Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Berhujjahlah dengan hikmah, bukan taqlid sekadar wala'!

Di zaman ini penuh kesibukan, banyak sangat aktiviti perlu dilaksanakan. Hanya kerana kesibukan itulah kita tidak sempat berfikir secara yang agak mendalam, secara objektif dan bebas dari corak kongkongan pemikiran 'band-wagon' kumpulan sendiri. Kalaulah ada tokoh-tokoh dari kumpulan kita yang mengatakan sesuatu, kerapkali kita akan mengiyakan kenyataan mereka dan berfikir sekadar mencari cara untuk menghadam lontoran pemikiran tersebut. Lalu sikap taqlid dalam pemikiran begini kita martabatkannya sebagai thiqah dan wala'.

Taqlid dianjurkan oleh ulama untuk kita orang awam dalam persoalan ilmu dan amalan feqah kerana terlalu sukar untuk kita orang awam untuk memahami proses pendalilan dan memutuskan sesuatu hukum. Tetapi kita, walaupun orang awam, dilarang bertaqlid dalam soal aqidah. Kita mesti mempunyai hujjah dan dalil semada naqli atau aqli untuk mengithbat atau menafikan sesuatu pegangan faham yang kita ambil.

Pencambahan pemikiran yang dibuat secara tertib amat penting dalam kehidupan manusia. Kita dianjurkan supaya berfikir, merenung, bertafakkur dalam menjalani kehidupan seharian. Bila terdapat perbezaan dalam pendapat dan fahaman , kita perlu adakan hewar(diskusi), muzakarah dan muqabalah untuk mencari yang murni dan yang lebih wajar. Kita dilarang dari jidal yang bertujuan untuk memenangkan hujjah kita atau pendirian kumpulan kita tanpa mahu tunduk kepada kebenaran pihak lain dan keserlahan hujjah yang berlawanan.

Dalam semangat inilah blog seumpama ini diketengahkan, supaya sebahagian daripada kita berkesempatan menjenguk latar belakang penghujjahan kepada pendirian-pendirian yang mungkin berbeza. Semoga Allah memelihara hati-hati kita dari ketaksuban tanpa sandaran nas yang kukuh, dari perasaan takabbur iaitu merasakan kumpulan kitalah yang lebih baik, lebih faham dan pandangan-pandangan pihak lain tidak setara dengan pegangan kita.

Lihatlah bagaimana sikap Imam Ahmad bin Hanbal rahmatullahi 'alaihi ketika beliau dipenjara kerana isu al-Quran dikatakan makhluq oleh golongan muktazilah dan fahaman ini disokong kuat oleh pihak khalifah. Ketika dalam penjara itu, beliau telah didatangi oleh ramai ulama yang menasihati beliau agar demi keselamatan nyawanya, beliau mengiyakan secara zahir pegangan yang dipaksakan oleh pihak berkuasa, menyembunyikan pegangan sebenar beliau untuk sementara. Para ulama ini berhujjah yang memang terdapat ruang dalam syara yang membenarkan perbuatan demikian demi keselamatan nyawa. Bagaimanapun Imam Ahmad tetap teguh dengan pendiriannya. Pada suatu hari, rakan banduan yang dipenjara kerana kesalahan mencuri telah menasihati Imam Ahmad, yang walaupun dia seorang pencuri, memang telah melakukan jenayah tersebut, telah sanggup untuk tidak mengaku salah ketika didesak keras oleh pihak berkuasa, kenapa pula Abu Abdullah (gelaran bagi Imam Ahmad) mahu mengalah kerana desakan dan deraan pihak berkuasa sedangkan apa yang dipegang beliau adalah benar. Imam Ahmad kemudiannya mengisytiharkan kepada banduan itu yang walaupun ramai ulama yang menasihati beliau supaya secara luarannya mengalah kepada desakan pihak berkuasa tetapi beliau telah memilih untuk mengikut nasihat si-banduan, sipencuri itu. Alhamdulillah sikap sebeginilah yang antara lain menyumbang kepada penerusan dalam menjaga kemurnian aqidah ummah.

Ayuh, semua pihak dipersilakan untuk mempertengahkan hujjah, semada daripada golongan terpelajar ataupun golongan awam, asalkan sahaja dilakukan secara beradab dan menjaga niat untuk mencari kebenaran dan memperolehi redha Allah. Sesungguhnya hikmah (wisdom) bukan dimonopoli oleh sesuatu golongan sahaja, Allah menganugerahi anugerah ini kepada orang yang Dia kehendaki. Sesiapa yang dianugerahi Allah dengan hikmah (kebijaksanaan) sesungguhnya dia memperoleh anugerah yang amat berharga.-Azlan Zainal

0 comments:

Post a Comment