Kisah Saidina Ali kehilangan baju besi.
Melayari internet hari ini saya terbaca tentang perang Siffin, mungkin cerita ini boleh dikaitkan dengan isu di Perak. Kisah Saidina Ali ini boleh diambil istifadah (pengajaran) agar kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan berfikir melalui hayaatus sohabah (kehidupan sahabat yang dimuliakan) sebagai teladan. "Dalam perang Siffin, Khalifah Ali bin Abi Talib kehilangan baju besinya. Beberapa hari kemudian, Ali melihat baju besinya yang hilang itu di tangan seorang Yahudi. Ali berkata kepad Yahudi itu; "Baju itu adalah kepunyaanku. Aku tidak pernah memberikan atau menjualnya kepada sesiapapun."
Jawab orang Yahudi itu; "Tidak! Baju ini adalah kepunyaanku sejak dahulu." Baik Ali mahupun orang Yahudi itu masing-masing mempertahankan hak masing-masing. Akhirnya tidak juga dapat penyelesaian, maka keduanya sepakat pergi menemui hakim Syuriah untuk meminta penyelesaian secara jujur dan adil. Di situ, terjadilah dialog antara sang hakim dengan pihak pendakwa dan yang didakwa.
Ali berkata; "Baju besi yang ada di tangan orang Yahudi ini adalah kepunyaanku sejak dahulu." Hakim Syuriah berkata kepada orang Yahudi itu; "Bagaimana, Ali telah menyatakan bahawa baju besi yang ada di tanganmu itu adalah miliknya?"
Jawab orang Yahudi itu; "Tidak, baju besi ini adalah kepunyaanku." Hakim Syuriah bertanya kepada Ali; "Apakah ada bukti di tangan Amirul Mukminin yang menunjukkan bahawa baju besi itu kepunyaan baginda?"
Jawab Ali; "Ada! Puteraku Hassan dan Hussain tahu betul bahawa baju besi itu kepunyaanku sendiri."
Hakim Syuriah berkata; "Kesaksian anak sendiri terhadap ayahnya tidak dapat diterima menurut hukum yang berlaku.." Selanjutnya, hakim Syuriah berkata; "Kerana Amirul Mukminin sendiri tidak boleh membuktikan dengan pengakuan dua orang saksi yang sah, maka aku memutuskan bahawa baju besi ini adalah milik orang yang memegang sekarang iaitu Yahudi tersebut."
Lalu hakim Syuriah menjatuhkan palunya sebagai tanda persidangan telah selesai.
Sementara Khalifah Ali bin Abi Talib walaupun sebagai Amirul Mukminin dia boleh mengambil tindakan atau sekurang-kurangnya memberikan tekanan kepada sang hakim untuk memenangkannya, tapi beliau tidak menempuh jalan itu. Dia tetap patuh kepada ketentuan hukum yang berlaku.
Adapun hakim Syuriah telah menunjukkan satu contoh bagaimana mestinya sikap seorang hakim yang harus mempertahankan keadilan hukum di atas segala-galanya. Adapun orang Yahudi tadi yang mempersaksikannya dalam mengalami kejadian tersebut merasa takjub dan hairan sekali melihat kepatuhan seorang pembesar tinggi terhadap ketentuan hukum, ketegasan pendirian seorang hakim dalam menegakkan hukum yang semuanya bersumber kepada unsur-unsur keadilan di dalam Islam. Terpesona dengan kejadian itu, orang Yahudi tersebut lantas turut memeluk Islam.
Intipati dari kisah Sultan Azlan Shah tak boleh disaman yang diwar-warkan oleh UMNO-BN dengan kisah Khalifah Ali KW ialah, hanya satu komentar dan perkongsian berdasarkan analisis ringkas:
1) Tidak ada keadilan selagi undang-undang manusia (Lord Reid) digunapakai sehingga digantikan dengan undang-undang syariah dan undang-undang yang ditegakkan atas syariat Islam.
2) Mungkin kenyataan Karpal Singh untuk bertindak menyaman Sultan Perak adalah betul menurut prinsip keadilan dan mempunyai relevansi atas dasar peruntukkan perlembagaan: tiada sesiapa mengatasi undang-undang, benar tetap benar kerana Islam mendahulukan hak dan kebenaran.
3) Racist (rasis) atau sentimen perkauman tidak ada dalam undang-undang islam. Keadilan mesti ditegakkan sebagai satu medan dakwah kepada non-muslim atau sebagai landasan atas nama kebenaran.
good post and sgt relevan dengan situasi perak sekarang..moga artikel ni berjaya membuat ramai yang terbuka mindanya insyaAllah!