Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

PENDIRIAN MAHASISWA: Senario Politik Malaysia dalam Bahaya!

Aktivis mahasiswa Malaysia menjustifikasikan senario politik Malaysia pada hari ini adalah berada dalam keadaan gawat dan bankrup. Kegagalan dan kealpaan pihak kerajaan mengurus tadbir hal ehwal dalam negara menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kepimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri. Tinjauan terkini Merdeka Centre dalam 3 bulan yang lepas, jelas menunjukkan hanya 42% sahaja daripada lebih dua juta rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepada pentadbiran Paklah Ahmad Badawi. Oleh itu, kami mendesak agar Paklah bertanggungjawab penuh terhadap keseluruhan permasalahan yang berlaku ini.

Selain itu, laporan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara berhubung kes yang berlaku 1998 yang lalu, telah memberikan impak negatif kepada dua institusi fundamental Negara iaitu kepolisan dan kehakiman yang masing-masing diterajui oleh IGP Musa Hassan dan AG Abdul Ghani Patail. Hasilnya, rakyat sekali lagi hilang kepercayaan dan mandat serta kredibiliti kedua-dua institusi ini semakin tercalar dan diragui. Bagaimanakah pendakwaan berhubung kes yang korup ini dapat dijalankan sedangkan Peguam Negara mempunyai kuasa dan autoriti untuk menentukan sesuatu pendakwaan itu dibicarakan di mahkamah ataupun tidak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 145 Fasal 3 itu. Oleh itu kami dengan tegas berpandangan kedua-dua jawatan ini perlu dikosongkan dan diisi oleh mereka yang lebih layak, lebih adil, berkredibiliti dan berintegriti.

Selain itu, kami berpendirian bahawa kes penglibatan isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berhubung isu pembunuhan Altantuya Sharibuu mampu memberi persepsi moral yang sangat buruk dan natijah yang teruk kepada kerajaan. Oleh itu, kami melihat isu ini harus diselesaikan seberapa segera dan diadili dengan baik. Kami percaya hak rakyat Malaysia akan terus dinafikan jika sistem kehakiman yang menjadi nadi keadilan dan kesejahteraan rakyat ini kekal luwes dan korup.

Kami juga melihat kenaikan harga petrol dan diesel secara mendadak dan keterlaluan ini memberikan kesan berantai yang sangat negatif kepada ekonomi negara. Kami juga tegas menyatakan keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api ini merupakan satu tindakan yang sangat tidak bijak dan menzalimi rakyat. Subsidi minyak yang dikurangkan itu menyebabkan rakyat terpaksa menanggung sendiri kesan kenaikan harga minyak tersebut. Walaupun kerajaan berjanji meringankan beban rakyat dengan meningkatkan taraf hidup dengan pembiayaan projek-projek tertentu namun janji tersebut hanya janji kosong semata-mata. Malahan rakyat pula terpaksa menanggung kerugian projek kerajaan yang ditarik balik, dibatalkan dan terbengkalai melalui bayaran cukai saban tahun.

Selain itu juga kami melihat dasar ultra-perkauman yang dijulang oleh UMNO sebenarnya memberikan kesan negatif kepada bangsa Melayu sendiri. Kami melihat bahawa UMNO telah mengheret sama mahasiswa kepada isu perkauman ini dengan menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di UPM, UIA dan UM. Langkah penubuhan ini juga dilihat satu cubaan politik GPMS untuk menarik mahasiswa ke dalam lingkungan politik perkauman UMNO di IPT. Oleh itu kami menggesa GPMS untuk menarik semula penglibatan mereka di dalam kampus dan jangan mengheret sama mahasiswa kepada dasar sempit yang mereka perjuangkan selama ini.

Kami juga ingin menegaskan isu liwat Saiful Bukhari telah menjejas dan mencemarkan imej mahasiswa. Secara tidak langsung pihak Aspirasi dilihat telah melahirkan produk mahasiswa yang memberikan imej negatif kepada mahasiswa. Kami ingin menegaskan bahawa mahasiswa bukan subjek mainan politik yang memberi keuntungan kepada mana-mana pihak. Oleh itu pihak yang menjadi mainan politik sesuatu pihak tidak layak digelar mahasiswa yang berpelajaran.

Oleh itu kami berpendirian bahawa kepimpinan negara sekarang perlu ditukar serta-merta. Rakyat dicanangkan dengan pelbagai kemajuan pembangunan namun dalam masa yang sama mereka terus tertindas dengan kenaikan kos hidup. Rakyat Malaysia akan terus berkeadaan seperti sekarang selagi kepimpinan negara yang ada sekarang terus kekal menjerut leher rakyat. Atas dasar itu, kami mahasiswa Malaysia melihat perlu adanya pimpinan baru yang lebih berkredibiliti, amanah, mempunyai dasar yang efektif dan efisien serta bertanggungjawab kepada rakyat.

Justeru itu juga, melihat suasana politik Malaysia yang huru-hara, kepimpinan yang lemah, keadaan ekonomi yang tidak menentu dan isu sosial yang membarah, kami akan memobilasi mahasiswa dari seluruh negara dalam semua pentas negara sebagai tanda partisipasi mahasiswa kepada isu-isu Negara serta antarabangsa dan keterlibatan kami dalam mana-mana pilihanraya kecil Malaysia. Oleh itu kami mengisytiharkan pendiriran tegas dan deklarasi tergempar mahasiswa pada hari ini bahawa mahasiswa tidak akan berganjak malah akan terlibat sama dalam memastikan segala isu-isu teras ini dapat diselesaikan dan demokrasi yang lebih baik dapat dirasai oleh Malaysia dan rakyat pada masa yang akan datang, kerana bagi kami mahasiswa adalah agen perubahan, mewakili jiwa dan raga seluruh rakyat Malaysia.-Azlan Zainal

“Berani Demi Kebenaran, Bersama Selamatkan Malaysia”

1 comments:

  1. uniknyamalaysia said...
     

    Walau apa pun, Semoga dapat tadbir rakyat dengan baik dan menjaga alam sekitar ya..

    http://uniknyamalaysia.blogspot.com

Post a Comment