Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Apa yang ada di sana? Taklid atau Tajdid?

Bermula dari sebuah harapan, adakah kita masih lagi mengikut atau cuba merubah!

Ayah saya bukan seorang yang mendapat pendidikan tinggi. Dia hanya seorang pesara tentera dan sekarang berkerja sebagai penoreh getah di Felda Palong 15. Di waktu petang adakala ke kedai kopi, seperti kebiasaan lelaki kampung, ke kebun dikala pagi, jika hujan duduk di rumah membantu ibu. Pendidikannya hanya sampai darjah enam di sekolah atap dan mengambil MCE pun secara sendirian. Dan bahan bacaan sangat terbatas. Surat khabar hanya ada di kedai kopi, dia mengayuh basikal singgah membaca sebelum ke sekolah sejauh 6 kilometer di SMK Dato Mohd Taha, Gemencheh. Buku dan majalah hanya ada di Bandar Melaka, 45 km dari kampung kami di Batang Melaka. Hanya ada bas ‘Batang Bus’ yang datang sekitar 2 jam sekali.

Tetapi yang uniknya, dalam keterbatasan yang sungguh sederhana dan bahan bacaan yang terhad lagi terbatas, saya dapati ayah sangat segar dan matang dalam berfikir. Dalam usia yang muda dahulu ayah sering berpesan pada saya, “jangan suka mengikut orang lain, tapi jadilah diri sendiri, kita perlu jadi lebih baik daripada orang lain, maka untuk itu kita perlu berusaha, usah bergantung pada orang lain. Apa yang benar saya ingat ialah, dalam hidup kena berani buat keputusan, kelak nanti engkau tidak akan kecewa dan menyalahkan orang lain”. Sedikit sebanyak saya cuba amati secara mendalam dan agak empirikal bahawa ayah sebenarnya menbawa saya agar berfikir panjang dan jangan suka ‘bertaklid’ dan usah membiasakan diri cuba menjadi jumud, dunia ini perlu diterokai dan belajarlah dari pengalaman kerana bagi saya ibrah (pengalaman) jua adalah satu ilmu.

Saya pernah membaca ceritera tentang tokoh agung pejuang Agama yang masyhur, Burhanuddin al-Helmy dan saya juga meminati Ahmad Boestamam yang pidatonya yang sentiasa berapi-api. Mereka tampak kiri dalam perjuangan namun di sebalik tabir sisi pandang idea mereka amat tuntas kematangannya. Idea yang digagaskan mereka tentang “Melayu Raya” menggabungkan Malaysia-Indonesia dan seluruh Nusantara sedikit sebanyak mendobrak minda agar kembali berjiwa besar. Salah satu dimensi dari perjuangan kemerdekaan adalah Gerakan Islah (reformasi Agama). Bahkan nasionalisme Melayu boleh dikatakan didorong oleh gerakan islah yang dipelopori oleh para tokoh agamawan seperti Sheikh Tahir Jalaluddin. Beliau pula mendapat ilham daripada perjuangan ‘ulama tiga serangkai iaitu Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha. Setiap gerakan pembaharuan pasti menimbulkan konflik iaitu krisis dengan kelompok konservatif. Pernah suatu ketika di Malaya perbenturan tersebut dikenali dengan konflik kaum Tua dan kaum Muda. Masing-masing punya pandangan dan hujah, cuma pengolahan mereka berbeza tapi matlamat sama untuk menyebarkan fikrah dan kesedaran.

Dunia pernah bergolak, dua beradik pernah jua digelar gila kerana berusaha mencipta besi yang bias terbang, manusia pernah berbincang bagaimana mahu mengubah dunia dalam masa 4 minit, hanya lepaskan ‘Little Boy’ di Hiroshima & Nagasaki, nescaya pasti Jepun menyerah kalah. Thomas Edison jua sangat kerap gagal hampir ribuan percubaan mencipta benda yang boleh menyala yang dinamai tungsten di dalam mentol. Kini, siapa sangka, orang kulit hitam jua bisa menggugah dunia, Obama baru sahaja ditabalkan sah sebagai Presiden AS ke-44, punya kredibiliti dan karismatik, semua orang boleh menilai antara baik dan buruk, konklusinya manusia tetap punya akal untuk berfikir. Dunia semakin merentas sempadan, jauh meneroka massa. Hijrah Nabi SAW tidak akan berlaku jika Rasulullah duduk diam tanpa bertindak dan merancang. Hadiah yang dijanjikan kepada Suraqah bin Malik bukan calang-calang taruhan, mahkota Raja Kisra (Parsi) akan diberikan. Begitu idealistiknya manusia, begitu jua dengan Islam, sejak manusia diciptakan, silih berganti memimpin ummah, kita dipasakkan agar membina Daulah dan mendirikan khilafah, tetapi mengapakah kita masih lemah dan berjiwa gundah? Masih berlegar dalam kepompong sempit sifat jumud dan taklid yang membatasi segenap urat saraf Gerakan yang masih tradisionalis, memandang parallel massa dengan sikap paranoid takut dikritik dan takut dilabel salah serta sangat terkedalam dengan beranggapan kita masih kerdil dan sangat kecil. Bersikap tasauf dan sufi di hadapan Tuhan tetapi mesti merasa izzah sebagai sebaik-baik makhluk yang bernama khalifah, kerana pada kita ada amanah. Islam tetap dijamin kemenangan pada akhirnya, kerana janji Allah tetap bersama, tapi adakah kita turut serta menyumbang. Kemenangan telah dikurniakan, telah tiba masa kita kembali berpencak dan menunjukkan kebijaksanaan dengan hikmah.

Mungkinkah satu tranformasi politik dan Gerakan ummah berjaya tanpa daya kreatif dalam pemikiran? Tidak mungkin. Taklid melumpuhkan daya pemikiran tersebut. ‘Ulama perlu dihormati tapi pada masa yang sama tidak bermakna kita perlu menolak ketepi pemikiran kritis yang bersifat pembaharuan (tajdid) dan keperluan kita meneliti dan menimbangkan pandangan-pandangan yang berbeda di kalangan mereka yang kita kira terbaik. Cuma berdoalah agar tiapnya dititipkan hidayah dan panduan oleh yang Esa. Pada masa yang sama Sang Reformis perlu banyak berfikir memerah otaknya dan mencari solusi penyelesaian. Apa yang ada di sana? Taklid atau tajdid? – Azlan Zainal

Pilihanraya Kampus; Iktibar & Pengajaran yang perlu dipelajari!

Pilihanraya Kampus UM; Iktibar yang perlu dipelajari oleh para pendokong & penyokong. Layari:

http://mahasiswakini.com/archives/1169#comments


Pilihanraya kampus UM baru sahaja menutup tirai tabirnya menyaksikan Pro-Mahasiswa kembali menaungi kampus setelah dikurniakan kemenangan setelah 5 tahun kecundang di tangan Pro-Aspirasi. Teriakkan ‘Student Power’, ‘Hidup Mahasiswa’, ‘We Unite For UM’, dan ‘Allahu Akbar’ menggamatkan suasana sepanjang fasa kempen dan menggegarkan DTC setelah Islam dan mahasiswa dinobatkan sebagai pemenang pada PRK kali ini. Terdengar rintihan munajat, esakkan tangisan, untaian mutiara airmata bercucuran tanda meraikan sedikit hadiah yang diberikan Allah SWT selepas pelbagai perit jerih, suka duka, caci maki, ujian dan halangan serta tohmahan walaupun ia hanya sekelumit cuma tapi memadai dengan balasan kemenangan yang diberi.

Pilihanraya kali ini sangat menarik dan penuh kontroversi, isu bertali arus, kebatilan sangat terserlah, kebenaran menunjuk arah. Di mulai dengan pembongkaran kes salah laku penggunaan dan penyelewengan kuasa serta rasuah yang melibatkan TNC HEPA membeli calon dan menaja jentera Pro-Aspirasi berkampung di Pulau Pangkor, kes rumah Pro-Mahasiswa di ambush polis dari IPK KL (sekitar 30 anggota, 3 buah van, 2 buah kereta peronda terlibat dalam operasi) atas tuduhan memalsukan dokumen, isu surau Akademi Islam dikhianati dengan diletakkan BABI dibaluti dengan bendera PAS, tertulis di atasnya ‘PMI’, ‘PRO-M’, ‘PAS’, dan rumah rakan tahalluf UMANY jua turut digeledah Polis kerana dituduh dan disyaki terlibat mencetuskan politik perkauman dalam kes BABI. Dalam paling tragis apabila ada di kalangan ahli PMIUM (Rizal Azizan dan Asri Jani) yang berpaling tadah dan menjadi ‘bughah’ (penderhaka) kepada Islam dan perjuangan, bermuka-muka, bersifat talam dua muka dan menaja perpecahan sampaikan sanggup menjadi pendusta dan menggadaikan maruah bertanding mewakili Aspirasi. Amat dikesali bahawa mereka adalah mantan pimpinan pelajar di Akademi Pengajian Islam UM Nilam Puri, yang masing-masing pernah menjawat jawatan Presiden MPP APIUMNP dan Exco Lajnah Siasah dan Hal Ehwal Semasa (Lashes). Pada pengamatan saya, sikap ingkar pada arahan pimpinan, membelakangkan Jamaah, sangat tergopoh-gapah, melulu dan membabi buta mereka ini menyebabkan ijitihad siasi menjadi racun yang memakan diri, dan akhirnya Islam dikhianati, dan kelakuan mereka tidak ubah sebagai alat yang dipergunakan bagi memastikan kemenangan diperoleh atas nama Islam bagi pihak yang rakus, ibaratkan keldai tunggangan yang dicucuk hidung serta ditarik bagi memastikan bebanan dan matlamat sang Tuan dapat dilunaskan.

Dugaan dalam beragama

“Wahai orang-orang yang beriman, adakah kamu menyangkakan kamu benar-benar beriman walhal kamu belum diuji” (al-Ankabut;2)

Daripada Khabbab bin al-Aratti r.a berkata, “Kami mengadu kepada baginda Rasulullah SAW ketika itu baginda sedang berbaring di bawah lindungan Kaabah. Kemudian kami bertanya, ‘Adakah engkau tidak meminta pertolongan untuk kami? Adakah engkau tidak mendoakan kebaikan untuk kami? Sekiranya Agama yang dibawa olehmu benar wahai Muhammad, nescaya Allah pasti akan memenangkannya.”

Orang sebelum kamu…!

Baginda lantas bersabda, “Orang yang sebelum kamu itu ada yang ditanam hidup-hidup, ada yang digergaji dari atas kepalanya sehingga tubuhnya terbelah dua dan ada pula orang yang disisir dengan sisir besi yang mengenai daging dan tulangnya, tetapi yang demikian tidak menggoyahkan mereka daripada agamanya. Demi Allah, Allah pasti akan mengembangkan agama Islam hingga merata tempat dari Shan’a sampai hadhramaut, dan masing-masing daripada mereka tidak takut melainkan hanya kepada Allah atau takut serigala menyerang kambingnya, tetapi kalian sangat tergesa-gesa. (bukhari; 3612, Ahmad, 5/109)

Pengajaran Perang Tabuk, pelbagai alasan dicipta

Pada pagi waktu Subuh Rasulullah SAW tiba, khabar berita ketibaan Baginda menandakan datanglah kesedihan bagiku. Aku hampir berdusta untuk menceritakan apa yang sebenarnya terjadi kepada diriku kerana aku ingin mengelakkan kemurkaan Nabi SAW. Aku sudah berusaha untuk meminta pendapat seluruh keluargaku dalam mencari alasan.

Seperti biasa apabila Baginda tiba daripada satu peperangan Baginda langsung terus ke masjid lalu solat dua rakaat kemudian duduk di tengah-tengah orang ramai. Pada masa itu datanglah orang-orang yang tidak ikut perang untuk mengajukan pelbagai alasan mereka kepada bagainda Nabi dan bersumpah dihadapannya. Semuanya berjumlah lebih kurang 80 orang. Rasulullah SAW menerima alasan dan sumpah-sumpah mereka dengan jelas dan memohon ampun untuk mereka. Sedangkan hal-hal yang tersembunyi atau yang mereka rahsiakan, Baginda serahkan kepada Allah SWT.

Perilaku Ka’ab, dan tindakan Nabi

Sewaktu aku (Ka’ab) menghadap Rasulullah SAW dan mengucapkan salam, Baginda tersenyum sinis, senyum kemarahan, lalu Baginda bersabda, “Mari ke sini,” Aku pun datang mendekati dan duduk dihadapan Baginda. Baginda lantas bertanya, ‘Apa yang menyebabkan kamu tidak ikut berperang, bukankah kamu telah membeli kenderaan?”

Aku (Ka’ab) menjawab, ‘Wahai Rasulullah, demi Allah, seandainyaaku duduk di hadapan orang selain anda daripada penduduk dunia ini, nescaya aku akan mencari jalan keluar daripada kemarahanmu dengan pelbagai alasan, kerana aku cukup mahir berhujjah dan berdebat.”

“Tetapi demi Allah aku yakin seandinya aku berdusta kepadamu nanti Allah akan memurkai aku. Dan sekiranya aku menceritakan apa yang sebenarnya terjadi kepada diriku nescaya kamu sangat murka dan kecewa kepadaku, tetapi aku tetap mengharapkan kemaafan ddan keampunan daripada Allah. Demi Allah sesungguhnya aku tidak punya apapun alasan juga, dan demi Allah, sesungguhnya aku belum pernah merasa sihat dan senang seperti ini, tetapi aku tidak turut berperang bersama-sama kamu, alangkah celakanya aku.’

Rasulullah SAW bersabda, ‘Apa yang kamu katakan kepadaku ini adalah suatu kejujuran?, pergilah kamu bertaubat sehingga Allah memutuskan perkara ini untukmu.’

Pesan Nabi jauhi mereka

Daripada Ka’ab bin Malik, beliau berkata mereka berdua (Murarah bin al-Rabi’ah al-Amri dan Hilal bin Umayyah al-Waqifi) datang menemui Nabi seraya mengatakan kepada Rasulullah SAW mereka adalah di kalangan sahabat yang soleh yang turut dalam peperangan Badar al-Kubra dan orang selalu menjadi teladan. Setelah mereka menerangkan hal kedua-dua orang itu, aku pun membatalkan niat untuk bertemu Nabi kerana terlalu rasa malu dan bersalah kerana aku tiada alasan . Sejak itu, Rasulullah SAW melarang kaum muslimin bercakap-cakap dengan kami bertiga yang tidak ikut perang Tabuk.

Maka semua orang menjauhi kami. Sikap mereka berubah terhadap kami, sehingga aku merasa seperti terasing di negeri sendiri, di mana seluruh penduduknya aku kenal selama ini. Hukuman terasa dipulaukan ini aku (Ka’ab) lalui dan alami selama 50 hari.

Kedua-dua temanku (Murarah bin al-Rabi’ah al-Amri dan Hilal bin Umayyah al-Waqifi) tetap tinggal di rumah dan menangis terus menerus. Sedangkan aku adalah yang termuda dan terkuat antara ketiganya. Aku tetap keluar dan ikut solat bersama-sama kaum muslimin serta berulang-alik ke pasar juga, akan tetapi tidak pernah seorang pun yang menyapa aku.

Bahkan pernah aku mendakati Rasulullah SAW dan memberikan salam kepada Baginda di mana waktu itu Baginda sedang duduk setelah selesai solat. Dalam hati kecilku timbul pertanyaan apakah Baginda berkenan menggerakkan bibir untuk membalas salamku atau tidak. Kemudian aku terus solat di hadapan Baginda dengan harapan menarik perhatiannya. Ketika aku sedang solat itu, Baginda memandang diriku lalu menjeling.

Allah dan Rasul lebih tahu!

Suasana dipulaukan kaum muslimin seperti itu berjalan agak lama. Pada sustu petang, aku (Ka’ab) memanjat dinding rumah Abu Qatadah, dia sepupuku dan dialah orang yang paling aku senangi. Kemudian aku mengucapkan salam kepadanya, tetapi demi Allah, dia tidak membalas salamku itu, lantas aku bertanya kepadanya, ‘Wahai Abu Qatadah, demi Allah aku ingin mendengar jawapanmu, tidak tahukah kamu bahawa aku jua mencintai Allah SWT dan RasulNya?’ Abu Qatadah diam membisu. Aku bertanya lagi, namun ia tetap batu membisu.

Aku bertanya lagi. Akhirnya dia menjawab dengan ucapan, ‘Allah dan RasulNya lebih mengetahui.’ Maka bercucuran air mataku mendengar jawapannya. Aku segera kembali ke rumahku lalu terus menunggu hingga datang ketentuan Allah pada diriku.

Belajarlah dari Al-Quran dan sirah, lalu bertindaklah dengan hikmah bijaksana.

“Janganlah kamu berasa hina (lemah) dan jangan kamu berasa duka cita dan kamu adalah lebih tinggi (mulia) jika kamu (benar-benar) beriman.” (Ali 'Imran: 139)

"Di antara mereka orang-orang mukmin ada yang telah menepati janjinya kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur syahid. Dan setengah daripada sedang menunggu (janji Allah). Dan mereka sesekali tidak akan mengubah janjinya walau sedikit jua pun"- al-Ahzab :23

Ingatlah wahai sahabat dan teman seperjuangan, perjuangan ini tidak pernah dihamparkan dengan karpet merah, penuh onak dan duri, diri kamu tidak akan sesekali dihiasi dengan intan berlian, harta kekayaan, kerana tiada yang mudah dalam berjuang, tiada mahar yang lebih mahal dagangannya untuk dijual beli melainkan kamu mendapat balasan Syurga yang abadi di sisi Allah SWT, terkorban, kalah atau menang bukan ukuran kerana syahid adalah jalan yang paling kita rindui. Jika dikurniakan kemenangan maka gunakan ruang dan peluang itu untuk beramal, banyak melakukan kebaikan dan berbakti, tapi jika diberikan sedikit ujian kekalahan, maka insafilah diri kerana kita masih gagal menarik Nusrah Ilahi, tetapi janganlah pula berputus asa kerana kita tetap punya Allah Yang Maha Kuasa!-Azlan Zainal

P036 Kuala Terengganu; Pengajaran buat pimpinan BN/UMNO

Dalam bukunya Riadhus Shalihin, Imam Nawawi (631 - 676 Hijrah) telah meletakkan bab Perintah Kepada Pemerintah Supaya Sayang dan Lunak kepada Rakyat dan Larangan Menipu Rakyat atau Mengabaikan Rakyat dan Hajat Keperluan Mereka yang terdiri dari nas berupa ayat-ayat Quran dan Hadith-hadith Nabi untuk kita manfaatkan.

Seterusnya di ambil terus dari buku tersebut:

Maksud Firman Allah: Dan rendahkan sikapmu terhadap pengikutmu dari kaum mukmin (Asy-Syu’a-ra: 215).

Maksud Firman Allah: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat baik dan membantu sanak kerabat, dan mencegah dari kekejian dan mungkar dan aniaya (melampau batas). Alah menasihati kamu supaya kamu ingat (An-Nahl: 90).

1. Ibnu Umar r.a. berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Kamu sekelian pemimpin dan kamu akan ditanya dari hal rakyat yang dipimpinnya. Pemimpin akan ditanya dari hal rakyat yang dipimpinnya. Suami akan ditanya hal keluarga yang dipimpinnya. Isteri memelihara rumah tangga suaminya dan akan ditanya hal yang dipimpinnya. Pelayan (pembantu/orang gaji/pekerja) memelihara milik majikannya dan akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungan-jawab) dari hal rakyat yang dipimpinnya. (HR Bukhari & Muslim).

2. Abu Ya’la iaitu Ma’qil bin Yasar r.a. berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada seseorang yang oleh Allah memimpin rakyat , kemudian ketika mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya syurga. (HR Bukhari & Muslim).

Dalam lain riwayat:
Kemudian tidak di awasi dengan nasihat-nasihat yang baik, maka tidak akan mendapat harumnya syurga.

Dalam riwayat Muslim:
Tiada seorang amir (ketua) yang mengawasi urusan kaum muslimin, kemudian tiada bersungguh-sungguh menasihati dan memperhatikan hajat mereka, melainkan tidak akan masuk syurga bersama mereka.

3. ‘A-isyah r.a berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. di rumahku ini: Ya Allah siapa yang menguasai sesuatu dari urusan ummatku, lalu mempersukar pada mereka, maka persukarlah baginya. Dan siapa yang mengurusi umatku lalu berlemah-lembut pada mereka, maka permudahlah baginya. (HR Muslim).

4. Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Dahulu Bani Israil selalu di pimpin oleh Nabi, tiap mati seorang Nabi digantikan oleh Nabi lainnya, dan sesudah aku ini tidak ada Nabi, dan akan terangkat sepeninggalanku beberapa Khalifah, bahkan akan bertambah banyak. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah apakah pesanmu kepada kami? Jawab Nabi: Tepatilah bai’atmu pada yang pertama, dan berikan kepada mereka haknya, dan mohonlah kepada Allah bahagianmu, maka Allah menanya mereka dari hal apa yang di amanatkan dalam memelihara hambaNya. (HR Bukhari & Muslim).

5. ‘A-idz bin Amru r.a ketika ia masuk kepada Ubaidillah bin Ziyad berkata: Hai anakku saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya sejahat-jahat pemerintah iaitu yang kejam, maka janganlah kau tergolong daripada mereka. (HR Bukhari & Muslim).

6. Abu Maryam iaitu Al-Azdi r.a berkata kepada Muawiyah: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapa yang diserahi oleh Allah mengatur kepentingan kaum muslimin, kemudian ia dari hajat kepentinga mereka, maka Allah akan menolak hajat kepentingan dan keperluannya pada hari kiamat. Maka kemudian Muawiyah mengangkat seorang untuk melayan segala hajat keperluan orang-orang (rakyat). (HR Abu Dawud & Attirmizi).

Komen Ringkas: Jelas bahawa pemimpin wujud kerana kehadiran rakyat. Dalam konteks negara kita, pemimpin nombor satu negara ialah Perdana Menteri. Kemudian di ikuti menteri-menteri. Di negeri pula ada Menteri Besar atau Ketua Menteri dan semua exconya. Apa yang di berikan di dalam kitab muktabar itu mudah di fahami oleh pemimpin dan rakyat. Oleh itu pemimpin mesti prihatin terhadap rakyat, tidak boleh menipu rakyat dan tidak boleh mengabaikan keperluan rakyat.

Pengalaman melihat BN/UMNO mengambil untung melalui politik. Rakyat sudah jelak dengan bermacam janji di taburkan semasa berkempen tapi bila sudah menang pilihan raya dan memerintah sibuk dengan agenda peribadi untuk mengaut kekayaan negara secara tidak sah untuk diri dan keluarga sendiri, kerabat dan kroni serta untuk menjamin penerusan kekuasaannya.

Pepatah Cina menyatakan ikan busuk bermula dari kepalanya. Di lihat dari mana sudut pun nampaknya pepatah ini betul: Pemimpin yang busuk akan memastikan pimpinan di bawah sama-sama busuk. Pemimpin peringkat bawah yang mula hendak busuk akan melantik ketua yang sudah busuk Pemimpin yang sudah busuk pula akan melantik ketua yang sama busuk atau mula busuk.

Tiba-tiba sekarang di wujudkan pelan peralihan kuasa yang bermakna kepemimpinan negara menjadi hak yang di warisi oleh orang tertentu dan di agihkan atau di faraidkan sesama sendiri. Bayangkan keadaan negara yang di pimpin apabila pemimpin dalam semua peringkat sudah membusuk. Amanah memimpin selamanya di anggap sebagai peluang terbaik untuk membolot dan membuat harta dengan mudah. Rakyat kini sudah celik dan berani berkata tidak kepada pemimpin BN/UMNO. Rakyat yang sudah merdeka.

Sumber: Terjemahan Riadhus Shalihin Oleh Imam Abu Zakaria Yahya bin Sharaf AnNawawi, Alih Bahasa oleh Salim Bahreisy. 1995. Kuala Lumpur: Victory Agencie. ms 490-493.