadap tafsir Jalalayn tentang surah al-Ahzab ayat 56 (Allah telah melimpahkan kasih sayang dan meredai nabi-Nya. Para malaikat memanjatkan doa untuknya, maka wahai orang-orang yang beriman, panjatkanlah selawat dan salam kepada Nabi Muhammad). al-‘Arif al-Shawi menyatakan bahawa di dalam ayat tersebut tersirat satu dalil yang amat besar bahawa Rasulullah adalah tempat curahan rahmat dan makhluk yang paling utama secara mutlak. Qadi ‘Iyadh berkata, “Seluruh ulama telah sepakat, bahawa ayat ini menunjukkan pengagungan dan pujian terhadap Nabi yang tidak terdapat pada orang lain selain beliau.”

Banyak riwayat hadis menyebutkan bahawa seluruh makhluk mengucapkan selawat kepada Nabi Muhammad dan keluarga baginda. Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad berhenti di Baitulmaqdis melakukan solat dan berjemaah dengan semua nabi dan rasul. Nabi sebagai imam. Pertemuan tersebut diawali dan diakhiri dengan menyampaikan selawat kepada baginda sebagai tanda penghormatan tertinggi yang diberikan Allah kepada Nabi Muhammad.

Ketika Allah mewajibkan umat manusia untuk mencintai Nabi Muhammad , arahan tersebut jelas bukan satu perintah tanpa tujuan. Namun begitu, tujuan tersebut juga bukan sesuatu yang kepentingannya akan kembali kepada Allah atau Rasul-Nya. Dengan demikian, mencintai Rasulullah adalah satu perintah yang manfaatnya semata-mata untuk kepentingan manusia itu sendiri. Di antara manfaatnya, kita merasakan akan terpaut hati ini kepada peribadi Nabi Muhammad. Apabila kita jujur dalam mencintai Nabi Muhammad, maka akan terbit kerinduan terhadap baginda.

Hal demikian ini, akan membawa kita untuk mengetahui secara mendalam tentang diri baginda yang mencakupi aspek kehidupan peribadi, keluarga, hubungan sesama Muslim dan sebagainya. Justeru itu, apabila kita ingin mengetahui sejarah Nabi Muhammad, hendaklah ia diawali dengan rasa cinta terlebih dahulu. Di sinilah, kita akan mengetahui mengapa Allah mewajibkan mencintai Nabi Muhammad.

Kita memohon kepada Allah agar mengukuhkan keberadaan dan perjalanan hidup kita di jalan Rasulullah, menjadikan kita sebagai pengikut setia baginda, memberi kita kesempatan untuk meneguk air telaga kasihnya dan menghimpunkan kita di bawah panji kemuliaannya.

Justeru, perayaan Maulidur Rasul yang disambut saban tahun adalah di antara tanda kasih sayang dan rasa terima kasih kita terhadap Rasulullah. Selawat dan salam untuk baginda yang menyuluh jalan kita dengan syafaatnya.

0 comments:

Post a Comment



 

different paths

college campus lawn

wires in front of sky

aerial perspective

clouds

clouds over the highway

The Poultney Inn

apartment for rent