Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Apa yang ada di sana? Taklid atau Tajdid?

Bermula dari sebuah harapan, adakah kita masih lagi mengikut atau cuba merubah!

Ayah saya bukan seorang yang mendapat pendidikan tinggi. Dia hanya seorang pesara tentera dan sekarang berkerja sebagai penoreh getah di Felda Palong 15. Di waktu petang adakala ke kedai kopi, seperti kebiasaan lelaki kampung, ke kebun dikala pagi, jika hujan duduk di rumah membantu ibu. Pendidikannya hanya sampai darjah enam di sekolah atap dan mengambil MCE pun secara sendirian. Dan bahan bacaan sangat terbatas. Surat khabar hanya ada di kedai kopi, dia mengayuh basikal singgah membaca sebelum ke sekolah sejauh 6 kilometer di SMK Dato Mohd Taha, Gemencheh. Buku dan majalah hanya ada di Bandar Melaka, 45 km dari kampung kami di Batang Melaka. Hanya ada bas ‘Batang Bus’ yang datang sekitar 2 jam sekali.

Tetapi yang uniknya, dalam keterbatasan yang sungguh sederhana dan bahan bacaan yang terhad lagi terbatas, saya dapati ayah sangat segar dan matang dalam berfikir. Dalam usia yang muda dahulu ayah sering berpesan pada saya, “jangan suka mengikut orang lain, tapi jadilah diri sendiri, kita perlu jadi lebih baik daripada orang lain, maka untuk itu kita perlu berusaha, usah bergantung pada orang lain. Apa yang benar saya ingat ialah, dalam hidup kena berani buat keputusan, kelak nanti engkau tidak akan kecewa dan menyalahkan orang lain”. Sedikit sebanyak saya cuba amati secara mendalam dan agak empirikal bahawa ayah sebenarnya menbawa saya agar berfikir panjang dan jangan suka ‘bertaklid’ dan usah membiasakan diri cuba menjadi jumud, dunia ini perlu diterokai dan belajarlah dari pengalaman kerana bagi saya ibrah (pengalaman) jua adalah satu ilmu.

Saya pernah membaca ceritera tentang tokoh agung pejuang Agama yang masyhur, Burhanuddin al-Helmy dan saya juga meminati Ahmad Boestamam yang pidatonya yang sentiasa berapi-api. Mereka tampak kiri dalam perjuangan namun di sebalik tabir sisi pandang idea mereka amat tuntas kematangannya. Idea yang digagaskan mereka tentang “Melayu Raya” menggabungkan Malaysia-Indonesia dan seluruh Nusantara sedikit sebanyak mendobrak minda agar kembali berjiwa besar. Salah satu dimensi dari perjuangan kemerdekaan adalah Gerakan Islah (reformasi Agama). Bahkan nasionalisme Melayu boleh dikatakan didorong oleh gerakan islah yang dipelopori oleh para tokoh agamawan seperti Sheikh Tahir Jalaluddin. Beliau pula mendapat ilham daripada perjuangan ‘ulama tiga serangkai iaitu Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha. Setiap gerakan pembaharuan pasti menimbulkan konflik iaitu krisis dengan kelompok konservatif. Pernah suatu ketika di Malaya perbenturan tersebut dikenali dengan konflik kaum Tua dan kaum Muda. Masing-masing punya pandangan dan hujah, cuma pengolahan mereka berbeza tapi matlamat sama untuk menyebarkan fikrah dan kesedaran.

Dunia pernah bergolak, dua beradik pernah jua digelar gila kerana berusaha mencipta besi yang bias terbang, manusia pernah berbincang bagaimana mahu mengubah dunia dalam masa 4 minit, hanya lepaskan ‘Little Boy’ di Hiroshima & Nagasaki, nescaya pasti Jepun menyerah kalah. Thomas Edison jua sangat kerap gagal hampir ribuan percubaan mencipta benda yang boleh menyala yang dinamai tungsten di dalam mentol. Kini, siapa sangka, orang kulit hitam jua bisa menggugah dunia, Obama baru sahaja ditabalkan sah sebagai Presiden AS ke-44, punya kredibiliti dan karismatik, semua orang boleh menilai antara baik dan buruk, konklusinya manusia tetap punya akal untuk berfikir. Dunia semakin merentas sempadan, jauh meneroka massa. Hijrah Nabi SAW tidak akan berlaku jika Rasulullah duduk diam tanpa bertindak dan merancang. Hadiah yang dijanjikan kepada Suraqah bin Malik bukan calang-calang taruhan, mahkota Raja Kisra (Parsi) akan diberikan. Begitu idealistiknya manusia, begitu jua dengan Islam, sejak manusia diciptakan, silih berganti memimpin ummah, kita dipasakkan agar membina Daulah dan mendirikan khilafah, tetapi mengapakah kita masih lemah dan berjiwa gundah? Masih berlegar dalam kepompong sempit sifat jumud dan taklid yang membatasi segenap urat saraf Gerakan yang masih tradisionalis, memandang parallel massa dengan sikap paranoid takut dikritik dan takut dilabel salah serta sangat terkedalam dengan beranggapan kita masih kerdil dan sangat kecil. Bersikap tasauf dan sufi di hadapan Tuhan tetapi mesti merasa izzah sebagai sebaik-baik makhluk yang bernama khalifah, kerana pada kita ada amanah. Islam tetap dijamin kemenangan pada akhirnya, kerana janji Allah tetap bersama, tapi adakah kita turut serta menyumbang. Kemenangan telah dikurniakan, telah tiba masa kita kembali berpencak dan menunjukkan kebijaksanaan dengan hikmah.

Mungkinkah satu tranformasi politik dan Gerakan ummah berjaya tanpa daya kreatif dalam pemikiran? Tidak mungkin. Taklid melumpuhkan daya pemikiran tersebut. ‘Ulama perlu dihormati tapi pada masa yang sama tidak bermakna kita perlu menolak ketepi pemikiran kritis yang bersifat pembaharuan (tajdid) dan keperluan kita meneliti dan menimbangkan pandangan-pandangan yang berbeda di kalangan mereka yang kita kira terbaik. Cuma berdoalah agar tiapnya dititipkan hidayah dan panduan oleh yang Esa. Pada masa yang sama Sang Reformis perlu banyak berfikir memerah otaknya dan mencari solusi penyelesaian. Apa yang ada di sana? Taklid atau tajdid? – Azlan Zainal

1 comments:

  1. ~nEmo~ said...
     

    ya, bijaksana dengan hikmah. Wahai orang2 muda bangunlah 'bekerja' demi perubahan. Dunia menanti anda!

Post a Comment