Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Koreksi diri, Contohilah Nabi!

Alhamdulillah, baru sahaja menghabiskan buku yang bertajuk ‘OBAMA : Antara Islam, Israel dan Amerika’ karangan Taufik Rahman. Agak menarik, kritikal dan mengajak kepada saya agar terus berfikir tentang peribadi, susuk tubuh, daya pemikiran, ketrampilan, karismatik dan pesona gaya dan retorik pengucapan yang bisa merubah persepsi dan menggugah jiwa rakyatnya untuk memilih beliau sebagai Presidan baru yang berbeza latar belakang kerakyatan, warna kulit, keluarga, pendidikan dan sebagainya. Obama dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Amerika ke-44 telah mendakwa pemimpin-pemimpin dunia ketiga selalu menyalahkan dunia Barat di atas kelemahan mereka mentadbir Negara. Ada juga benarnya tuduhan Obama itu, seperti yang kita dapat saksikan hari ini, di dunia ketigalah terkumpulnya pemimpin-pemimpin yang korup, rasuah, autokratik, tidak telus dan tidak demokratik. Ke mana hilangnya akhlak dan adab kita sebagai seorang yang mengaku dirinya Muslim.

Sejak kecil kita telah diajarkan lagu Oh bangau. Falsafah lagu Oh bangau ini telah membudaya dan membarah kedalam masyarakat kita. Maka tidak hairanlah kalau sikap kita selalu menyalahkan orang lain atas kelemahan kita sendiri kerana sikap kita yang demikian itu telah dididik secara halus melalui lagu Oh bangau ini.

Di satu masa dulu kalau ustaz-ustaz kita yang dijemput memberi ceramah agama selalu mengecam tindak tanduk ‘orientalis barat’ kerana memutar belitkan fakta-fakta yang berkaitan Islam. Maka orang-orang yang mendengar ceramah ustaz itu berasa kagum dengan kepandaian ustaz yang mendedahkan penyelewengan oleh ‘orientalis barat’ itu. Bagi saya itu memang sudah kerja mereka usah dibicarakan lagi. Orang Nasara dan yahudi tidak sesekali akan berpuas hati selagi mana kita tidak mengikut telunjuk mereka.

Sebelum ini banyak kita dengar orang-orang barat yang melakukan ‘penghinaan dan cacian’ kepada Nabi Muhammad SAW dan Islam dalam pelbagai versi, bentuk, termasuklah dalam bentuk karikatur kartun. Pernah seorang orang Denmark menggambarkan Nabi Muhammad sebagai pengganas dalam lukisan kartunnya.

Maka beranglah orang Islam dengan penghinaan kepada Nabi dan agamanya itu. Maka berarak mereka di jalan-jalan raya berdemontrasi menunjukkan rasa marah mereka kepada individu-individu dan Negara-negara yang terlibat. Dibakarlah apa yang patut dibakar termasuklah bendera Negara-negara tersebut sebagai untuk melepaskan geram. Saya amat setuju ia sebagai satu tanda protes dan menunjukkan rasa kecintaan Baginda Nabi tapi bukan semata-mata begitu, cubalah renungi kembali adakah kita mengamalkan sunnah dan tatacara kehidupan Nabi dalam kehidupan seharian dan adakah kita benar menuruti perintah Allah SWT dengan melakukan perintahNya serta meninggalkan laranganNya.

Sebagai hendak menunjukkan rasa membela Nabi dan agama yang mulia ini ada ulama’ yang telah memberi fatwa adalah halal untuk membunuh orang yang telah menghina Nabi dan Islam itu. Malah ada hartawan dikalangan orang Islam telah menawarkan wang berjuta dollar USD kepada sesiapa yang dapat membunuh individu yang telah menghina Nabi dan Islam itu.

Kemuliaan dan ketinggian agama Islam itu bukanlah disebabkan oleh semua orang mengatakan ia agama yang baik tetapi adalah disebabkan ajarannya yang baik lagi benar. Walau berjuta orang menghina Nabi dan Islam, ini tidak akan membuatkannya terhina.

Oleh itu kenapa umat Islam terlalu cepat melatah, apakah kita tidak percaya dengan kemuliaan dan ketinggian ajaran Islam. Kadang-kadang cara kita menyambut tarian dan yang digendangkan oleh orang barat itu hanya tambah menampakkan kebodohan dan kejahilan kita sahaja.

Lihatlah kembali peristiwa Nabi Muhammad membantu seorang perempuan tua membawa pulang barang-barang yang dibelinya di pasar. Tanpa disedarinya yang membantu membawa barang-barangnya itu adalah Nabi Muhammad yang sedang heboh diperkatakan oleh masyarakat Mekah ketika itu. Dalam perjalanan itu perempuan tua itu telah menasihatkan Nabi supaya menjauhi Nabi Muhammad dan ajarannya, kerana katanya Muhammad adalah seorang jahat dan pemecah belah masyarakat.

Bila sudah sampai dirumah perempuan tua itu, dia telah menghulurkan sedikit wang sebagai upah tetapi ditolak oleh Nabi kerana dia hanya ingin membantu saja. Kerana terpesona dengan kebaikan Nabi Muhammad itu lalu dia bertanyakan nama nabi. Nabi menerangkan kepada perempuan tua itu dialah Nabi Muhammad SAW, orang yang telah diperkatakan oleh perempuan tua itu tadi. Alangkah terkejutnya perempuan tua itu, hampir dia tidak percaya yang dia sedang berdepan dengan orang yang bernama Muhammad itu.

Sesungguhnya kemuliaan Nabi Muhammad itu bukanlah disebabkan kita semua mengatakan dia mulia, tetapi sikap dan akhlak Baginda yang mulia itulah yang telah mengangkat baginda menjadi Nabi yang mulia dan dipelihara Allah Yang Maha Esa. Sungguh berseni dan berhikmah Nabi SAW dalam dakwahnya.

Usahlah kita bimbang kalau berjuta pun orang bukan Islam menghinakan Nabi Muhammad kerana baginda sememangnya seorang yang mulia dan sangat dikasihiNya. Hanya orang yang jahil sahaja yang akan berkata Nabi Muhammad itu jahat atau pengganas, kerana mereka tidak mengenali Nabi Muhammad itu dengan sebenarnya. Sepertimana Yahudi (Bani Israel) mereka lebih mengenali Muhammad SAW sekalipun, tetapi tetap jua tidak beriman kepada Allah SWT dan mengakui Nabi sebagai utusan.

Mereka itu mengenal perwatakan Nabi Muhammad hanya melalui ‘pengganas’ yang menggunakan label Islam. Oleh itu kalau kita hendak memperlihatkan kemuliaan dan ketinggian Nabi Muhammad dan Islam kepada orang bukan Islam maka menjadi tanggungjawab kita supaya berakhlak seperti akhlak Nabi dan al-Quran untuk dipamerkan kepada mereka.

Sudah sampai masanya kita melihat kepada diri kita, bersama-sama dan bersungguh-sungguh untuk membaiki kelemahan diri kita. Menyusun strategi sehingga mampu menjadi orang yang terbaik dan mengungguli segala bidang dan prospek yang diceburi. Kalau kita asyik menyanyikan lagu Oh bangau kepada anak-anak dan generasi adik-adik kita, selamanya orang kita akan bersikap suka menyalahkan orang lain saja, akhirnya kita akan terus menerus menjadi mangsa dan makanan orang barat walaupun bilangan kita ramai. Seperti mana kita telah percaya katak adalah memang makanan ular dalam lagu Oh bangau. Kadangkala kita perlu koreksi dan bermuhasbah diri seperti kata-kata Saidina Umar al-Khattab, “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab di hadapan Allah SWT, dan nilai diri kamu sebelum kamu dinilai jua dihadapan Allah”. Dan juga kata-kata beliau yang masyhur kepada tentera Islam, “Selama ini kita dikurniakan kemenangan oleh Allah SWT disebabkan maksiat dan dosa yang dilakukan oleh musuh kepada Allah SWT, dan janganlah pula dikalahkan kerana maksiat yang kita lakukan kepada Allah” Koreksilah selalu, adakala perlu juga menyalahkan diri agar lebih bermotivasi, kerana belajar dari kesilapan adalah satu ruang membuka jalan! Sekadar satu pandangan dan cetusan agar kita berfikir... - Azlan Zainal

0 comments:

Post a Comment



 

different paths

college campus lawn

wires in front of sky

aerial perspective

clouds

clouds over the highway

The Poultney Inn

apartment for rent